Wednesday, October 19, 2011

Jenayah Siber ! Awas Exploitasi Pengguna Facebook: Mangsa penyalahgunaan gambar profil!

KUALA LUMPUR: Seorang wanita bukan saja menjadi mangsa penyalahgunaan gambar profil yang menawarkan perkhidmatan pelacuran di facebook (FB) malah dia turut diugut individu tidak bertanggungjawab jika membuat aduan kepada pihak berkuasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, 8 Oktober lalu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lina, 43, sedang melayari laman sembang sosial, facebook sebelum menemui sebuah profil menggunakan gambar diri dan suaminya tanpa kebenaran.
Katanya, pemilik profil berkenaan itu turut memberikan nama baru untuk pasangan berkenaan.
“Saya menerima kejutan yang lebih hebat selepas menemui gambar peribadi yang digunakan sebagai umpan atau promosi perempuan jalang untuk kegiatan pelacuran melalui laman sembang sosial itu,” katanya.
Menurutnya, apabila dia dan suaminya menghantar pesanan ringkas kepada pemilik akaun profil berkenaan untuk mengeluarkan gambar, mereka hanya menerima mesej berbentuk ugutan. Beliau berkata, pemilik berkenaan mendakwa tidak akan mengeluarkan gambar mangsa dan suaminya sebaliknya akan menyebarkan lagi gambar terbabit secara meluas di facebook.
“Seperti yang didakwa, suspek terbabit membuka akaun facebook baru menggunakan nama lain tetapi menyalahgunakan gambar saya dan suami.
“Malah maklumat peribadi dalam akaun berkenaan menyerupai identiti suami saya, kami bukan saja diaibkan tetapi identiti peribadi kami digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Mangsa perlu lapor polis atau SKMM
KUALA LUMPUR: “Mangsa yang terbabit dalam jenayah siber khususnya pengedaran video atau gambar lucah sehingga membabitkan ugutan kepada mangsa boleh mengemukakan laporan kepada polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan diambil melalui kerjasama dengan polis kerana jenayah ini dilihat tidak mengenal mangsa dan orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati,” Kata Ketua Pengawal Kawal Selia dan Pengawasan SKMM, Datuk Jailani Johari, ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Beliau berkata, SKMM sentiasa memantau keadaan ini termasuk pendekatan penguatkuasaan undang-undang bagi menangkap dalang jenayah ini namun sikap orang ramai juga amat penting supaya mereka lebih berhati-hati ketika menyimpan gambar atau video peribadi.
Sehubungan itu, orang ramai mungkin boleh mengambil pengajaran daripada filem Klip 3GP terbitan Grand Brilliance yang akan ditayangkan pada 13 Oktober ini yang mengisahkan eksploitasi teknologi seperti rakaman bahan lucah bagi tujuan memeras ugut mangsa untuk kepentingan peribadi.
Difahamkan filem itu di inspirasi daripada kisah benar yang berlaku dalam masyarakat moden termasuk penggunaan format video dalam telefon bimbit membolehkan apa saja perlakuan dirakam pada bila-bila masa mengakibatkan segelintir pihak cuba untuk memanipulasi teknologi berkenaan ke arah keburukan. Jailani berkata, jika orang ramai hanya mengharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap masalah itu, ia tidak akan selesai kerana kerjasama daripada masyarakat umum dan pihak berkuasa amat diperlukan.
“Penyebaran video lucah atau gambar sehingga mangsa diugut selalunya dilakukan orang terdekat dan yang sering bersama dengan mangsa, namun ada kes apabila video atau gambar berkenaan diambil secara ‘spy shot,” katanya.
Beliau berkata, selepas mendapat bahan peribadi mangsa itu, biasanya mereka akan mengugut mangsa sama ada memberi mereka wang atau sebaliknya dan dalam keadaan itu, mangsa akan tertekan.
Beliau berkata, orang ramai yang mungkin terpaksa berdepan dengan situasi itu boleh mengemukakan laporan atau aduan kepada polis dan SKMM untuk siasatan lanjut sekali gus dapat membanteras jenayah alaf baru ini.
Selain daripada pendekatan undang-undang, Jailani berkata, SKMM turut mengadakan langkah kesedaran melalui pendidikan yang dianjurkan seperti seminar, bengkel, edaran risalah atau kerjasama dengan media massa.
Beliau berkata, langkah pendidikan itu perlu untuk memberi pendedahan kepada orang ramai dan menggunakan teknologi dengan lebih positif tanpa ada sebarang niat penganiayaan kepada pihak lain.
Menurutnya, jenayah siber ini adalah meluas yang disifatkan sebagai jenayah alaf baru dan ia boleh terjadi kepada sesiapa saja tambahan pula dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat.

No comments:

Post a Comment