Wednesday, November 2, 2011

Karangan SPM ......Lokasi perumahan amat penting?

Lokasi perumahan telah menjadi satu kriteria utama untuk seseorang pembeli rumah itu. Banyak pihak telah memberikan pandangan mereka tentang kepentingan lokasi perumahan ini.

Huraikan ciri-ciri lokasi perumahan yang menjadi idaman semua pembeli.

Lokasi perumahan merujuk kawasan sesebuah rumah itu dibina oleh pemaju perumahan lalu dibeli oleh pembeli rumah. Antara lokasi perumahan yang dianggap berstatus tinggi meliputi Subang Jaya, Petaling Jaya, Damansara, Taman Tun Dr. Ismail dan juga Putra Jaya. Banyak pihak telah bersetuju bahawa kebanyakan pembeli rumah lebih mengutamakan aspek lokasi rumah itu daripada aspek yang lain seperti keluasan kawasan rumah dan kualiti rumah tersebut. Jadi, ada beberapa ciri lokasi perumahan yang diberi perhatian oleh seseorang pembeli itu.

Kriteria utama lokasi perumahan yang strategik melibatkan lokasi yang mempunyai sistem jaringan jalan raya yang baik. Maknanya kawasan perumahan itu mempunyai struktur jalan raya yang baik seperti lebar dan teratur serta tidak berlaku kesesakan lalu lintas yang keterlaluan terutama ketika waktu pejabat. Pembeli juga melihat sama ada lokasi itu mempunyai pelbagai jalan keluar masuk yang memudahkan mereka untuk pulling ke rumah setelah penat bekerja. Jelaslah, lokasi yang baik mestilah memiliki rangkaian jalan raya yang tersusun pula.

Pada masa yang sama, lokasi perumahan yang dibeli itu hendaklah mempunyai kepadatan penduduk yang kurang. Kebanyakan pembeli rumah zaman moden ini lebih mengutamakan kebebasan dan hal peribadi mereka lalu lebih cenderung memilih kawasan yang tidak begitu padat populasinya. Kekurangan kepadatan penduduk ini memberikan pembeli rumah satu ketenangan yang diperlukan setelah mengharungi kehidupan yang penuh dengan manusia itu. Ringkasnya, pembeli rumah lebih suka kawasan perumahan yang tidak begitu ramai penduduknya kerana mahu kehidupan mereka lebih tenteram.

Selain itu, ada juga pembeli rumah yang suka membeli rumah idaman mereka di kawasan yang sudah mempunyai pelbagai kemudahan awam yang penting. Antara kemudaha awam yang dipentingkan oleh golongan ini meliputi sekolah, padang, tasik, dan pusat beli-belah. Mereka berpendapat semua kemudahan ini akan menjadikan kehidupan keluarga mereka lebih sempurna tanpa perlu pergi jauh daripada lokasi rumah mereka pula. Sesungguhnya, kemudahan yang sudah tersedia menjadikan kehidupan seseorang pembeli rumah itu lebih baik pada masa hadapan kerana mereka akan menggunakan kemudahan itu juga.

Malah, lokasi perumahan yang dibeli oleh pembeli rumah turut ditentukan oleh kewujudan sistem pengangkutan awamnya. Kawasan yang memiliki sistem pengangkutan awam yang baik seperti bas dan sistem transit aliran ringan sudah pasti akan menjadi rebutan ramai pula. Pembeli menyedari kawasan perumahan sebegini memiliki daya jual semula yang tinggi terutama pada masa hadapan kerana lokasi perumahan mereka dikatakan strategik. Jelaslah, lokasi perumahan yang mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik akan dipilih daripada lokasi yang tidak mempunyai apa-apa pun.

Kesimpulannya, semua ciri lokasi perumahan yang dinyatakan tadi memang sudah menjadi satu kenyataan kepada pembeli rumah. Mereka telah menggunakan kriteria ini sebagai kayu pengukur untuk membantu mereka dalam membuat sebarang keputusan ketika membeli sesebuah rumah itu. Tindakan ini bukan sahaja memudahkan pembeli untuk membuat keputusan tetapi turut membantu mereka untuk mendapatkan rumah idaman pada harga yang berpatutan dengan kemampuan mereka. Peribahasa "kalah membeli menang memakainya" membuktikan pembelian rumah memang memang memerlukan kos yang banyak pada peringkat awalnya tetapi akhirnya akan membawa keuntungan berlipat kali ganda pula.

No comments:

Post a Comment