Monday, September 19, 2011

PERI PENTINGNYA KITAR SEMULA !

MENGAPAKAH PENTINGNYA KITAR SEMULA?
Jika diajukan soalan kepada masyarakat kita pada hari ini tentang apakah itu kitar semula? Pasti ramai yang mampu menjawabnya. Bagi maksud yang lebih tepat, kitar semula ialah proses mengolah semula bahan buangan untuk menghasilkan barangan yang baru.

Namun jika ditanya kenapakah pentingnya kitar semula? Kemungkinan pelbagai jawapan yang diterima. Dengan kitar semula, kita dapat mengurangkan bahan buangan, mengurangkan penggunaan bahan mentah baru, mengurangkan penggunaan tenaga, mengurangkan pencemaran dan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau kerana penghasilan barang baru daripada bahan mentah.

Atas kesedaran inilah, banyak kempen berkaitan kitar semula telah dilaksanakan oleh agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan. Kitar semula merupakan komponen utama bagi pengurusan bahan buangan pada zaman moden ini. Kemudian wujudlah slogan ’3R: Reduce (Kurangkan), Reuse  (Guna Semula) & Recycle (Kitar Semula)’ bagi menekankan betapa pentingnya kitar semula untuk memastikan alam sekitar kita terpelihara.
Antara bahan buangan yang boleh dikitar semula termasuklah aluminium, plastik dan surat khabar. Aluminium merupakan bahan yang boleh dikitar semula 100%. Menurut fakta, aluminium boleh digunakan semula dalam tempoh 60 hari selepas dikitar semula. Aluminium ini juga boleh dikitar semula untuk tujuan yang sama beberapa kali. Begitulah uniknya sifat aluminium. Selain itu, aluminium yang dikitar semula hanya menggunakan 5% tenaga jika dibandingkan penghasilan aluminium dengan bahan yang baru. Anda boleh mengitar semula semua bahan yang diperbuat daripada aluminium, namun mulalah dengan yang mudah dahulu seperti tin minuman ringan.

Plastik juga merupakan bahan yang penting untuk dikitar semula kerana penggunaannya meluas di Malaysia. Lebih banyak yang dikitar semula, maka berkurangan plastik yang terkumpul di tempat pembuangan sampah. Tenaga yang digunakan untuk menghasilkan plastik daripada kitar semula hanya 2/3 daripada menghasilkan plastik yang baru.

Bahan buangan daripada kertas juga meluas digunakan di negara ini. Contohnya seperti surat khabar, majalah dan surat. Mengitar semula bahan yang diperbuat daripada kertas ini dapat memelihara sumber (pokok), menjimatkan tenaga dan mengurangkan keluasan kawasan pelupusan sampah.

Sebagai masyarakat yang prihatin, kita boleh mengambil inisiatif dengan membuang bahan-bahan buangan ini ke dalam tong kitar semula. Terdapat 165 syarikat kitar semula di Malaysia (www.sisa.my). Begitu juga dengan maklumat mengenai pusat pengumpulan bahan kitar semula di setiap negeri di Malaysia untuk kemudahan orang ramai.

By Syed Mubashir bin Syed Mohammad
Forum Air Malaysia
 

No comments:

Post a Comment