Saturday, August 27, 2011

Friday, August 26, 2011

Isu Sains : Padahnya Jika Ketagih Internet !

BEIJING – Kajian terbaharu di China mendapati penggunaan Internet secara berlebihan oleh golongan remaja boleh menyebabkan otak mereka mengecut, lapor sebuah akhbar semalam.
Kajian berkenaan yang disiarkan jurnal sains, PLoS ONE menyatakan, kematian tisu otak berlaku di kalangan remaja yang ketagih melayari Internet.
Keadaan itu boleh membawa kepada kemerosotan daya tumpuan dan ingatan selain mengurangkan perasaan malu golongan remaja untuk melakukan perbuatan tidak sihat. Kajian tersebut melibatkan penggunaan mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) untuk merakam imej otak 18 pelajar universiti berusia 18 tahun yang melayari internet selama 13 jam sehari, enam kali seminggu.
Kumpulan penyelidik berkenaan membandingkan imej MRI tersebut dengan imej MRI kumpulan pelajar yang melayari internet cuma dua jam sehari.
Selepas perbandingan dibuat, mereka mendapati korteks atau bahagian kelabu pada otak 18 pelajar yang ketagih Internet itu mengecut berbanding rakan mereka yang kurang melayari internet.
“Kajian kami membayangkan ketagihan Internet pada jangka panjang boleh membawa kepada kemerosotan struktur otak,” kata kumpulan penyelidik itu.
Bahagian korteks otak berfungsi untuk memproses ingatan, emosi, pertuturan, penglihatan dan pendengaran di samping mengawal pergerakan anggota manusia.
Kajian itu dilakukan oleh sekumpulan pakar neurologi dan radiologi beberapa universiti dan hospital di China.
Dianggarkan seramai 24 juta remaja negara berkenaan ketagih melayari Internet. – Agensi

Isu Pengguna : Langkah Bijak Kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bagi kira-kira 20 jenis barangan Selasa ini, yang dijangka mampu mengatasi masalah kenaikan mendadak barangan tertentu di musim
perayaan.
Timbalannya Datuk Rohani Karim berkata skim yang diperkenalkan adalah bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada permintaan tinggi semasa musim perayaan untuk menaikkan harga barang yang tidak berada dalam senarai barangan kawalan sebelum ini.
Jenis barangan kawalan itu tidak dinyatakan tetapi Bernama difahamkan ia termasuk daging import dan tempatan, telor, ayam dan cili merah, lapor Bernama Online.
Rohani berkata skim itu dibuat bagi memastikan pengguna tidak ditindas peniaga yang mahu mengambil kesempatan atas pemintaan tinggi ketika perayaan.
Di bawah skim tersebut kementerian menetapkan tempoh selama dua minggu iaitu seminggu sebelum dan selepas perayaan untuk mengawal harga barang yang telah disenaraikan, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Menurutnya skim tersebut tidak hanya akan diaktifkan ketika Aidilfitri malah juga perayaan-perayaan utama lain yang disambut di negara ini.
Dalam pada itu, Rohani mengingatkan pengguna agar bijak dalam membuat pilihan ketika berbelanja dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran jualan murah ketika musim perayaan.
Katanya ketika ini kementerian bukan hanya memberi tumpuan kepada usaha untuk mengawal harga barangan agar tidak membebankan rakyat, malah juga mahu mendidik pengguna agar bijak berbelanja.
“Ada banyak pilihan kedai dan produk di pasaran, kita mahu pengguna bijak dalam menentukan apa pilihan mereka dan tidak hanya terkongkong kepada sesebuah kedai ataupun sesuatu jenama sahaja,” katanya.
Dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan itu, beberapa harga barangan kawalan akan diwartakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk dikuatkuasa seminggu sebelum dan selepas perayaan.
Sebelum itu, Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar menyampaikan sumbangan duit raya berjumlah RM15,000 iaitu wang zakat perniagaan daripada Bank Rakyat kepada kira-kira 100 penduduk kampung dan beberapa masjid serta surau sekitar Sebuyau.

Isu Semasa : Gara-gara cetak rompak !

Sebuah syarikat pemborong pakaian hari ini dikenakan denda RM300,000 atau dipenjara lapan bulan, jika gagal membayar denda, oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana kesalahan memiliki 150 unit salinan cetak rompak gambar kartun “Upin & Ipin” tanpa kebenaran Syarikat Les’ Copaque Production Sdn Bhd.
Hakim Hasbi Hasan menjatuhkan hukuman itu selepas Syarikat Fook Tai Sdn Bhd yang diwakili pengarah syarikat, Yap Kien Sing, 49, mengaku memiliki salinan gambar berkenaan yang dicetak di atas baju “T” kolar bulat tanpa kebenaran pemilik syarikat animasi itu.
Kesalahan itu dilakukan di premis NO. 17C dan 19C, Lorong Haji Taib 4, Jalan Raja Laut, Dang Wangi di sini, pada pukul 5.30 petang, 22 Mei 2009.
Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hakcipta 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41(1)(i) akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM20,000 bagi setiap salinan cetak rompak atau boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam Harjinder Singh Sandhu yang mewakili syarikat itu memohon hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya kerana ini merupakan kesalahan pertama dan tidak mengakibatkan kecederaan pada mana-mana pihak, memandangkan kes itu melibatkan harta intelek.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Hamzah, bagaimanapun, memohon hukuman setimpal kerana kes ini melibatkan kepentingan awam dan harta intelek.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hasbi sempat menasihati Yap agar lebih berhati-hati pada masa akan datang bagi mengelakkan perkara sama berulang.
“Jangan mengambil kesempatan kerana kes harta intelek melibatkan kepentingan awam dan negara,” katanya.
Syarikat itu membayar denda berkenaan.
- Bernama

Analisis Soalan Pengajian Am ( 2005-2010 )

Sumbangan : CCJG,Tambunan