Wednesday, November 2, 2011

Kontroversi Pengklonan Manusia

PRESIDEN Pengklonan Manusia (Clonaid), Dr Brigitte Boisselier, yang bertanggungjawab ‘melahirkan’ Eve, 26 Disember lalu menyifatkan kelahiran bayi itu sebagai suatu rahmat. Kelahiran bayi itu, katanya, bukan saja menggembirakan ibu bapa bayi terbabit malah memberi harapan kepada pasangan yang bermasalah untuk mendapatkan anak. Eve dikatakan diklon daripada ibunya, seorang warga Amerika Syarikat berusia 31 tahun. Pengklonan Eve dilakukan selepas wanita itu dan suaminya gagal mendapat anak disebabkan suaminya mandul.

Walaupun ramai yang mempertikaikan kesahihan dakwaan saintis aliens ini (saintis terbabit percaya manusia dijadikan oleh makhluk asing atau aliens), kelahiran Eve sebenarnya menandakan bermulanya satu era baru dalam kelahiran manusia. Kelahiran pertama seorang bayi yang tidak mengikut hukum fitrah, tidak menerusi percampuran lelaki dan perempuan, persenyawaan air mani dan telur, sebaliknya dicambah melalui mana-mana sel badan manusia untuk menghasilkan penduaan.

Teknologi klon bukan sesuatu yang baru. Pengklonan dilakukan secara meluas khususnya dalam bidang pertanian melalui pengkulturan tisu, contohnya getah klon, durian malah kelapa sawit klon. Klon adalah replika atau pendua (fotostat) daripada sesuatu organisme.

Seperti teknik pengklonan biri-biri yang dilakukan oleh saintis di Institut Roslin di Edinburgh, Britain, Dr Ian Wilmut, klon manusia atau mana-mana organisme boleh dicipta dengan memindahkan nukleus (yang membawa maklumat genetik) daripada sel organisme yang dipilih ke dalam telur yang belum disenyawakan.

Nukleus telur itu dibuang, diganti dengan nukleus terpilih tadi dan dibiarkan menjalani proses persenyawaan tanpa menggunakan sperma (sel membahagi dan membiak di dalam makmal). Sel yang elok kemudian dipilih, dimasukkan ke dalam rahim ibu tumpang dan kemudian menjadi janin.

Klon yang dihasilkan ini menyamai atau hampir menyamai organisme asal. Paling tidak, klon yang terhasil ini mewarisi 90 peratus ciri organisme asal (penderma) dan turut membawa ciri-ciri (DNA) ibu tumpang.

Manusia klon adalah seperti pasangan kembar kepada penderma, cuma ia dilahirkan lewat berbanding kembarnya. Seperti pasangan kembar seiras normal, manusia klon ini dan pendermanya mempunyai cap jari yang berbeza.

Hakikatnya, pengklonan manusia memang bukan sesuatu yang mustahil. Apa yang perlu ialah pengetahuan, kepakaran dan peralatan yang lengkap. Namun, perlukah ia dilakukan? Apakah kebaikan menghasilkan manusia klon ini? Tidakkah ia melanggar ketentuan Tuhan, yang menetapkan bahawa kelahiran manusia atau keturunannya melalui perkahwinan.

Pelopor teknologi genetik, Prof James Watson, pernah berkata, teknologi genetik memungkinkan penciptaan manusia luar biasa (super human) atau human monster (makhluk ganjil). Pengubahsuaian (manipulasi) atau penjuruteraan gen yang dilakukan ke atas organisme klon akan melahirkan organisme yang mempunyai nilai tambahan.

(Prof Watson bertanggungjawab membongkar rahsia struktur molekul asid deoksiribonukleik (DNA) – bahan yang membawa pelbagai maklumat genetik organisme – lebih 45 tahun lalu, bersama-sama Francis Crick.)

Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mustafa Abdul Rahman, berkata pengklonan akan melahirkan manusia tanpa perkahwinan atau tanpa berlaku percampuran antara benih lelaki dan perempuan.

Perbuatan mengklon manusia dilihat sebagai usaha manusia untuk bertindak luar daripada peraturan yang ditentukan Allah iaitu kelahiran manusia atau keturunannya melalui perkahwinan. Perbuatan pengklonan akan melahirkan satu generasi manusia yang cuba merendah-rendahkan kejadian manusia yang dimuliakan Allah.

Pengklonan akan melahirkan generasi manusia yang boleh mencipta manusia dan akan melahirkan manusia yang akan menafikan kekuasaan Allah. Perbuatan ini menyebabkan manusia berasa dirinya mempunyai kuasa dan mampu untuk mencipta serta menentukan kejadian manusia lain menurut kehendak dirinya.

Ini akan menyeret manusia kepada kesesatan akidah kerana mereka beranggapan bahawa manusia juga boleh mencipta manusia sama seperti kekuasaan Allah mencipta kejadian alam ini.

“Pengklonan membuatkan seseorang wanita tidak memerlukan lelaki atau seorang isteri tidak memerlukan suami kerana wujud anggapan dia boleh melahirkan anak tanpa perlu kepada perkahwinan dan pembentukan keluarga,” katanya dalam kertas kerja bertajuk Pengklonan Pembiakan Manusia Dari Perspektif Islam.

Tokoh agama turut mempersoalkan taraf anak yang dihasilkan. Dalam proses pengklonan yang tidak memerlukan kewujudan sperma untuk melahirkan seorang bayi, persoalan akan timbul mengenai status DNA. Jika ia datang daripada suami keluarga terbabit, adakah si suami akan dianggap sebagai bapa kepada anak klon itu atau sebagai kembarnya?

Ini adalah perkara yang sangat berat dalam Islam kerana status nasab keturunan akan membabitkan pelbagai komplikasi dalam amalan kekeluargaan. Siapakah yang akan mewalikan pernikahan anak itu? Bagaimana hukum hakam hubungannya dengan ibu bapa dan keluarga?

Mufti Mesir, Dr Nasr Farid Wasil pada sidang akhbarnya 30 Jun 2002 menegaskan bahawa pengklonan manusia tidak harus pada pandangan syarak kerana menjejaskan beberapa perkara, termasuk hukum-hakam, kesihatan, kemasyarakatan dan perundangan.

Katanya, perbuatan mengklon bukan untuk kebaikan dan muslihat manusia sebaliknya akan membawa kecelakaan kepada manusia keseluruhannya.

Pada waktu yang sama, beliau menegaskan bahawa Islam tidak menegah dan tidak menentang pengklonan sel manusia jika untuk kebaikan. Contohnya, pengklonan yang dilakukan kepada sel manusia yang boleh dijadikan bahan untuk mengubati penyakit dengan syarat ia tidak menyebabkan berlaku percampuran keturunan.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Singapura mengeluarkan fatwa yang mengharuskan pengklonan bagi menghasilkan organ gantian untuk kajian perubatan atau menggantikan organ yang telah rosak.

Kebimbangan ini tidak terhad kepada soal agama dan nilai kekeluargaan semata-mata. Wilmut, saintis yang bertanggungjawab ‘melahirkan’ Dolly (seekor biri-biri) menyifatkan perbuatan mengklon manusia sebagai ‘menjengkelkan’, sesuatu yang tidak seharusnya dilakukan kerana ia akan menjurus kepada peningkatan kes keguguran dan kematian di kalangan bayi yang baru lahir.

Saintis juga khuatir dengan risiko dalam aspek perubatan dan pelbagai ketidakpastian yang lain. Satu daripadanya ialah bayi yang diklon akan mempunyai kromosom yang sepadan dengan usia penderma. Bermakna bayi atau kanak-kanak klon berusia 5 tahun akan kelihatan seperti 10 tahun dan yang berusia 10 tahun akan kelihatan seperti berusia 20 tahun, di samping berpotensi untuk mendapat penyakit jantung dan kanser.

Ketua Unit Genetik Manusia, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof Dr Mohd Nizam Isa, berkata berdasarkan pengklonan Dolly dan haiwan lain sebelum ini, banyak produk klon mati sebaik saja dilahirkan, mempunyai keabnormalan genetik selain masalah pembentukan tisu dan organ.

“Dalam kes ini berapa banyakkah sel yang diklon, jumlah yang dipindahkan ke dalam ibu tumpang, jumlah yang mengalami keguguran atau yang cukup bulan dan mati selepas dilahirkan.

“Saya yakin dalam kes bayi Eve ini, ia tidak berlaku secara terus tanpa membabitkan faktor-faktor ini yang lazimnya berlaku ke atas pengklonan terdahulu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, di sebalik persoalan dan kontroversi ini, dunia harus menerima hakikat bahawa teknologi nuclear transfer ini adalah teknologi dan alat yang hebat di abad ini.

Rata-rata, saintis sudah menguasai dan meningkatkan teknologi ini untuk kemajuan perubatan melalui pengklonan teraputik (terapi gen) untuk menghasilkan sel dan tisu tertentu, saraf, otot dan organ tertentu, malah untuk merawat penyakit tertentu seperti kanser, Alzheimer dan Parkinson.

Seperti kata Prof Mohd Nizam, kita bukan melakukan tugas Allah dalam urusan kejadian manusia. Perkara itu (termasuk kelahiran Eve) tidak akan berlaku jika ia tidak mendapat keizinan Allah.

Apa yang penting, sebarang kemusykilan membabitkan akidah, harus segera diperbetulkan menerusi perbincangan saintis dan ulama, sebelum umat Islam bertelingkah sesama sendiri sehingga mungkin memundurkan umat itu sendiri.


http://www.jphpk.gov.my

No comments:

Post a Comment