Thursday, October 20, 2011

Daulat Tuanku : Yang Dipertuan Agong ke-14

        Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, dipilih Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya di Istana Negara.
Pemilihan Sultan Abdul Halim, 83, yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong, berkuatkuasa 13 Disember depan bagi tempoh lima tahun menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang akan tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.
        Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.
Ini kali kedua Sultan Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas dipilih kali pertama pada 21 September 1970 untuk tempoh lima tahun yang berakhir pada 20 September 1975.
        Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, dan dihadiri oleh semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja kecuali Sultan Pahang.Pemilihan itu dilakukan mengikut peruntukan jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.
        Sultan Abdul Halim, diputerakan pada 28 Nov 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah. Baginda menaiki takhta pada 14 Julai, 1958 selepas kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Badlishah.
Baginda yang juga lulusan ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam Wadham College Oxford United Kingdom, pernah menyertai Perkhidmatan Awam Negeri Kedah pada 1950-an.
        Sultan Muhammad V, 42, pula dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010. Canselor Universiti Malaysia Kelantan itu diputerakan di Kota Bharu, Kelantan pada 6 Oktober 1969.

No comments:

Post a Comment