Sunday, November 20, 2011

Dilema kebanjiran tenaga buruh asing di Malaysia !

Sebenarnya kehadiran tenaga kerja asing di negara kita memang membawa pelbagai kesan. Ada pihak yang melihatnya kesan negatif dan ada juga yang melihatnya sebagai kesan positif. Mungkin perkara ini memerlukan penelitian yang lebih mendalam daripada semua pihak terutama kerajaan.

Satu perkara yang kita semua harus akui ialah pekerja asing ini telah memberi sumbangan terhadap pertumbuhan ekonomi negara kita. Lihat sahaja sektor pembinaan negara yang memerlukan pekerja yang ramai. Bangunan-bangunan yang tinggi di ibu kota semuanya didirikan hasil titik peluh pekerja asing yang sanggup bekerja keras dengan bayaran yang minimun mungkin.

Bukan itu sahaja, sektor pembuatan negara terutama industri kecil dan sederhana mampu bersaing dengan negara-negara lain kerana menggaji pekerja asing. Kadar upah yang secara relatifnya rendah berbanding mengupah pekerja tempatan menyebabkan sektor industri kita mampu mengeksport barangan lebih murah ke negara-negara lain. Keadaan ini secara tidak langsung turut menjana pertumbuhan pesat eksport negara.

Kehadiran pekerja asing ini turut meningkatkan imej negara sebagai sebuah negara yang membangun. Kalau kita kaji secara teliti, semua rakyat negara maju tidak lagi suka melakukan kerja-kerja yang kotor, tidak berstatus, dan memerlukan kudrat yang tinggi. Jadi, sikap yang diamalkan oleh rakyat kita ini selaras dengan ciri-ciri negara maju yang lain. Kekosongan dalam sektor ini yang menyebabkan pekerja asing membanjiri negara kita.

Namun, kesan positif yang dihasilkan itu turut mengundang bencana terhadap negara kita. Kalau kita selidik, jumlah pekerja asing yang memasuki negara kita ramai yang tidak berdaftar atau lebih tepat masuk secara haram. Keadaan ini menyebabkan timbulnya pelbagai gejala tidak sihat yang sering dikaitkan dengan mereka. Kesukaran untuk mengenal pasti dan mengawal kebanjiran pekerja asing secara haram ini telah memeningkan kerajaan. Pelbagai langkah telah dicuba tetapi hasilnya masih tidak meyakinkan kita.

Kemunculan pekerja asing turut menimbulkan persoalan budaya. Kebanyakan pekerja asing ini datangnya daripada Indonesia, Vietnam, Myammar, India, Filipina, dan Thailand yang telah mengasimilasikan budaya mereka ke dalam budaya kita. Lihat sahaja kelakuan mereka ketika berada di tempat-tempat awam yang jauh berbeza dengan budaya masyarakat tempatan. Dalam keghairahan kita menerima mereka, kita juga harus sedar perbezaan budaya yang wujud antara kita dengan mereka.

Persoalan budaya ini kalau dipanjangkan turut membeir kesan terhadap remaja kita. Remaja kita sudah pasti akan terpengaruh dengan kehadiran budaya baru ini. Mungkinkah bahasa kita akan bertukar seiring dengan wujudnya bahasa asing ini? Mungkin perkara itu tidak akan berlaku tetapi sedikit sebanyak kita akan menerima kesannya jua.

Isu penderaan pekerja asing terutama pembantu rumah turut mengejutkan kita. Keadaan ini bukan sahaja menjatuhkan imej negara malah membuktikan betapa masalah pekerja asing ini tidak ditangani dengan sistematik. Ketiadaan peruntukkan yang kuat untuk menjaga nasib pekerja asing telah banyak kali menjadi perhatian media massa. Pekerja asing tiada mempunyai tempat untuk mengadu hal mereka. Mungkin kerajaan harus mengambil langkah lebih keras dalam menangani isu penderaan ini.

Maka, isu pekerja asing bukanlah satu isu yang mudah ditangani. Kemelut ini memerlukan satu badan bertindak khas untuk memastikan semua pihak menerima pembelaan yang sewajarnya. Kita tidak boleh menganggap pekerja asing satu masalah sementara sahaja tetapi satu masalah yang hanya menanti masa untuk meletup menjadi isu yang lebih besar dan bahaya.

Usaha membantu OKU !

Usaha berterusan membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan satu tindakan yang wajar demi membolehkan golongan ini memberikan sumbangan berkesan kepada negara.
Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu golongan ini?

Sejak akhir-akhir ini isu kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) telah menjadi satu topik perbincangan yang hangat dalam kalangan rakyat di negara ini. Golongan OKU juga perlu dibela oleh seluruh anggota masyarakat kerana mereka tidak mampu melakukan aktiviti fizikal kerana kecacatan yang dialami itu. Sehubungan itu, institusi kerajaan, sawasta dan orang awam mestilah menyusun strategi atau usaha untuk membantu golongan OKU memajukan diri mereka supaya tidak tersisih dalam arus globalisasi kini. Pada masa yang sama mereka juga dapat memberi sumbangan untuk membangunkan ekonomi Negara ini.

Antara usaha untuk membantu OKU ialah menyediakan peluang untuk mendapatkan kemahiran dalam bidang tertentu. Program kemahiran tersebut sangat penting untuk melatih OKU menguasai bidang kraftangan, membaiki kenderaan dan perniagaan. Dengan cara ini mereka akan mudah untuk bekerja dan dapat menjana pendapatan keluarga walaupun cacat. Oleh itu, sokongan daripada pihak kerajaan amat diperlukan untuk membangunkan pusat-pusat latihan kemahiran OKU ini seperti Program Semai Bakti Pusat (PDK) di bawah pengawasan Felda di seluruh Negara berjaya melatih kira-kira 7,700 orang OKU dalam pelbagai bidang. Jelaslah kemahiran yang dimiliki oleh OKU itu akan membantu OKU berdekari dan menyumbangkan kepada kemajuan serta pembangunan ekonomi negara kita.

Selain itu, pihak kerajaan perlu membuka peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kepada OKU. Sistem pendidikan khas perlu diperluaskan kepada OKU yang berada di luar bandar supaya ibu bapa yang mempunyai anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-anak mereka. Sehubungan itu, kemudahan pendidikan khas ini mestilah ditingkatkan bagi melahirkan para pelajar yang standing dengan pelajar yang normal. Malah pihak kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau kaota pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada OKU yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh itu, peluang ini akan meninkatkan lagi motivasi pelajar OKU untuk mengubah nasib hidup mereka kea rah yang lebih baik pada masa akan datang dengan ilmu yang dimiliki itu.

Di samping itu, pihak swasta pula tidak boleh mengamalkan dasar pilih kasih semasa mengambil pekerja untuk berkhidmat dalam syarikat mereka. Mereka perlu bersikap adil kerana golongan OKU juga mampu menyumbangkan kemahiran yang ada untuk memajukan syarikat tersebut. Di kilang umpamanya sudah ada OKU yang bekerja sebagai operator pengeluaran, pembantu pejabat dan kerani dimana sebelum ini kerja sebegini hanya dilakukan oleh pekerja yang normal sahaja. Kita harus memuji Pasaraya Besar Carrefour telah mensasarkan 5 peratus daripada pekerjanya adalah OKU menjelang tahun 2010 nanti iaitu berjumlah kira-kira 200 orang. Oleh itu, peluang pekerjaan haruslah dibuka kepada OKU untuk membantu mereka mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan keluarga mereka.

Bantuan modal juga diperlukan oleh golongan OKU untuk memulakan sesuatu perniagaan. Hal ini demikian kerana rata-rata golongan ini adalah terdiri daripada orang susah atau miskin. Sehubungan itu, pihak kerajaan mestilah mengambil tindakan segera melalui Kementeriannya agar minat OKU dalam bidang ini dapat dikembangkan dari masa ke masa. Sebagai contoh dalam Rancangan Malaysia ke-9 kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM 22 juta melalui Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU dibawah kelolaan Kementerian Sumber Manusia. Semua OKU yang berminat boleh membuat permohonan dan perlu mendapat sokongan daripada persatuan masing-masing. Oleh itu, bantuan kewangan atau modal ini sangat penting untuk membolehkan golongan ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa bergantung kepada pertolongan daripada orang lain.

Kesimpulanya, golongan OKU sangat memerlukan bantuan daripada kita semua untuk meneruskan dan memajukan diri mereka ke tahap yang lebih baik lagi. Untuk merealisasikan hasrat tersebut semua pihak terutama kerajaan, swasta dan masyarakat mestilah berganding bahu menjayakan matlamat tersebut. Sekiranya kita tidak bersungguh-sunggguh membantu golongan ini sudah pasti mereka akan tersisih dalam era pemodenan Negara menjelang tahun 2020 nanti. Bak kata pepatah muafakat membawa berkat sangat sesuai diamalkan oleh masyarakat kita dalam usaha membantu golongan OKU.

Gejala Rasuah satu penyakit sosial.

Faktor-faktor penyebab dan langkah-langkah mengatasinya
Fenomena rasuah sering dikaitkan dengan istilah tumbuk rusuk atau makan suap dan konotasi ini membawa maksud yang negatif kepada imej sesebuah masyarakat itu. Semakin tinggi kadar rasuah di sesebuah negara itu maka semakin rendahkan persepsi masyarakat luar terhada kemampuan rakyat negara terbabit untuk melakukan sesuatu terutama dalam aspek ekonomi. Media massaa turut menyiarkan pelbagai kes yang melibatkan pegawai kerajaan berprofil tinggi yang terlibat dalam amalan rasuah ini sebagai bukti betapa masalah ini semakin menular dalam masyarakat kita. Jelaslah, fenomena sosial ini mempunyai pelbagai imlikasi, punca dan langkah yang efektif untuk menanganinya.

Punca yang ketara tentang gejala ini sering dikaitkan dengan masalah ketelusan sistem pentadbiran kerajaan kita. Masyarakat menganggap masaah rasuah ini bermaharajalela kerana kerajaan tidak memiliki satu sistem yang telus terutama dalam aspek pemberian tender dan projek lain yang menyebabkan ramai pekerja awam mengambil kesempatan daripada kelemahan itu untuk mengambil wang secara haram ini. Ketiadaan sistem pemantauan yang berkesan telah menyebabkan ramai kaki tangan awam yang terangsang untuk melakukan jenayah yang keji ini. Jelaslah, masalah ini berleluasa apabila tiadanya satu ketelusan dalam sistem tadbiran awam negara kita.

Selain itu, masalah jenayah kolar putih ini turut merebak lantaran sikap masyarakat kita yang tidak peka dengan polemik masalah ini secara terperinci. Ada kalangan masyarakat yang menganggap masalah ini merupakan asam garam kehidupan yang harus dan telah dialami oleh semua negara di dunia ini. Persepsi sedemikian menyebabkan mereka menganggap tindakan mengambil rasuah dan memberi rasuah itu sudah menjadi satu kebiasaan yang tidak pernah dimalukan oleh sesiapa sahaja. Maka, kurangnya pemahaman masyarakat terhadap masalah rasuah ini menyebabkan masalah ini menular secara pantas dalam masyarakat kita terutama yang tinggal di bandar-bandar besar.

Bukan sahaja kurangnya pemahaman tentang masalah ini yang membawa penularan gejala sosial ini tetapi masalah ini turut mempunyai kaitan dengan penguatkuasaan undang-undang yang dikatakan lemah dalam sistem perundangan negara kita tentang isu rasuah ini. Tindakan mahkamah mengenakan hukuman yang dianggap ringan kepada pesalah-pesalah rasuah berbanding dengan jumlah rasuah yang diambil oleh mereka telah memberikan satu pandangan negatif terhadap keupayaan sistem kehakiman kita untuk menangani isu ini. Hukuman yang ringan ini dikatakan menjadi motivasi kepada pihak-pihak tertentu untuk mengambil risiko melakukan rasuah kerana mereka sedar mereka masih mampu menikmati hasil rasuah yang mereka ambil itu setelah keluar dari penjara. Sesungguhnya, kelemahan dalam sistem kehakiman menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan rasuah di negara ini telah memberi satu pandangan salah tentang rasuah ini kepada masyarakat kita.

Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah rasuah ini? Sudah pasti tindakan awal ialah kerajaan membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani kemelut ini dengan menahan, mendakwa dan menghukum pesalah-pesalah rasuah tanpa mengira kedudukan mereka. Rakyat masih beranggapan bahawa masih ada pihak-pihak tertentu yang mengambil rasuah tetapi mereka tidak di bawa ke muka pengadilan yang menimbulkan rasa tidak ppercaya rakyat akan keikhlasan kerajaan menangani isu ini. Kesungguhan kerajaan mendakwa atau menyeret mereka ini ke mahkamah akan memberi satu peringatan agar mereka tidak mengambil rasuah pada peringkat awalnya. Sesungguhnya, tindakan tegas kerajaan mendakwa semua pihak yang terlibat tanpa memilih bulu akan memberi petanda bahawa pengamal rasuah akan menerima hukuman yang setimpal dan menakutkan mereka untuk melakukan jenayah ini.

Usaha kerajaan untuk menakutkan pesalah rasuah dan masyarakat boleh dicapai menerusi satu kempen iklan yang efektif. Kempen yang dilancarkan itu mestilah menggunakan media massa secara holistik iaitu daripada akhbar hinggalah ke internet untuk memastikan semua khalayak masyarakat menerima kempen tersebut. Semua imej atau aksi yang dipaparkan melalui iklan itu mestilah berupaya meninggalkan kesan atau menjadikan masyarakat berfikir dua kali sebelum mereka menerima rasuah. Jadi, kempen yang begitu mudah tetapi berkesan menjadi satu wahana yang baik dalam peperangan memerangi amalan rasuah ini.

Seterusnya, penerapan konsep keagamaan dan moral hendaklah dilakukan terutama di sektor pendidikan negara seperti dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti. Usaha menerapkan konsep murni sebegini perlu dilakukan pada peringkat awal kehidupan seseorang itu supaya mudah untuk mengawalnya. Semua konsep yang baik dijelaskan kepada pelajar supaya mereka memahami keperluan untuk membebaskan diri dan negara daripada ancaman rasuah ini. Ringkasnya, pendidikan kepada golongan muda berupaya menyekat penularan wabak sosial yang begitu memalukan ini dengan begitu mudah dan berkesan.

Konklusinya, semua faktor dan langkah mengatasi kemelut sosial ini harus diteliti dan dipantau oleh semua pihak dengan berkesan. Perubahan paradigm masyarakat terhadap rasuah perlu berlaku terlibat dahulu jika masalah ini hendak diatasi hingga ke akar umbinya. Kelewatan untuk mengatasi masalah ini mampu menjadikan negara kita satu negara yang begitu sukar untuk dipercayai dan diuruskan pada masa hadapan. Mungkin konsep mencegah daripada mengubatinya lebih berkesan dalam memastikan rasuah terus berkubur dalam tempat yang sepatuntnya.

Orang Kurang Upaya ( OKU ):Modal insan yang tidak boleh dipinggirkan

Menurut definisi WHO Pertubuhan Kesihatan PBB, orang kurang upaya ialah "kanak-kanak atau orang dewasa yang cacat adalah mereka yang pada sesuatu masa, terhalang oleh keadaan fizikal atau mental dari melakukan aktiviti-aktiviti normal rakan sebaya seperti sosial, rekreasi , pelajaran dan vokasional". Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) secara umumnya dapat dikategorikan kepada dua kumpulan utama, iaitu kurang upaya secara kekal dan kurang upaya secara sementara. Namun, masyarakat kurang upaya ini terus dipinggirkan.

Sebenarnya, orang kurang upaya memiliki kemahiran yang tidak kurang hebatnya berbanding orang biasa. Ada antara mereka yang memiliki kelulusan yang tinggi dan kemahiran khusus. Mereka berupaya untuk berfikir dan melakukan tugas yang biasa dilakukan oleh manusia yang lengkap anggota badannya. Kebanyakan tugas di pejabat atau di mana-mana boleh dilakukan oleh orang kurang upaya ini. Ringkasnya, golongan ini memiliki keupayaan yang sama seperti orang biasa.

Masyarakat ini turut tidak harus dipinggirkan kerana mereka turut mempunyai perasaan yang sama seperti insan lain. Mereka tidak suka dipandang rendah dan dianggap tidak berguna. Pekerjaan yang mereka lakukan itu mampu memberi mereka sedikit semangat atau perangsang untuk meneruskan kehidupan ini. Jika tenaga mereka dibiarkan begitu sahaja, sudah pasti negara akan kehilangan sesuatu yang berharga. ada seramai 86 348 orang kurang upaya yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 1999 yang akan berasa diri mereka tidak berguna jika sikap buruk masyarakat ini berterusan.

Malah, faktor yang penting yang menekankan peri pentingnya masyarakat kurang upaya di negara ini ialah kejayaan orang kurang upaya membuktikan bahawa negara kita memberi layanan yang sewajarnya kepada masyarakat tanpa mengira warna kulit, keturunan dan keupayaannya. Bukankah ini member imej yang baik kepada negara kita? Semua pihak akan menggunakan negara kita sebagai contoh dalam tindakan mereka untuk melayan orang kurang upaya di negara mereka pula.

Namun demikian, nasib orang kurang upaya tidak akan cerah kerana negara ini kekurangan akta untuk melindungi orang kurang upaya. Sememangnya, negara kita memiiki akta yang membenarkan syarikat mengambil pekerja kurang upaya tetapi kuasa untuk menguatkuasakannya begitu lemah. Keadaan ini menyebabkan nasib orang kurang upaya terus dirundung malang.

Sikap masyarakat kita perlu berubah dengan menganggap orang kurang upaya ini tidak berguna. Kita harus melayan mereka seperti orang biasa tanpa memberi sebarang layanan istmewa yang menyebabkan mereka berasa tersinggung. Sikap masyarakat kita kadangkala mengelirukan kerana menganggap orang kurang upaya tidak berguna tetapi memberi layanan yang berlebihan sehingga menjadi orang kurang upaya berasa mereka dianggap tidak berupaya pula

Kesimpulannya,kemelut orang kurang upaya ini terus wujud di negara ini jika sikap masyaraat tidak berubah. Pada awal tahun 2001, bilangan orang kurang upaya yang berdaftar ialah 99 500 . Peningkatan ini membuktikan betapa pentingnya paradigman masyarakat berubah dengan segera. Hendak serbu daya tak hendak seribu dalih mungkin menjadi asas perubahan itu.

SOALAN PERCUBAAN PA 2 Bahagian A & B 2011


SOALAN PERCUBAAN NEGERI 2011 : Laras Sastera
JOHOR
Konsep Bandar Selamat diwujudkan di kawasan petempatan bagi menjamin kesejahteraan komuniti setempat. Bincangkan.
Transformasi dalam bidang sukan boleh dilaksanakan menerusi Dasar' 1 Murid 1 Sukan. Namun begitu, pelbagai cabaran terus melanda industri ini. Bincangkan.
NEGERI SEMBILAN
Pengenalan kepada "Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia" adalah usaha kerajaan untuk menggalakkan rakyat membeli barangan keluaran tempatan. Namun begitu,usaha ini banyak menghadapi cabaran dalam pelaksanaannya,Jelaskan pernyataan ini.
Bencana alam membawa kesan yang berpanjangan kepada mangsa. Menjadi tanggungjawab negara-negara lain untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana alam tersebut. Bincangkan kesan bencana ini kepada mangsa serta jenis bantuan yang diperlukan.
KEDAH
Pulau Pinang semakin popular selepas Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) mengiktiraf Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia pada 7 Julai 2008. Jelaskan kepentingan pengiktirafan ini dan langkah-langkah untuk mempopularkan Tapak Warisan Dunia yang terdapat di Malaysia.
Kegiatan merempit hangat diperkatakan melalui media massa sama ada media cetak ataupun media elektronik. Walaupun kadang kala kegiatan ini berakhir dengan tragedi, namun masih ramai lagi yang tidak serik-serik untuk melakukan aktiviti tersebut. Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan gejala ini berleluasa dan langkah-langkah menanganinya.
MELAKA
Selain pembentukan rukun negara sebagai satu cara untuk menyatupadukan masyarakat majmuk di negara ini, perpaduan kaum di negara ini boleh dicapai oleh pelbagai kaedah lain. Huraikan penyataan ini.
Mutakhir ini bencana alam merupakan fenomena yang sering melanda di beberapa buah negara. Bincangkan jenis bantuan kemanusiaan yang wajar diberi untuk meringankan kesengsaraan mangsa bencana alam.
PAHANG
Dasar Teknologi Hijau merupakan satu transformasi ke arah pembangunan lestari yang memerlukan komitmen semua pihak. Bincangkan potensi dan cabaran yang perlu dihadapi dalam merealisasikan Dasar Teknologi Hijau.
Isu pekerja asing bukanlah perkara baru di negara kita. Kemasukan mereka disebabkan oleh faktor tarikan ke negara ini dan situasi yang berlaku di negara asal mereka. Bincangkan penyataan di atas.
PULAU PINANG ( SMK JIT SIN )
Pada era ledakan maklumat ini, laman web sosial sudah menjadi satu keperluanpenting dalam kehidupan manusia tidak kira usia dan latar belakang pendidikanmahupun pekerjaan. Namun begitu, ketagihan dan penyalahgunaan laman web sosialturut menceralukan kehidupan manusia. Bincangkan.
Salah satu jenayah serius antarabangsa ialah jenayah pemerdagangan manusia.Golongan manusia yang miskin dan lemah dieksploitasi oleh golongan tamak dansindiket jenayah. Bincangkan implikasi yang didatangkan oleh jenayah ini serta cadangkan langkah-langkah mengatasinya.
SABAH
Antara tujuan kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah pusat atau hub produk halal ialah membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara. Jelaskan pernyataan tersebut.
Kewujudan laman sosial seperti “facebook”, “twitter” dan blog sebagai medium komunikasi telah membolehkan masyarakat menghantar dan menerima maklumat dengan cepat. Namun, kemudahan ini telah disalahgunakan oleh pelbagai pihak. Bincangkan.
SELANGOR
Dalam proses pembangunan negara, kita banyak mengorbankan warisan tradisi dan nilai kemanusiaan. Jelaskan.
Salah satu kesan aktiviti pemerdagangan manusia adalah mencemarkan imej negara di mata dunia. Pelbagai usaha perlu dijalankan untuk mengurangkan masalah tersebut. Bincangkan.
TERENGGANU
Walaupun wujud pelbagai cabaran, namun usaha terus dilakukan oleh kerajaan untuk memajukan sektor pelancongan negara Jelaskan penyataan ini
"Kumpulan masyarakat yang dikenali sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) merupakan sebahagian daripada kehidupan masyarakat normal. Bincangkan implikasi peningkatan kumpulan OKU ini.
SOALAN PERCUBAAN NEGERI 2011 : Laras Sains
JOHOR
Belakangan ini kes tanah runtuh menjadi polemik kerana kadarnya semakin meningkat. Ternyata tragedi ini membawa impak kepada hidupan keseluruhannya. Bincangkan.

Teknologi berkonsepkan halal-bio boleh menjamin tahap kesihatan manusia. Ulaskan.

NEGERI SEMBILAN
Terumbu karang cukup penting dalam biodiversiti alam dan kehidupan manusia.Namun belakangan ini terumbu karang semakin hari semakin pupus .Bincangkan.

Penyakit mental semakin hari semakin meningkat di negara kita. Pelbagai usaha perlu diambil agar penyakit ini dapat dibendung dengan segera. Bincangkan penyataan di atas.

KEDAH
Bunyi yang tidak disukai akan memberi ketidakselesaan kepada manusia. Bunyi tersebut tidak memberikan apa-apa informasi dan kekuatarinya sering berubah secara mendadak dari semasa ke semasa. Bincangkan faktor-faktor pencemaran bunyi dan kesannya kepada manusia

Teknologi Hijau ialah pengaplikasian penggunaan sains alam sekitar untuk memelihara sumber dan alam sekitar semula jadi serta mengawal kesan negatif aktiviti manusia. Bincangkan kepentingan teknologi hijau kepada manusia.


MELAKA
Virus yang terdapat pada haiwan bukan sahaja menyebabkan penularan wabak penyakit, malahan menyebabkan kematian ke atas manusia. Pelbagai langkah perlu diambil untuk menghindarkan penularan wabak tersebut. Bincangkan.

Teknologi robotik membawa banyak kesan positif kepada pembangunan negara. Namun demikian penggunaannya perlu dikawal untuk menghindari kesan negatif. Bincangkan.


PAHANG
Pengurusan sisa pepejal yang baik bukan sahaja dapat mewujudkan alam sekitar yang bersih tetapi mempunyai pelbagai manfaat lain. Bincangkan pemyataan di atas.

Tenaga nuklear merupakan sumber yang banyak membantu kehidupan manusia. Namun,sumber ini juga membawa pelbagai kesan sampingan.Bincangkan.

PULAU PINANG ( SMK JIT SIN )
Wabak penyakit berjangkit bawaan media air semakin serius kerana punca-puncatertentu. Dengan itu, langkah-langkah pencegahan perlu diambil pada kadar segerauntuk menangani ancaman penyakit tersebut terhadap kesihatan manusia. Huraikan penyataan di atas.

Masalah pemanasan global dan kepupusan sumber tenaga asli telah mendorongpara saintis seluruh dunia mempergiatkan usaha menyelidik dan menghasilkanteknologi hijau. Dalam konteks ini, karajaan Malaysia turut melancarkan DasarTeknologi Hijau Nasional. Pada pendapat anda, apakah nilai tambah teknologi ini terhadap kelestarian hidup alam sekitar dan manusia?

SABAH
Pembudayaan teknologi hijau di Malaysia amat penting untuk kelestarian hidupan. Jelaskan.

Hipertensi, diabetis dan lemah jantung antara penyakit paling umum dihidapi ramai. Kebimbangan terhadap pembunuh senyap ini dipengaruhi oleh beberapa faktor. Justeru, penyakit yang menyebabkan kesengsaraan hidup dan meragut nyawa itu harus dicegah. Bincangkan.

SELANGOR
Pengurusan sisa-sisa toksik yang tidak sistematik akan mengancam kehidupan manusia dan alam sekitar.Huraikan.

Bidang bioteknologi telah berkembang pesat dan memberi banyak sumbangan dalam kehidupan manusia terutamanya di negara-negara maju. Huraikan penyataan di atas.

TERENGGANU
Pelbagai faktor dikenal pasti menyebabkan berlaku kesan rumah hijau. Fenomena ini telah menimbulkan pelbagai kesan kepada alam sekitar. Bincangkan.

Kementerian Pelajaran telah mengenal pasti masalah pemakanan dalam golongan kanak-kanak merupakan punca kanak-kanak mengalami masalah obesiti. Selain faktor di atas, bincangkan faktor-faktor lain yang menyebabkan berlaku masalahberkenaan.

R&D : Kepentingan dan Cabaran




A)  KEPENTINGAN

i) PENGHASILAN BARANG YANG KREATIF
R&D akan menghasilkan barangan yang kreatif dan  inovatif. Sebagai contohnya Malaysia mampu menghasilkan lampu bijak (smart lamp) yang dapat padam dan menyala secara automatik. Lampu ini kini dihasilkan secara besar-besaran di seluruh dunia.Pasarannya meluas kerana keistimewaannya. R&D Jerman pula Berjaya menghasilkan beg udara (air bag) dalam kereta.Bagi udara ini dapat melindungi pemandu dan penumpang daripada terhentak pada badan kereta semasa kemalangan.Dengan itu keselamatan pemandu dan penumpang lebih terjamin.Kini beg udara ini digunakan secara meluas dalam semua industri automobil.

ii) PENINGKATAN PRODUKTIVITI
R&D dapat meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos pengeluaran kos pengeluaran. MARDI,melalui R&D, banyak menghasilkan baka padi yang bermutu tinggi, misalnya MK 188 dan MK 189. Tumbesaran beras ini cepat. Hasilnya lumayan dan berkualiti. Daya tahannya terhadap penyakit yang tinggi.Oleh itu,hasil yang tinggi akan menambah pendapatan petani di samping memenuhi permintaan makanan rakyat. Melalaui R&D robot juga dihasilkan untuk menggantikan tenaga manusia. Robot boleh melakukan kerja dengan lebih cekap tanpa dipengaruhi emosi dan keletihan seperti manusia. Kos pengeluaran juga dapat dikurangkan.                  
                       
iii) MEWUJUDKAN TENAGA MANUSIA BERKEMAMPUAN
Malaysia telah memanfaatkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi melalui Koridor Raya Multimedia, menggalakkan pembangunan Industri Teknologi Maklumat, serta mewujudkan tenaga manusia yang berkemampuan untuk memanfaatkan teknologi tersebut. Generasi muda seharusnya mampu untuk memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran,selaras dengan tuntutan suasan ekonomi semasa. Pembangunan tenaga manusia akan menjadi kunci kepada kejayaan Negara pada alaf baharu. Pengeluaran pelbagai sektor ekonomi serta daya saing negara dalam pasaran global akan ditentukan oleh kecekapan dan kemampuan tenaga pekerja, pengurus, pentadbir, dan juga penyelidik, untuk menggerakkan ekonomi.

iv) PELUANG MEMPERKUKUHKAN EKONOMI
Proses globalisasi akan menular ke dalam masyarakat dan ekonomi Malaysia melalui Lebuh Raya Maklumat serta memberi peluang untuk memperkukuhkan ekonomi. Hal ini menggalakkan para saintis dan penyelidik untuk membangunkan inisiatif baharu dalam bidang-bidang pendidikan, perubatan, dan bioteknologi, yang berpotensi dimanfaatkan di peringkat global, sekali gus menaikkan imej Malaysia di mata dunia, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju.

B) MASALAH MEMBANGUNKAN R&D
i) KOS TINGGI
Pembangunan dalam bidang teknologi maklumat memerlukan kos yang tinggi. Contohnya dalam tahun 80-an Amerika Syarikat telah membelanjakan sebanyak AS$750 billion untuk meningkatkan prasarana atau infrastruktur  yang berkaitan dengan teknologi maklumat. Sudah pasti kos pada hari ini semakin meningkat. Hal ini akan membawa masalah kepada Negara-negara yang tidak mempunyai teknologi maklumat akan ketinggalan dan secara tidak langsung turut menjejaskan aspek-aspek lain yang berkaitan termasuk perkembangan ekonomi. Jadi,pengagihan kekayaan dunia menjadi tidak smbang dan lebih memihak kepada Negara-negara maju yang tentunya menguasai teknologi maklumat.

ii) MASALAH PELAN PEMBANGUNAN NEGERI
Ketiadaan pelan pembangunan ataupun pelan pembangunan negeri yang sudah terlalu lama dan tidak sesuai lagi digunakn (out-dated) merupakan satu masalah bagi menyelaraskan perancangan dan pembangunan bagi seluruh negeri .Contohnya Pulau Pinang mempunyai satu Pelan Induk yang dibuat pada awal tahun 1970-an dan penyediaan Rancangan Struktur Seberang Perai ialah paa pertengahan 1980-an. Oleh tiu, Pelan Induk yang disediakan sudah ‘out dated’ untuk rujukan dan Rancangan Struktur Seberang Perai yang disediakan tidak menggambarkan keselarasan perancangan.

iii) KETIADAAN RANCANGAN STRUKTUR BERSAMA
Akta 172 memperuntukkan kawasan di bawah kuasa tempatan sahaja perlu disediakan pelan struktur dan tidak memperuntukkan kawasan yang tidak mempunyai pihak berkuasa tempatan. Oleh itu, ini bermakna kawasan yang diliputi oleh pelan-pelan struktur adalah taburan dan tidak selaras. Pihak Berkuasa Tempatan tidak mempunyai kuasa untuk menyediakan Rancanag Struktur secara bersama iaitu dengan mencantumkan beberapa kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan seterusnya menyediakan satu sahaja Rancangan Struktur.Ini tidak boleh dilakukan kerana peruntukkan didalam Akta 172.

iv) PENYERTAAN AWAM
Daripada pengalaman penyertaan awam yang lepas,didapati bahawa sambutan orang ramai untuk mengeluarkan pendapat mereka adalah bebitu dingin. Pelan Struktur yang berbentuk kenyataan bertulis denagn matlamat, objektif dan polisi lazimnya sukar difahami oleh masyarakat awam. Akibatnya tindakbalas kepada penyertaan awan amat rendah,umpamanya penyertaan awam dalam Rancangan Strukrur Pulau Pinang, cuma 2800 orang sahaja yang melawat pameran iaitu kurang daripada 1% penduduk Pulau Pinang. Walau bagaimanapun implikasi daripada campur tangan politik akan membantutkan proses perlaksanaan dan juga akan menimbulakan persoalan sejauh manakah keberkesanan Rancangan Struktur dan Perancangan Tempatan. 

Cuba teka apakah buah ini ?

Cuba teka apa benda ini ? Agak-agak berapa harganya ?

Friday, November 18, 2011

Perkataan 'BARU' , 'BAHARU', 'BHARU', 'BAHRU' !


Dalam bahasa Melayu, terdapat beberapa perkataan yang hampir sama dari segi bentuk, ejaan dan sebutan. Sebenarnya, keempat-empat perkataan ini berbeza makna dan penggunaannya.

Perkataan baharu bermaksud tidak buruk, kelihatan cantik, kerana belum pernah atau belum lama dipakai atau kerana terpelihara dengan baik. Ayat contoh:

1. Sempena hari raya pada tahun ini, emak membeli pakaian baharu untuk kami.
2. Kerani baharu di pejabat SMK Triang itu sangat rajin.
3. Lapan orang guru baharu akan melapor diri di SMK Triang esok.

Perkataan baru pula merujuk masa atau waktu, iaitu belum berapa lama lagi, sesudah, tidak lama sebelum ini, dan sebagainya.

4. Beliau baru tiba dari Pulau Pinang pada petang tadi.
5. Kemara yang baru dibeli oleh ayah semalam telah dicuri orang.
6. Kakak baru sahaja bertolak dari Kota Bharu ke Johor Bahru sebentar tadi.

Selain baru dan baharu, terdapat juga perkataan lain yang hampir sama dari segi ejaan dan sebutannya, iaitu Bharu dan Bahru. Perkataan ini sebenarnya kata nama khas. Ayat contoh:

7. Saya berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
8. Adik ipar saya berasal dari Taman Tun Fatimah di Johor Bahru.

Kesimpulannya, perkataan baru digunakan untuk maksud masa. Perkataan baharu digunakan untuk maksud sifat atau adjektif. Perkataan Bharu dan Bahru pula digunakan sebagai nama khas. Lihatlah ayat yang di bawah ini:

9. Abang baru sahaja membeli sebuah kamera baharu di Kota Bharu sebelum berpindah ke Johor Bahru.