Saturday, November 6, 2010

Karangan SPM - Syarahan ( Penyakit Berjangkit )

Soalan
Sebagai pegawai kesihatan anda telah dijemput untuk menyampaikan ceramah di sebuah sekolah tentang cara-cara untuk mengawal penularan penyakit berjangkit.
Tulis teks ceramah anda selengkapnya.

Jawapan contoh

        Yang mulia tuan pengerusi majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua, guru-guru, dan murid-murid sekalian. Kita bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dapat bertemu dengan tuan-tuan dan puan-puan dalam majlis pada pagi ini. Saya mengucapkan terima kasih kerana pihak sekolah sudi menjemput saya untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk “Cara-cara untuk Mengawal Penularan Penyakit Berjangkit”.

Tuan-tuan dan puan-puan,

        Penularan penyakit berjangkit merupakan satu isu yang sering menjadi buah mulut masyarakat sejak akhir-akhir ini. Penularan penyakit berjangkit ini umpama duri dalam daging dan telah menyebabkan masyarakat dunia amnya dan masyarakat Malaysia khususnya berada dalam kebimbangan yang berterusan. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk mengawal penularan penyakit berjangkit terutama yang dapat menyebabkan kematian. Namun demikian penularan penyakit masih lagi berlaku dari semasa ke semasa. Oleh itu pelbagai cara perlu dilakukan oleh masyarakat untuk memastikan gejala penularan penyakit dapat dibendung.

        Satu daripada cara untuk mengawal penularan penyakit berjangkit adalah dengan memastikan penjagaan kesihatan yang teratur dalam kalangan masyarakat Malaysia. Penjagaan kesihatan merupakan satu amalan yang berterusan. Contohnya, setiap anggota masyarakat hendaklah menjaga kebersihan diri sepanjang masa. Kebersihan diri ialah asas yang akan mengelakkan tubuh dihinggapi penyakit. Penjagaan kesihatan juga melibatkan aktiviti senaman dan riadah yang sistematik. Masyarakat Malaysia hari ini terdedah pada pelbagai risiko penyakit jika tidak menjaga kesihatan. Tambahan pula sejak akhir-akhir ini pelbagai jenis penyakit dikesan wujud di negara kita. Contohnya penyakit selesema burung yang bermula di luar negara telah menjangkiti penduduk negara ini. Oleh yang demikian penjagaan kesihatan yang teratur merupakan satu cara yang berkesan untuk mengawal penularan penyakit berjangkit, bak kata pepatah mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Hadirin sekalian,

        Selain itu pihak berkuasa mesti mengetatkan syarat kemasukan pelancong dari luar negara. Pihak jabatan imigresen dan juga jabatan kastam perlu menguatkuasakan kawalan yang ketat terhadap orang yang masuk ke negara ini. Jabatan kastam umpamanya, mestilah memastikan haiwan-haiwan yang dibawa masuk ke negara ini bebas daripada jangkitan sebarang penyakit berbahaya. Tidak kira sama ada haiwan tersebut diimport untuk dijadikan makanan atau haiwan peliharaan. Jika haiwan tersebut dijangkiti, pihak jabatan kastam hendaklah menyita dan memastikan haiwan tersebut tidak dibawa masuk. Dalam hal ini tumpuan khusus hendaklah diberikan pada pelancong dan haiwan dari negara-negara yang diketahui telah dijangkiti penyakit berjangkit berkenaan. Misalnya suatu ketika dahulu negara China telah diserang penyakit selesema burung yang serius. Oleh itu pelancong dan barangan import yang berasaskan haiwan hendaklah diperiksa dengan lebih terperinci agar negara kita bebas daripada ancaman penyakit berjangkit yang berbahaya. Jadi, pihak berkuasa hendaklah mengetatkan syarat kemasukan pelancongan dan barangan dari luar negara untuk mengelakkan penularan penyakit berjangkit, jangan sampai sudah terhantuk baru tengadah.

Tuan-tuan dan puan-puan,

        Langkah untuk mengawal penularan penyakit berjangkit yang berikutnya ialah pihak kerajaan hendaklah melupuskan haiwan atau pembawa yang telah dijangkiti penyakit berjangkit dengan kadar segera. Tindakan tegas ini mestilah dilaksanakan tanpa mengira bantahan dan kritikan masyarakat. Kerajaan harus menjalankan tindakan ini kerana penyakit berjangkit biasanya merebak dengan pantas apabila pembawanya tidak dihapuskan, bak kata pepatah biar titik jangan tumpah. Misalnya dalam kes penularan penyakit selesema burung, setiap unggas sama ada yang dipelihara atau yang hidup bebas perlu dilupuskan. Walaupun tindakan ini agak kejam sifatnya, kita tidak boleh memilih bulu atau berkompromi apabila kesihatan masyarakat awam terancam seperti kata pepatah biar titik jangan tumpah. Kerugian akibat kematian haiwan peliharaan adalah lebih baik berbanding kehilangan nyawa manusia akibat diserang penyakit berjangkit. Tindakan tersebut juga hendaklah dilaksanakan dengan kadar segera. Pihak berwajib tidak harus menanti keputusan majoriti kerana penularan penyakit tidak akan berhenti jika tidak dibendung. Tindakan yang lambat akan mendatangkan kesan buruk apabila penyakit berkenaan tidak lagi dapat dikawal dengan menyeluruh. Oleh itu, pelupusan haiwan atau pembawa penyakit hendaklah disegerakan untuk memastikan penularannya dapat dikawal.

Tuan-tuan yang dihormati,

        Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang wajar dilaksanakan untuk memastikan penyakit berjangkit dalam dibendung penularannya. Dalam hal ini semua anggota masyarakat perlulah bekerjasama ibarat aur dengan tebing agar penyakit berjangkit dapat ditangani dengan berkesan. Kita tidak mahu menyesal akibat kelekaan kita mendatangkan kesan buruk kerana menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Kerjasama semua pihak sudah pasti akan melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada ancaman penyakit berjangkit yang berbahaya. Sebelum saya mengundur diri, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyusun jari sepuluh, memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang tidak disengajakan. Sekian, terima kasih.

680 perkataan

No comments:

Post a Comment