Monday, September 19, 2011

MENGAPA OKU PERLU DIDAFTARKAN ?

KEPENTINGAN PENDAFTARAN ORANG KURANG UPAYA

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, golongan orang kurang upaya (OKU) merupakan 10 peratus daripada jumlah penduduk di dunia ini. 80 peratus daripada golongan OKU ini berada di negara-negara membangun.

Malaysia mempunyai penduduk seramai lebih kurang 28 juta orang. Berdasarkan statistik PBB itu, jumlah OKU di Malaysia dianggarkan seramai 2.8 juta orang. Namun begitu, OKU  yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seramai 280 ribu sahaja, 10% daripada anggaran penduduk OKU di negara kita.
Jumlah ini tidak menggambarkan keadaan yang sebenar bagi golongan OKU di negara kita. Sebahagian besar golongan OKU diabaikan oleh pihak kerajaan, yang keperluan mereka tidak dipertimbangkan. Oleh itu, mereka tidak dapat menikmati kemajuan negara.

Golongan OKU perlu diberikan keutamaan, namun dalam konteks Malaysia, golongan OKU tidak didahulukan, malah sering diketepikan. Malaysia telah menandatangani  Konvensyen Mengenai Hak OKU Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tetapi hak OKU tidak diberikan dengan sama rata.

Konvensyen ini menjamin golongan  OKU menikmati peluang yang setara dengan orang upaya serta penyertaan penuh serta efektif dalam masyarakat di semua aspek kehidupan - aksesibiliti, mobiliti, kesihatan, pendidikan, pekerjaan, pemulihan dan penyertaan dalam bidang politik, ekonomi dan sosio budaya. Biarpun begitu, keadaan ini berbeza di Malaysia, OKU tidak diberi peluang untuk memajukan mereka.

Apabila jumlah OKU di sesuatu kawasan tidak diketahui, sememangnya kita telah gagal merancang untuk mereka. Sebagai contoh, sekolah-sekolah khas tidak dapat disediakan, kemudahan-kemudahan mesra OKU juga tidak dapat dibekalkan dan peluang pekerjaan tidak dapat memenuhi keperluan jumlah OKU yang berkemampuan untuk bekerja.

Pendaftaran OKU adalah secara sukarela, dan usaha JKM untuk mendaftarkan OKU pun secara sukarela. Justeru, statistik yang diperolehi adalah tidak tepat. Apabila jumlah OKU tidak dapat dikenal pasti, maka pelan pembangunan negara tidak dapat memenuhi keperluan mereka.

Kesimpulannya, pendaftaran OKU adalah penting. Dengan berpandukan kepada data yang sedia ada, kerajaan dapat merancang pembangunan negara dengan mempertimbangkan keperluan OKU, dan OKU dapat menyumbangkan tenaga mereka dalam kemajuan Negara.

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

No comments:

Post a Comment