Wednesday, November 2, 2011

Cara-cara Menjaga Kebersihan Tandas Awam


Kebersihan tandas awam mendapat perhatian pihak berwajib sejak akhir-akhir ini.
Anda ingin menyuarakan pandangan tentang langkah-langkah untuk meningkatkan kebersihan tandas awam.
Tulis pendapat anda itu.


Keadaan tandas awam mencerminkan sikap masyarakat sesebuah negara itu. Semakin kotor tandas awamnya maka semakin rendahlah tahap kebersihan dalam minda setiap ahli masyarakat negara tersebut. Keadaan ini menjadi semakin memalukan kerana pelancong asing akan menilai tahap mentality rakyat negara ini berdasarkan kualiti kebersihan tandas awam kita. Oleh itu, terdapat pelbagai usaha yang boleh dilakukan untuk memastikan kebersihan tandas awam Malaysia terus bertambah baik pada masa hadapan.

Sudah pasti jalan yang paling mudah dan efektif ialah kerajaan perlu mengadakan kempen kesedaran penjagaan tandas awam secara besar-besaran. Tindakan menganjurkan kempen ini bertujuan untuk menyedarkan masyarakat cara dan kepentingan mempunyai tandas awam yang bersih sepanjang masa. Semua maklumat dalam kempen ini boleh difahami oleh masyarakat terutama generasi muda yang pasti akan tertanam dalam jiwa mereka pula. Sesungguhnya, tindakan membuat kempen ini begitu mudah tetapi membawa impak yang paling efektif dalam memupuk sikap menjaga kebersihan tandas awam di Malaysia.

Pada masa yang sama, penguatkuasaan terhadap kebersihan tandas awam perlulah ditingkatkan jua. Semua tandas awam mestilah mempunyai pekerja yang akan mengawasi tahap kebersihannya dengan menegur atau meminta pengguna tandas awam yang sengaja tidak membersihkan tandas selepas digunakan. Penguatkuasaan yang ketat dan tegas ini memang akan menerima kritikan masyarakat pada peringkat awalnya tetapi lama-kelamaan akan menjadi satu kebiasaan pula kerana masyarakat mula sedar kepentingan menjaga tandas awam itu. Jadi, tandas awam boleh menjadi bersih jika pihak penguatkuasaan bertindak tegas dengan mengenakan hukuman yang lebih tegas terhadap pengguna yang tidak bertanggungjawab itu.

Bukan sahaja penguatkuasaan perlu tegas tetapi kerajaan boleh memberikan kuasa kepada badan khas atau syarikat untuk mengurus dan menaik taraf tandas awal di negara ini. Langkah menjadikan tandas awam diuruskan oleh pihak tertentu lebih praktikal kerana pihak ini sudah pasti mempunyai kemahiran dan sumber kewangan untuk menguruskan tandas awam yang telah diamanahkan kepada mereka itu. Kewujudan satu system pengawasan dan pembersihan yang sistematik menjadi kriteria untuk mempunyai tandas awam yang bersih dan baik. Justeru, kerajaan perlulah memberikan pengurusan tandas awam ini kepada pihak yang berkemampuan untuk menguruskannya dengan lebih baik.

Malah, pihak berkuasa tempatan juga boleh mengambil inisiatif yang lebih berkesan untuk menaik taraf dan menjaga kebersihan tandas awam itu. Kajian yang lebih menyeluruh perlu dilakukan sebelum membina sesebuah tandas awal seperti melihat aspek keperluan pengguna, kaedah mengawasi kebersihan dan reka bentuk tandas awam juga penting supaya tandas awam yang dibina itu boleh diuruskan dengan mudah, murah tetapi bersih. Sikap membuat penyelidikan sebelum membina tandas awal secara terus boleh membantu pihak berkuasa tempatan pada masa hadapan terutama apabila reka bentuk tandas yang dibina itu sukar untuk dibersihkan pula. Oleh itu, pihak berkuasa tempatan perlulah lebih peka dan bijak dalam usaha untuk membina tandas awam di negara ini.

Selain itu, program tandas awam angkat juga boleh diperkenalkan di negara ini. Program ini akan membenarkan tandas awam dijadikan sebagai tandas angkat kepada badan-badan korporat yang sudah pasti akan menjadi tandas itu dengan lebih baik selaras dengan imej koprorat mereka juga. Amalan ini secara tidak langsung turut menjadikan semua pihak bertanggungjawab dalam memastikan tandas awam Malaysia terus dalam keadaan bersih dan bukannya menjadi tugas satu pihak sahaja. Jelaslah, program tandas awam angkat ini nampak remeh tetapi praktikal untuk diamalkan kerana syarikat swasta mempunyai peruntukan kewangan yang cukup untuk memastikan tandas awam mereka itu berada dalam keadaan yang baik.

Kesimpulannya, penjagaan tandas awam menjadi urusan semua pihak di negara ini. Setiap anggota masyarakat mesti sedar dan bertanggungjawab serta berganding bahu untuk meningkatkan tahap kebersihan tandas awam ini. Jika semua pihak menjalankan tugas mereka sudah pasti harapan untuk melihat kemudahan tandas awal di negara ini setanding dengan negara luar pasti akan tercapai jua nanti. Bak kata orang tua-tua, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih” membuktikan semua perkara itu boleh dicapai jika kita memiliki keazaman yang kuat untuk memperolehnya.

No comments:

Post a Comment