Thursday, October 27, 2011

BAIK BURUK INTERNET

Internet lebih banyak mendatangkan kebaikan daripada keburukan.
Bersetujukah anda dengan pernyataan di atas dan berikan alasan-alasan yang munasabah bagi menyokong hujah anda.

Kita harus mengikut arus semasa yakni internet merupakan satu budaya baharu dalam masyarakat kini. Lantaran itu, internet tidak boleh dipandang sebagai sesuatu media yang berunsur negatif atau mendatangkan keburukan tetapi sebaliknya perlu dinilai secara bijak baik buruknya. Kita harus sedar bahawa terdapatnya pelbagai impak positif yang dibawa oleh internet. Kita amat memerlukan media ini untuk memastikan rakyat dan negara ini standing dengan negara yang lain dalam mengejar arus pembangunan semasa. 

Internet merupakan satu budaya baharu yang memudahkan kehidupan manusia terutama dalam aspek komunikasi atau berhubung secara langsung dengan orang lain tanpa mengira lokasi dan benua. Internet boleh digunakan untuk menghubungi sanak saudara atau saudara mara yang tinggal berjauhan daripada kita termasuklah di luar negara. Internet menjadikan komunikasi lebih cepat dan berkesan lalu mengeratkan hubungan antara manusia. Laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Weibo dan juga kemudahan e-mel amat sinonim dengan kehidupan masyarakat hari ini.

Manakala buat pelajar pula, internet pula boleh menjadi satu perpustakaan besar atau maya yang memberikan manfaat kepada mereka untuk mencari dan memperoleh pelbagai maklumat dan info.  Semua maklumat atau informasi ini seolah-olah berada di hujung jari pelajar iaitu boleh diperoleh dengan pantas pada bila-bila masa dan di mana sahaja berada. Maklumat yang diperoleh ini menjadikan minda pelajar lebih terbuka dan kreatif dalam menghadapi cabaran kehidupan zaman moden ini.

Pada masa yang sama kemudahan internet kini menjadikan banyak urusan harian dilaksanakan terutama aspek pembayaran bil-bil semasa secara atas talian. Kita sudah boleh membayar bil-bil elektrik, air dan telefon serta membuat pindahan kewangan lalu menjimatkan masa dan tenaga manusia melalui bayaran atas talian. Pengguna tidak lagi perlu beratur panjang, bersusah payah mencari tempat letak kerata dan juga tidak perlu lagi mengejar waktu pejabat untuk berurusan tentang bil, bayaran dan pindahan wang misalnya dengan menggunakan perkhidmatan Maybank 2U dan CIMB Click. Kemudahan sebeginilah yang mampu menjadikan kehidupan manusia lebih bermakna.

Selain itu, internet juga membolehkan pelajar membuat permohonan ke IPTA, biasiswa dan kerja atau temuduga secara atas talian atau 'on-line'. Bukan itu sahaja, pelajar juga boleh menyemak status permohonan mereka dan juga keputusan peperiksaan yang dikelolakan oleh KPM atau IPT melalui internet. Semua kemudahan ini mampu untuk diperluas dalam aspek lain pula seperti urusan dengan pihak kerajaan dan mungkin juga bidang lain.Pengguna juga boleh menyemak saman trafik, membuat bayaran cukai jalan dan lesen memandu melalui internet, iaitu melalui perkhidmatan Myeg. Kehidupan manusia sudah pasti akan berubah dengan adanya kemudahan internet yang sebegini.

Akhir sekali, internet juga boleh menjadi salah sebuah lokasi perniagaan utama yang menjalankan urusan jual beli barangan dan perkhidmatan. Internet boleh digunakan untuk memasarkan dan menjual barangan dan perkhidmatan , membuat promosi produk serta menerima pembayaran elektronik. Selain itu,internet digunakan mewujudkan rangkaian perniagaan atau korporat persendirian yang dipanggil Intranet . Maka bermula dari sini orang ramai boleh mencari, memilih dan membeli produk dan perkhidmatan yang diperlukan di rumah atau di mana-mana tanpa mengira masa dan tempat. Pengguna tidak perlu berdepan dengan pelbagai kerenah dan tipu muslihat peniaga, begitu juga peniaga tidak lagi perlu berdepan dengan pelbagai ragam pembeli. Perniagaan internet juga menjimatkan kos operasi syarikat seperti tidak perlu menyewa bangunan, pejabat, dan bil utiliti. Peniaga juga boleh menjimatkan tenaga kerja. Internet menjadi perniagaan lebih mudah, pantas dan luas.

Kesimpulannya, kita sebagai ahli masyarakat tidak boleh berfikiran sempit dan beranggapan bahawa sesuatu yang baharu itu atau setiap teknologi membawa kesan negatif sahaja. Sebenarnya kesan baik atau buruk sesuatu perkara itu banyak ditentukan oleh manusia yang menggunakannya. Jika disalah guna, maka internet sudah tentu mendatangkan impak negatif sebaliknya jika digunakan dengan bijak, internet sebenarnya membawa seribu satu kebaikan kepada manusia dalam era globalisasi.

No comments:

Post a Comment