Wednesday, October 26, 2011

PENDIDIKAN TENTANG CERUN TANAH TINGGI ELAKKAN MALA PETAKA TANAH RUNTUH

Tanah runtuh merupakan malapetaka yang disebabkan oleh manusia sendiri. Apabila kawasan tanah tinggi dibangunkan, sewajarnya langkah-langkah keselamatan yang betul diambil. Ini kerana jika pembangunan kawasan tanah tinggi tidak dibuat dengan baik, ia akan menyebabkan keruntuhan cerun apabila hujan lebat kerana keadaan tanah yang tidak stabil.
Apabila cerun tanah tinggi dibersihkan, ia akan menyerap lebih banyak air semasa hujan dan menjadikannya lebih berat. Secara kebiasaan, jurutera geoteknik akan merekabentuk cerun ini semula dan memastikan supaya lebih banyak saliran diwujudkan untuk mengalirkan air.

Kita boleh membuat satu andaian yang mudah. Satu meter padu air mempunyai berat bersamaan satu tan atau 1000 kilogram. Bayangkan beban seperti ini diletakkan pada cerun yang tidak stabil. Sudah tentu ia akan runtuh.

Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan keadaan, tanah runtuh tidak berlaku secara tiba-tiba. Oleh itu, berdasarkan pemerhatian dan perubahan yang berlaku kepada cerun tersebut membolehkan kita mengambil langkah-langkah bagi mengelakkan masalah tanah runtuh berlaku. Jika tapak cerun itu membengkak, ini menunjukkan berlakunya pergerakan tanah dan tanah boleh runtuh pada bila-bila masa. Satu lagi pemerhatian adalah retakan pada bahagian atas cerun yang biasanya membentuk satu garisan yang bersambung. Begitu juga cerun-cerun yang tidak mempunyai sebarang tumbuhan atau rumput mempunyai kebarangkalian besar untuk runtuh.

Merekabentuk semula cerun tidak menyelesaikan masalah tanah runtuh. Ia hanya dapat mengelakkannya daripada berlaku. Jika pemerhatian tidak dibuat dengan betul, mereka bentuk semua cerun akan gagal. Cerun juga memerlukan pemerhatian berterusan dan terdapat banyak sistem pemerhatian cerun yang terdapat di pasaran.

Pemaju perumahan juga perlu mewujudkan Pelan Tindakan Kecemasan (Emergency Response Plan - ERP) untuk memastikan penduduk di projek perumahan mereka menyedari tentang cerun dan cara-cara ringkas mengenal pasti kemungkinan tanah runtuh. Pemaju dan agensi kerajaan terbabit patut melakukan pemeriksaan secara berjadual terhadap struktur cerun, terutamanya di kawasan berisiko tinggi.

Tindakan tegas perlu diambil ke atas pemaju atau pihak berkuasa tempatan yang gagal mengambil tindakan segera terhadap aduan tentang kemungkinan cerun tanah tinggi akan runtuh. Pihak berkuasa tempatan merupakan antara agensi yang telah meluluskan pembangunan seperti ini.

Banyak nyawa yang dapat diselamatkan jika pendidikan tentang keadaan cerun tanah tinggi diberikan kepada penduduk yang tinggal di kawasan bercerun tanah tinggi.


DATUK MARIMUTHU NADASON
Presiden
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA

No comments:

Post a Comment