Wednesday, October 12, 2011

Pelajar kita "stress" ! Anak kita "stress" ! Salah siapa ya ?

Pelajar kemurungan ? Pelajar emosional ? Pelajar suka ponteng ? Pelajar biadap ? Pelajar malas belajar ? Pelajar ingkar arahan guru ? Pelajar cuba bunuh diri ? Pelajar cederakan diri sendiri ?  Ramai pelajar mengalami stress serta boleh membawa kepada sakit jiwa yang serius ? Sebenarnya pada pendapat saya sudah lama perkara ini berlaku,walaupun kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan tiada faktor khusus tentang fenomena stress dalam kalangan pelajar,gaya tindak dikenal pasti sebagai faktor penting. Senang cerita, mengapa pelajar sekolah semakin stress,murung,tiada semangat ?

Sebenarnya sistem pendidikan kita walaupun menunjukkan pelbagai perubahan dan transformasi yang baik dari segi dasar, masih mengutamakan exam oriented. Keputusan peperiksaan masih dijadikan asas utama untuk menentukan rangking sekolah, kecemerlangan pentadbirnya, kehebatan gurunya, kualiti PPDnya dan JPNnya. Apabila ini berlaku pelbagai langkah dilakarkan dan diprogramkan dari awal sehingga habis peperiksaan ( dari Januari hinggalah Oktober atau November mengikut jenis peperiksaan ). Pelajar kini umpama sebuah laptop yang kosong, telah dimasukkan pelbagai software dan hardware  oleh tuan punya laptop tanpa mengambil kira spec dan kemampuannya tanpa menghiraukan sama ada software itu cetak rompak atau original.  Maka akhirnya, laptop tersebut telah diserang virus komputer, hang dan diformatkan berkali-kali. Ada yang digunakan untuk mencari rezeki, ada yang digunakan untuk berhibur, melayari laman sosial dan sebagainya. Begitu juga dengan nasib pelajar dan anak-anak kita hari ini, mereka telah disogokkan dengan pelbagai program kecemerlangan akademik sama ada dikenali sebagai program utamanya, program sokongannya dan program sampingannya. Semua ini bukan tak bagus, tetapi terlalu mengutamakan atau memfokuskan peperiksaaan, pelajar tiada minat untuk mendalami ilmu, ketandusan budaya ilmu, budaya fikir, budaya kajian, budaya inkuiri dan keseronokan belajar hampir tiada bagi kebanyakan pelajar,terutama pelajar yang dikategorikan sebagai lemah dan berpotensi atau yang lebih menakutkan ialah sering dipinggirkan. 

Kaeadaan bertambah parah apabila pelajar sekarang terdedah dengan pelbagai pengaruh luar. Untuk menghilangkan stress ramai pelajar mengangkat budaya hedonisme dalam ke hidupan mereka. Melepak, gengsterisme, vandalisme, merempit, bohsia, bohjan, punk , black metal, menghidu gam, penyalahgunaan dadah , menghisap rokok dan sebagainya adalah jalan keluar bagi mereka. Mungkin ada cara lain yang lebih sesuai dan praktikal untuk memberikan peluang kepada pelajar secara hand on dan mind on untuk kehidupan mereka akan datang. Disiplin pelajar juga perlu dibina dengan baik. Pendekatannya,sudah tentulah agama dan nilai moral sebagai tunjangnya.Pendekatan yang mementingkan kerohanian serta keagamaan perlu diadun dengan baik sekali untuk melahirkan pelajar yang kurang stress.

Guru pula diminta supaya memainkan peranan penting untuk mengesan stress dalam kalangan pelajar. Namun sekali lagi diingatkan masa pelajar paling lama ialah bersama ibu bapanya di rumah. Ada ibu bapa yang runcing apabila cuti sekolah bermula, kata mereka tak dapat nak kawal anak, anak pula asyik memberontak sahaja,tak mahu tinggal di rumah kenapa ye? Dengan kata lain, kebanyakan ibu bapa tak tahu nak uruskan anak-anak mereka kerana selama ini mereka menyerah bulat-bulat atau sepenuhnya tanggungjawab mengasuh anak-anak mereka ke atas bahu para pendidik dan sekolah yang sering dianggap sebagai tadika remaja atau pusat jagaan remaja yang bayarannya murah.  

Sikap ibu bapa juga memainkan peranan penting, oleh sebab sistem pendidikan bersifat  exam oriented , maka ibu bapa terpaksa mengikut rentak semasa. Apa tidaknya ?  Keputusan peperiksaan menjadi asas untuk anak berjaya pada masa hadapan. Anak terpaksa di hantar ke pusat tuisyen selepas waktu sekolah sampai ke malam,bebanan pelajar tidak terhenti di situ, mereka turut diminta supaya aktif dalam pelbagai kegiatan kokurikulum, mungkin ada yang berkata untuk membentuk pelajar cemerlang perlu seimbang dari semua segi ( JERIS ),ya betul,tapi perjalanan kehidupan sebagai seorang pelajar itu membentuk budaya stress yang tinggi dalam kalangan pelajar. Mereka dikerah untuk menjadi cemerlang dan berjaya dalam kehidupan yang sangat mementing kecemerlangan yang mungkin mengabaikan aspek kerohanian serta pembentukan jiwa yang sempurna. Walau pun modal insan sering diuar-uarkan, konsep modal insan sebenarnya sangat rencam,ianya meliputi kemampuan sistem pendidikan melahirkan insan yang sempurna mengikut acuannya sendiri. Malahan value added yang ada pada pelajar dipelbagaikan,dan bukan sekadar cemerlang akademik,tetapi jiwa keagamaan yang kosong,tidak mampu bertindak di dalam alam realiti.

Dalam zaman ledakan teknologi maklumat yang sangat hebat ini, kehidupan sosio pelajar juga turut berubah dan menuntut pendekatan baru untuk mendidik dan membentuk mereka. Pendekatan punishment and treat tidak lagi sesuai. Generasi sekarang ialah generasi Y, generasi yang berhubung melalui facebook, tidak boleh dibentak, bencikan retorik murahan serta tidak suka dikongkong. Ini merupakan satu cabaran besar buat guru dan lebih lagi buat ibu bapa. Kita dulu ,pada saya generasi X, boleh dipukul sesuka hati oleh ibu bapa, kerana kita tiada link yang dengan dunia luar. Sekarang, majoriti pelajar berhandphone,berfacebook dan siap bermotor lagi, mereka sebenarnya sentiasa bebas dan dahagakan kebebasan! Oleh hal yang demikian, parenthing skill perlu ada pada ibu bapa sekarang, tanpa ilmu keibubapaan yang sesuai mengikut latar belakang keluarga menyebabkan anak-anak atau pelajar semakin stress. Saya bukan nak menasihati atau menyalahkan mana-mana pihak atau mana-mana insan, tetapi sekadar mengingat diri ini yang juga mempunyai anak yang digelar kanak-kanak dan remaja. Pendekatan lembut tapi tegas perlu diamalkan, anak-anak umpama layang-layang, kita bebaskan dia pergi namun kita kawal talinya, boleh terbang tinggi namun tahu masanya untuk turun semula,tali yang dikawal juga penting ada masanya perlu ditarik ada masanya perlu dilepaskan. Susah memang susah tetapi kita perlu mencuba, tidak ada salahnya membelanjakan sedikit wang untuk menambah ilmu keibu bapaan, kerana tidak semua perkara di dunia ini kita tahu tahu cara penyelesaiannya. Membaca,mendengar cd atau MP3 atau MP4 tentang ilmu keibubapaan boleh memberikan kita inspirasi,bukan sekadar motivasi sahaja, percayalah pelajar yang mempunyai ikatan kekeluargaan yang utuh mampu bertahan dengan situasi semasa yang membebankan mereka, kerana meraka mempunyai sahabat yang mereka sayangi dan hormati iaitu ibu bapa dan para guru mereka. Jom,  marilah kita buat yang terbaik untuk anak-anak kita dan untuk anak-anak didik kita.

No comments:

Post a Comment