Wednesday, May 4, 2011

Pasar raya besar (hypermarket) menguntungkan petani dan pengguna ?

Adakah kewujudan pasar raya besar menguntungkan petani dan pengguna ?
Pasar raya besar mulai wujud di Malaysia semenjak tahun 1980-an. Antara pasar raya besar ini ialah Giant, Jaya Jusco, Makro, Parkson, Carrefour dan Tesco. Pasar raya telah mendapat sambutan hangat dan semakin popular dalam kalangan Malaysia, kerana tarikan konsep ‘semuanya di bawah satu bumbung’.
Peningkatan kos sara hidup dan keperluan terhadap ‘wang’ telah meningkatkan peluang dan permintaan terhadap barangan yang berharga rendah di pasar raya. Para penjual yang mampu menawarkan barangan pada harga yang rendah akan memperoleh jualan daripada pengguna yang kini semakin cermat dengan perbelanjaan masing-masing.
Pengarah Urusan Synovate Malaysia, Steve Murphy berkata, masyarakat Malaysia sudah menukar gaya dan kelakuan mereka semasa membeli-belah dan lebih memberi keutamaan kepada pasar raya. Pengguna yang berpendapatan tinggi dan sederhana membelanjakan wang mereka di pasar raya, kemudian di  kedai runcit. Sejak kemunculan pasar raya, sudah menjadi kebiasaan masyarakat Malaysia yang bermastautin di kawasan bandar untuk membeli-belah di pasar raya sementara masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman pula terus membeli daripada kedai-kedai runcit dan pasar-pasar. Ini telah memberi ruang kepada pertumbuhan “pasar raya” di Malaysia seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Terdapat beberapa sebab yang menyebabkan pasar tidak dapat menyaingi  pasar raya. Dari segi ekonomi, pasar raya-pasar raya ini akan membuat pembelian secara pukal pada kos pengeluaran yang murah serta mengalihkannya kepada pengguna dengan harga yang rendah. Selain daripada itu, peningkatan dalam kos pengangkutan mampu mempengaruhi peniaga kecil-kecilan berbanding pasar raya.  Pada masa yang sama, pasar raya mempunyai cara tersendiri untuk menarik minat pelanggan dan mengekalkan pelanggan yang sedia ada. Sebagai contoh, ‘Tesco Clubcard’ memberi ruang kepada pelanggan untuk mengutip “points” bagi setiap pembelian dan mendapat baucar sebagai pulangan. 

Kebanyakan pembeli berasa kurang selesa apabila hendak tawar-menawar harga dengan penjual. Sementara di pasar raya- pasar raya besar, semua harga dan berat barangan dinyatakan dengan jelas. Di samping itu, pasar raya mempunyai teknik yang lebih sistematik bagi mengekalkan kesegaran sesuatu bahan makanan. Segala stok dibeli secara harian yang dibawa ke bilik sejuk bagi menjaga kesegarannya. Pengguna, terutamanya isteri yang menjalani gaya hidup moden pada hari ini, gemar membeli-belah di tempat yang berhawa dingin dan persekitaran yang bersih berbanding dengan tempat yang berbau dan kurang menyenangkan. 

Adakah senario ini akan membunuh peniaga kecil-kecilan di Malaysia? Kemunculan pasar raya- pasar raya besar telah melemahkan lagi peluang yang sedia ada kepada peniaga kecil-kecilan dan telah meningkatkan kadar pengangguran dalam kalangan peniaga. Secara umum, kita sebagai pengguna lebih bergantung kepada satu sumber dan ia membawa kepada persaingan yang kurang sihat semenjak pasar raya menguasai pasaran. Oleh kerana itu, pasar raya menjadi penjual runcit yang dominan dalam penetapan harga kepada petani-petani dan membunuh petani kecil-kecilan.

‘Pasar’ yang merupakan pusaka negara pada suatu masa dahulu, kini telah punah setelah kemasukan peruncit gergasi ini. Adakah ini merupakan satu kebaikan atau keburukan kepada pengguna?

Artikel asal oleh CRRC

No comments:

Post a Comment