Friday, November 11, 2011

Mengapa Jenayah Ragut Kian Meningkat ?

Saban hari kita disajikan dengan pelbagai laporan jenayah dalam media massa. 
Huraikan faktor-faktor yang mendorong peningkatan kes ragut dalam negara.


Kejadian ragut yang sering menjadi-jadi merupakan satu jenayah yang cukup membimbangkan dan amat mengejutkan pemimpin dan masyarakat.  Peningkatan mendadak jenayah ragut memberi indikator bahawa ada sesuatu yang tidak betul atau tidak kena dalam masyarakat kita dewasa ini. Media massa telah menghuraikan dan menggarapkan pelbagai faktor yang mendorong kejadian ini bersama-sama langkah untuk menanganinya tetapi jumlah kes ragut terus meningkat saban tahun. Oleh hal yang demikian , apakah punca-punca jenayah ini menular dengan begitu cepat ?

Sebenarnya jenayah ragut ini menjadi begitu menjadi-jadi ekoran sikap masyarakat itu sendiri yang tidak memberi perhatian berat atau bersikap acuh tak acuh tentang aspek keselamatan mereka. Masih banyak individu dalam masyarakat kita yang suka membawa wang yang banyak dalam dompet atau tas tangan mereka. Kaum wanita khususnya masih lagi suka membawa beg atau tas mereka secara sambil lewa dan tindakan sambil lewa ini menjadi sasaran peragut. Begitu juga dengan sikap kita yang gagal mengambil langkah-langkah keselamatan apabila pulang dari pejabat bersendirian, berjalan melalui lorong yang sunyi dan gelap, atau mudah percaya akan orang yang tidak dikenali menjadikan kita sasaran mudah peragut. Kita perlu sentiasa ingat bahawa dalam dunia ini terdapat pelbagai ragam manusia kerana rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Jadi, aspek keselamatan diri yang kurang diberi perhatian telah menyebabkan jenayah  ragut semakin berleluasa.

Malah, kejadian ragut turut diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang mengalami kegawatan ekonomi yang begitu teruk. Banyak kilang dan syarikat di negara ini yang terpaksa menghentikan atau membuang pekerjanya kerana kekurangan permintaan terhadap produk mereka dengan drastik atau pun terdapat juga kilang dan syarikat yang terpaksa menghentikan operasi mereka atau gulung tikar. Ketidakupayaan dan kesukaran pekerja yang telah diberhentikan atau dibuang kerja itu untuk mencari kerja lain dalam masa yang terdekat telah menjurus mereka ke kancah jenayah terutama apabila memikirkan makan minum dan kos sara hidup dan anak isteri yang selama ini ditanggung oleh mereka. Oleh hal yang demikian, peningkatan kes ragut berkait rapat dengan ketidaktentuan ekonomi dunia kerana banyak pekerja tidak mempunyai pekerjaan lalu mencari jalan mudah beralih menjadi peragut untuk menyelesaikan masalah mereka secara mudah.

Seterusnya masalah ini bertambah serius kerana kegagalan pihak berkuasa dan swasta mengambil langkah pencegahan yang efektif. Kekurangan kamera litar tertutup di kawasan-kawasan berisiko tinggi atau kawasan panas seperti tempat menunggu bas, LRT, lorong berjalan kaki, sekitar pusat beli belah dan sebagainya menyebabkan masalah ini terus menjadi-jadi. Jika kerajaan memasang lebih banyak kamera litar tertutup di kawasan strategik terutama kawasan panas atau berisiko berlakunya kegiatan jenayah reperti ini sudah pasti penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak. Pihak swasta boleh memainkan peranan ini bersama kerajaan dengan memasangkan kamera litar tertutup di sekitar permis mereka yang agak tersembunyi atau gelap. Tindakan sebegini umpama serampang dua mata iaitu di samping menjamin keselamatan premis dan barangan mereka, turut akan membantu mengurangkan gejala ragut di kawasan tersebut. Semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing perlu diamalkan oleh pihak kerajaan dan swasta dalam usaha menangani jenayah ragut. Oleh hal yang demikian, kekurangan kamera litar tertutup telah menyebabkan masalah ini berterusan terutama di kawasan sunyi dan ketika waktu malam.

Kemelut ini turut beleluasa lantaran kekurangan didikan keagamaan dan didikan moral dalam masyarakat terutama dalam jiwa generasi muda kita. Amalan agama sudah makin terhakis dan dilupakan ekoran kemajuan dan kemodoenan masyarakat. Ibu bapa juga sudah lalai dalam memberi didikan agama kepada anak-anak sejak kecil lantaran mengejar kebendaan dan sibuk dengan kerjaya masing-masing. Pepatah Melayu, melentur buluh biar dari rebungnya kurang dipraktikkan lagi diamalkan oleh ibu bapa hari ini. Ibu bapa hari ini ada yang mendidik anak-anak seperti melepaskan batuk di tangga sahaja dan sebahagian besarnya menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak mereka kepada sekolah dan guru-guru. Kekurangan aspek agama menyebabkan kurangnya daya ketahanan diri atau rapuhnya benteng keimanan seseorang untuk tidak melakukan jenayah. Masyarakat hari ini teutamanya belia dan remaja sudah mula hilang rasa takut akan balasan Tuhan jika melakukan kesalahan jenayah. Maka, ragut meningkat kerana masyarakat kita sudah lupa akan hukum dan ajaran agama masing-masing.

Akhirnya, semua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah ini tanpa perlu menuding jari mencari kesalahan orang lain. Sementara itu pihak kerajaan harus mencari alternatif untuk menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan ekonomi untuk memastikan jenayah ini tidak merebak. Kegagalan mengawal jenayah ini mampu menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia. Mungkin  peribahasa  ”sudah terantuk baru tengadah” memberikan kita satu pandangan supaya bersedia sedia sebelum masalah itu berlaku. Justeru, segenap lapisan masyarakat perlu sederap dan bermuafakat menangani isu jenayah ini umpama peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

By Admin Gerbangsejaraham.blogspot.com
11.11.11

No comments:

Post a Comment