Monday, September 19, 2011

KESELAMATAN KANTA LEKAP KEPADA PENGGUNA

KESELAMATAN KANTA LEKAP KEPADA PENGGUNA
Kanta lekap merupakan kanta yang digunakan untuk tujuan memperbaiki penglibatan, sebagai kosmetik ataupun kanta terapeutik yang biasanya diletakkan pada kornea mata.
Kini ia berfungsi sebagai salah satu produk yang paling penting yang mesti dimiliki oleh kebanyakan pengguna di seluruh dunia. Sesetengah pengguna mungkin berasa lebih yakin apabila memakai kanta lekap, malah sesetengah orang pula berasa lebih selesa dan boleh bergerak secara mudah tanpa sebarang sekatan atau halangan.
Terdapat pelbagai jenis kanta lekap di pasaran untuk memenuhi keperluan yang berbeza. Contohnya, kanta lekap yang berfokus dua menawarkan penglihatan yang jelas pada pelbagai dan kanta lekap pakai buang harian yang boleh dibuang pada waktu malam selepas digunakan.
Terdapat juga kanta lekap berwarna yang lazimnya popular dalam kalangan generasi muda. Tidak kira apa jua kanta lekap yang anda gunakan, aspek keselamatan kanta lekap tidak boleh ditolak ansur.

Sehingga tahun 2010, pasaran kanta lekap lembut  telah dianggarkan sebanyak 5.3 bilion (Professional Eye Care Journal Contact Lens Spectrum, January 2010). Dengan jutaan individu yang memakai kanta lekap, walaupun terdapat peratusan kecil yang mengalami kemudaratan, ia boleh membawa kepada masalah kesihatan awam yang utama. Antara kesulitan biasa akibat daripada kanta lekap adalah radang, kerengsaan, kegatalan, serta kemerahan. Berkemungkinan besar jangkitan organisma mikro akibat daripada memakai kanta lekap tanpa pembersihan dan disinfeksi yang betul, retakan kecil ataupun melecet pada kornea akibat daripada benda asing ataupun tekanan kornea yang berlebihan boleh menyebabkan jangkitan pada kornea.

Di sesetengah negara, kebanyakan kanta lekap dikawal selia oleh Bahagian Peralatan Perubatan, di bawah Kementerian Kesihatan. Pada tahun 2010, terdapat isu tentang beberapa kanta lekap yang berjenama yang dipanggil balik daripada pasaran disebabkan oleh aduan daripada pengguna. Kanta lekap tersebut dikatakan boleh menyebabkan sakit mata dan ketidakselesaan kepada pengguna. Kanta lekap yang dikilangkan itu dikatakan mempunyai masalah semasa proses bilasan pada jangka masa yang tertentu pada barisan pengilangan yang tertentu. Syarikat-syarikat yang gagal melaksanakan Amalan Pengilangan Baik (GMP) dalam pengeluaran produk mereka boleh menyebabkan produk yang tidak sempurna atau mengalami kecacatan. Pelaksanaan standard GMP yang asas adalah amat penting untuk memastikan produk itu dihasilkan dengan cara yang selamat.

Selain daripada standard GMP yang asas, Jabatan Standard Malaysia telah membangunkan Standard Malaysia bagi MS ISO 14729:2009- Ophthalmic optics- Produk kanta lekap- Keperluan mikrobiologi dan kaedah ujian untuk produk dan regimen bagi pengurusan kebersihan kanta lekap. Dokument Standard Malaysia ini menetapkan dua kaedah ujian untuk menilai aktiviti antimicrobial produk supaya dapat dipasarkan untuk pembasmian kuman kanta lekap melalui bahan kimia dan bagi produk yang sebahagian daripada regimen penjagaan kanta lekap.

Setiap negara mungkin mempunyai keperluan dan kriteria standard yang berbeza dari satu negara yang lain. Ini  kadangkala boleh menyebabkan kesukaran kepada pengeluar and pengimport dan boleh menybabkan kekeliruan. Oleh itu, Organisasi Standard Antarabangsa, ISO, telah membangunkan satu standard baru iaitu standard ISO 14531: 2011, Ophthalmic optics- Contact lenses and contact lens care products- fundamental requirements. Standard ini merupakan edisi ketiga dan yang telah diperkemaskan untuk menjadikannya selaras dengan perkembangan industri ini.  Standard ini juga menentukan spesifikasi keselamatan dan penilaian risiko, spesifikasi reka bentuk, penilaian mikrobiologi,  pelabelan, pembungkusan, dan tarikh luput.  Standard ini juga dikatakan dapat membantu pihak penguatkuasa di sesbuah negara yang ingin menyelaraskan keperluan dan pematuhan dari segi internasional dan untuk menggalakkan perdagangan antarabangsa. Pihak pengguna pula dapat manfaat dari segi pelabelan yang lebih jelas dan mudah faham dan selaras dengan kanta lekap yang dijual di mana- mana negara.

Berdasarkan penerbitan Contact Lens Spectrum, pada tahun Januari 2003, hampir 100 juta orang di seluruh pelusuk dunia memakai kanta lekap, dan jumlah terbesar golongan pemakai kanta lekap adalah di Amerika Utara (36 juta), diikuti dengan Asia (24 juta), termasuk Jepun (14 juta) dan Eropah ( 20 juta). Angka ini dijangka akan meningkat menjelang tahun 2020. Ini jelas menunjukkan bahawa industri kanta lekap akan terus berkembang. Keperluan untuk  mematuhi standard ini sangat penting kerana ia merupakan faktor yang penting dalam perniagaan. Standard yang telah dinyatakan di atas boleh digunakan oleh pengeluar untuk menghasilkan produk yang selamat dan berkualiti tinggi untuk kegunaan pengguna. Disebabkan standard ini diambil daripada standard ISO, maka pengeluar mempunyai kelebihan untuk memasarkan produk di peringkat antarabangsa. Apabila sebuah syarikat memastikan standard keselamatan dipatuhi sepanjang masa semasa proses pengeluaran kanta lekap, risiko kerosakan dapat dikurangkan, sekaligus ini mewujudkan keyakinan pengguna untuk membeli produk mereka.

Pengguna perlu ingat bahawa membeli kanta lekap yang mahal dan berjenama tidak semestinya akan menjamin keselamatan. Kebersihan diri dan penjagaan yang betul juga diperlukan untuk mengelakkan risiko jangkitan ataupun kecederaan pada mata. Selain itu, terdapat pengguna yang membeli kanta lekap di pasar malam dengan harga yang murah. Pasar malam mempunyai risiko menjual produk-produk yang ada kalanya tidak diperakui atau dibenarkan oleh pihak berkuasa. Bagaimanapun produk-produk ini berjaya menyelinap ke dalam pasaran dan pengguna sering berisiko membeli produk tersebut. Oleh itu, adalah disyorkan bahawa produk-produk tertentu seperti kanta lekap perlu dibeli di kedai-kedai yang diberi autoriti dan mendapat khidmat nasihat daripada profesional.

Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
 

No comments:

Post a Comment