Wednesday, November 2, 2011

MEDIA MASSA DAN MEDIA BARU: SATU PERBANDINGAN DALAM KONTEKS DEMOKRASI

Media massa dan media baru dilihat mempunyai perbezaan yang ketara dalam dalam konteks menggalakkan proses demokrasi yang sebenar-benarnya. Media massa yang sepatutnya beroperasi sebagai medium untuk masyarakat sebaliknya gagal menjalankan tanggungjawabnya lantaran pelbagai faktor. Dalam kepincangan tersebutlah, munculnya media baru sebagai wadah baru kepada masyarakat untuk memanfaatkannya sebagai alat demokrasi yang ideal.

Apakah faktor yang menyebabkan kegagalan media massa berfungsi sebagai medium demokrasi kepada rakyat dan apakah pula sebabnya media baru dikatakan muncul sebagai medium terbaik untuk proses demokrasi di kalangan masyarakat? Persoalan inilah yang akan dikupas dalam perenggan seterusnya.

Media massa dilihat gagal menjana peranannya di dalam proses demokrasi sebagai medium untuk memaparkan berita/laporan yang signifikan, konkrit dan berkualiti tinggi. Media massa pada hari ini dilihat lebih cenderung untuk memaparkan berita yang remeh temeh dan tidak bernilai kepada rakyat. Contohnya; tidak lama dahulu media ‘disesakkan’ oleh berita tentang isu kebocoran siling. Apakah relevannya isu tersebut dipaparkan sebagai berita utama dan diulang-ulang paparannya?

Media massa juga dilihat lebih mengutamakan komersialisasi berbanding tanggungjawab sosial. Lantaran inilah menyebabkan media massa lebih menumpukan kepada berita yang sensasi dan hiburan yang boleh dijual. Akibat desakan untuk mengaut keuntungan juga, media massa sewenang-wenangnya sanggup mereka-reka dan menokok-tambah cerita serta membelakangkan adab dan tatasusila masyarakat. Media yang sepatutnya membangunkan minda masyarakat sebaliknya ‘menghancurkan’ lagi masyarakat.Di Malaysia, media arus perdana dikuasai oleh pihak kerajaan. Media dilihat tidak lagi berperanan secara bebas dan adil serta sanggup membelakangkan falsafah berkhidmat secara saksama untuk semua demi kepentingan sendiri dan pihak kerajaan. Tanpa mempedulikan kesahihan fakta, berita tentang kerajaan sentiasa dipaparkan secara positif. Sebaliknya, apa saja dilakukan oleh pembangkang sekalipun betul tetap dikatakan salah. Keadaan ini dengan jelas adalah bertentangan dengan konsep media harus beroperasi dalam iklim demokrasi dan menafikan hak masyarakat untuk disajikan dengan laporan/berita yang betul dan tepat.

Di sebalik kegagalan media massa beroperasi di bawah iklim demokrasi terus hangat diperkatakan, media baru muncul sebagai medium yang paling sesuai untuk memupuk dan memperluaskan proses demokrasi. media baru atau secara spesifiknya internet memberikan pengguna peluang untuk memberikan atau berkongsi idea dan pandangan tentang sesuatu isu yang berlaku. Selain itu juga, pengguna boleh meluahkan ketidakpuashatian atau mengkritik sesuatu perkara yang tidak dipersetujui. secara bebas dengan pengguna-pengguna lain.

Terdapat pelbagai medium di dalam internet yang membolehkan masyarakat menggunakan kemudahan internet secara maksimum dalam proses demokrasi. Contohnya; internet membolehkan kita mencipta weblog peribadi, terlibat dalam forum, ‘video conferencing’, kemudahan ‘Internet Relay Chat’, ‘newsgroup’, email dan lain-lain lagi. Melalui medium-medium tersebut, ia membuka jalan kepada masyarakat untuk terlibat secara aktif dalam perbincangan politik.

Media baru juga berperanan dalam proses demokrasi kerana ia berfungsi kepada masyarakat untuk mengakses pelbagai informasi dan data tanpa sekatan. Menerusi internet, kita dapat mengetahui pelbagai maklumat yang pelbagai tidak seperti media tradisional yang terhad kepada maklumat-maklumat tertentu sahaja. Menerusi internet, kita boleh mendapatkan apa saja maklumat yang kita ingini tanpa sekatan dari sesiapa.Selain itu, media baru adalah medium yang paling berpotensi dalam memupuk proses demokrasi kerana elemen kepantasan yang dimiliki. Sebagaimana yang diketahui, internet adalah jaringan komunikasi maya yang menyalurkan pelbagai maklumat dengan pantas. Adalah bukan sesuatu yang pelik apabila internet sentiasa mendahului media tradisional dalam memaparkan sesuatu isu. Selain itu, internet yang bebas dari penguasaan sesiapa dimanfaatkan untuk menyebarkan maklumat yang tepat tentang isu yang berlaku. Dalam konteks politik, pemaparan maklumat yang tepat ini adalah tanpa ‘bias’ kepada mana-mana parti politik.

Kontradiksi ini jelas menunjukkan bahawa media baru adalah medium yang lebih baik untuk proses demokrasi berbanding media massa. Namun begitu, media massa tidak seharusnya dipersalahkan secara total kerana penguatkuasaan undang-undang juga menjadi penyebab utama kegagalan mereka dalam proses demokrasi. Dalam masa yang sama, kebebasan menggunakan internet pula boleh menjadi ancaman kerana ia terdedah kepada penyalahugunaan untuk kepentingan peribadi dan pihak tertentu. Oleh itu, masyarakat perlulah memanfaatkan media baru sebaik-baiknya untuk tujuan yang betul.


Posted by halcyon team

No comments:

Post a Comment