Wednesday, August 10, 2011

USAHA-USAHA MELINDUNGI PENGGUNA OLEH KERAJAAN

USAHA MELINDUNGI PENGGUNA
Meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai hak sebagai pengguna menjadi sebahagian agenda utama KPDNKK antaranya melalui Persatuan Pengguna Daerah yang kini ditempatkan di 132 daerah seluruh Malaysia.
Ia menjadi pemimpin pendapat atau penghubung utama yang mampu bertindak menggerakkan aktiviti kepenggunaan selain bertindak sebagai tempat rujukan pengguna selamat.
Selain itu beberapa undang-undang atau akta yang melindungi pengguna turut dipinda antaranya Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang dipinda pada tahun lepas, bertujuan melindungi pengguna daripada amalam perniagaan yang tidak beretika berhubung urusan jual beli antara peniaga dan pengguna.
Begitu juga, Akta Perihal Dagangan 1972 yang bertujuan melarang penggunaan perihal, penyataan dan petunjuk palsu atau yang menggelirukan berhubung dengan barang, perkhidmatan, tempat tinggal, kemudahan dan harga barang. Pindaan akta ini diluluskan dengan menambah gores dan menang, iklan yang mengelirukan dan penjualan produk palsu sebagai kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.
Akta lain yang melindungi pengguna ialah Akta Jualan Langsung 1993, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Sewa Beli 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga 1946.
Sekiranya tidak didedahkan masalah kepenggunaan yang berlaku, maka pengguna akan terus menghadapi masalah itu dari semasa ke semasa kerana wujudnya pelbagai taktik dan tipu helah dalam perniagaan, pemasaran produk dan perkhidmatan yang tidak bermutu dan berkualiti, penipuan tanda halal, pemalsuan maklumat yang memberi kesan buruk terhadap keseimbangan hubungan ekonomi antara peniaga dan pengguna. Dengan adanya pengetahuan dan pendidikan kepenggunaan, pengguna akan menjadi lebih berhati-hati dalam urus niaga yang dijalankan serta pengguna juga boleh melindungi diri sendiri daripada terpedaya dan ditipu oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.
Kumpulan sasaran kini lebih ditumpukan kepada kumpulan pengguna baru yang terdiri daripada pelajar sekolah dan pelajar Institut Pengajian Tinggi serta golongan belia dan wanita.
Belia sebagai pelapis pemimpin masa hadapan dan wanita dianggap tonggak utama keluarga yang memastikan keselamatan dan kesihatan keluarga terjamin.

No comments:

Post a Comment