Tuesday, May 3, 2011

APAKAH TANGGUNGJAWAB SOSIAL KITA TERHADAP KANAK- KANAK?

United Nations Children's Fund (UNICEF) menganggarkan bahawa terdapat sebanyak 158 juta buruh kanak-kanak yang berumur antara 5-14 tahun iaitu dengan nisbah 1 kepada 6 kanak-kanak di seluruh dunia.

Jutaan kanak-kanak terlibat dalam situasi berbahaya seperti bekerja di tapak perlombongan, pendedahan kepada bahan kimia dan racun perosak dalam pertanian atau bekerja dengan menggunakan mesin yang berbahaya.
Kanak-kanak ini kadang-kala bekerja dalam keadaan yang tersembunyi iaitu sebagai pembantu rumah, pusat-pusat siber dan pusat hiburan, tukang urut, bengkel membaiki kereta dan motosikal, dan ladang-ladang pertanian.

Di Sub-Sahara Afrika sekitar satu daripada tiga kanak-kanak terlibat dalam perburuhan kanak-kanak yang membawa kepada 69 juta kanak - kanak. Di negara Pakistan, terdapat kira- kira 12 juta buruh kanak-kanak dan  di Asia Selatan, sebanyak 44 juta kanak-kanak terlibat dalam perburuhan. Anggaran oleh agensi antarabangsa terkini untuk petunjuk ini telah dilaporkan dalam (Perlindungan Kanak-Kanak ) Jadual 9 -penerbitan tahunan UNICEF.

Di sesetengah negara, terdapat syarikat-syarikat yang menggunakan buruh kanak-kanak. Terdapat beberapa negara yang mempunyai undang-undang yang mengawal atau menghalang penggunaan buruh kanak –kanak. Tetapi sesetengah negara mempunyai undang-undang yang lemah dan penguatkuasaannya yang tidak efektif dan tidak dapat membendung penggunaan kanak-kanak untuk berkerja.

Syarikat–syarikat seperti ini harus mempunyai tanggungjawab sosial terhadap pekerja mereka. Walaupun tidak ada undang-undang dalam sesebuah negara yang melarang penggunaan buruh kanak-kanak, mereka dengan sendiri harus mempunyai kesedaran ini dan tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan kanak–kanak untuk bekerja . 

Laporan UNICEF juga menyatakan bahawa kanak-kanak perempuan mempunyai kecenderungan untuk dieksploitasi dan didera barbanding kanak-kanak lelaki. Sesebuah syarikat yang memiliki tanggungjawab sosial boleh menyumbang kepada pelbagai pembangunan masyarakat dan ini secara langsung akan dapat membantu menaikkan imej syarikat tersebut.

Di negara-negara Barat, pengguna-pengguna mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap perkara ini dan mereka akan memboikot sesuatu barangan atau perkhidmatan sesebuah syarikat jika terbabit dengan penyalahgunaan buruh kanak-kanak.

Oleh itu , adalah penting untuk pengguna-pengguna di Malaysia  memperkasakan diri mereka dengan maklumat-maklumat seperti ini dan menjadi seorang pengguna yang lebih bertanggungjawab dan membantu membendung penggunaan buruh kanak- kanak.

Artikel asal : Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia






No comments:

Post a Comment