Friday, August 26, 2011

Isu Pengguna : Langkah Bijak Kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bagi kira-kira 20 jenis barangan Selasa ini, yang dijangka mampu mengatasi masalah kenaikan mendadak barangan tertentu di musim
perayaan.
Timbalannya Datuk Rohani Karim berkata skim yang diperkenalkan adalah bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada permintaan tinggi semasa musim perayaan untuk menaikkan harga barang yang tidak berada dalam senarai barangan kawalan sebelum ini.
Jenis barangan kawalan itu tidak dinyatakan tetapi Bernama difahamkan ia termasuk daging import dan tempatan, telor, ayam dan cili merah, lapor Bernama Online.
Rohani berkata skim itu dibuat bagi memastikan pengguna tidak ditindas peniaga yang mahu mengambil kesempatan atas pemintaan tinggi ketika perayaan.
Di bawah skim tersebut kementerian menetapkan tempoh selama dua minggu iaitu seminggu sebelum dan selepas perayaan untuk mengawal harga barang yang telah disenaraikan, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Menurutnya skim tersebut tidak hanya akan diaktifkan ketika Aidilfitri malah juga perayaan-perayaan utama lain yang disambut di negara ini.
Dalam pada itu, Rohani mengingatkan pengguna agar bijak dalam membuat pilihan ketika berbelanja dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran jualan murah ketika musim perayaan.
Katanya ketika ini kementerian bukan hanya memberi tumpuan kepada usaha untuk mengawal harga barangan agar tidak membebankan rakyat, malah juga mahu mendidik pengguna agar bijak berbelanja.
“Ada banyak pilihan kedai dan produk di pasaran, kita mahu pengguna bijak dalam menentukan apa pilihan mereka dan tidak hanya terkongkong kepada sesebuah kedai ataupun sesuatu jenama sahaja,” katanya.
Dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan itu, beberapa harga barangan kawalan akan diwartakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk dikuatkuasa seminggu sebelum dan selepas perayaan.
Sebelum itu, Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar menyampaikan sumbangan duit raya berjumlah RM15,000 iaitu wang zakat perniagaan daripada Bank Rakyat kepada kira-kira 100 penduduk kampung dan beberapa masjid serta surau sekitar Sebuyau.

No comments:

Post a Comment