Saturday, November 12, 2011

PENDATANG ASING TANPA IZIN : Impak kepada masyarakat dan negara

Dalam meniti arus kemodenan ini, pembangunan dan ekonomi Malaysia turut berkembang pesat selaras dengan kemajuan dan tuntutan semasa. Oleh hal yang demikikan, projek-projek pembangunan fizikal , sektor pertanian dan sektor perindustrian rancak berkembang umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Peluang pekerjaan terbuka luas khususnya dalam bidang pembinaan dan pembangunan fizikal, sektor pertanian dan perindustrian. Lantaran itu , maka timbul masalah kekurangan dan ketidakcukupan tenaga kerja dalam bidang-bidang tersebut. Sebagai jalan keluar, kita terpaksa mengambil pekerja asing untuk menampung kekurangan tersebut dan secara tidak langsung senario ini membuka ruang kepada kemasukan Pendatang Asing  Tanpa Izin (PATI) yang kemudiannya menimbulkan pula pelbagai masalah sosial kepada masyarakat dan negara.

Antara permasalahan sosial yang timbul ekoran kemasukan pendatang asing tanpa izin ke Malaysia ialah berlakunya kejadian jenayah dan bejat sosial yang melibatkan kaum pendatang ini. Hal ini demikian kerana terdapat sebilangan pendatang asing tanpa izin yang memasuki negara secara haram merupakan golongan yang sebenarnya melarikan diri ke Malaysia sebagai tempat pelindungan setelah melakukan jenayah atau diburu oleh pihak berkuasa di negara masing-masing, khasnya buruh dari Thailand dan Indonesia. Apabila golongan ini berada di Malaysia, mereka turut melakukan perkara yang sama seperti kes rompakan, ragut, pembunuhan, pengedaran dadah dan rogol. Mereka ini juga mendatangkan masalah di taman perumahan terutama perumahan mewah yang sering menjadi sasaran dimasuki pencuri. Taman perumahan yang kerap dimasuki pencuri ini menimbulkan ketakutan dan kebimbangan kepada penduduk di kawasan perumahan  tersebut kerana sering terdedah kepada pelbagai kegiatan jenayah yang mungkin mengancam nyawa dan harta benda mereka. Pendek kata, kehadiran ramai  pendatang asing khasnya yang tanpa izin menyumbangkan kepada peningkatan kes jenayah dan sosial yang mendatangkan impak negatif  kepada negara. Selain itu ketenteraman awam dalam negara turut terancam.

Selain itu,isu penularan penyakit berbahaya juga merupakan kesan kedatangan pendatang asing tanpa izin ke negara kita. Hal ini kerana, pendatang asing tanpa izin memasuki negara ini tidak menjalani pemeriksaan kesihatan. Keadaan ini menjadikan penyakit-penyakit yang terdapat pada diri mereka sukar dikesan. Terdapat antara mereka yang menghidap AIDS, batuk kering, penyakit kelamin dan lain-lain. Manakala rakyat kita yang bergaul bebas atau melanggan pelacur warga asing tanpa izin pendatang tanpa izin ini menjadi mangsa penyebaran penyakit berjangkit ini. Keadaan ini bukan sahaja terhadap seseorang individu sahaja malah merebak ke dalam ahli keluarga mangsa, seterusnya ke dalam golongan masyarakat. Akhirnya , masyarakat negara kita berada dalam keadaan yang tidak selamat.  Bukan itu sahaja, kerajaan juga turut terpaksa menanggungkan kos rawatan dan perbelanjaan kesihatan yang dihadapi oleh warga asing tanpa izin ini apabila mereka mengalami masalah kesihatan. Jelaslah di sini bahawa, penyakit-penyakit berbahaya akan merebak dengan meluas dan tanggungan kerajaan dalam bidangl kesihatan turut meningkat akibat kedatangan pendatang asing.

Kemasukan pendatang asing tanpa izin ini turut membawa masalah petempatan di negara kita. Hal ini demikian kerana kedatangan mereka yang mempunyai bilangan yang banyak menyebabkan mereka mendirikan kawasan perumahan secara haram iaitu petempatan setinggan. Kawasan perumahan secara haram ini bukan sahaja menimbulkan banyak masalah sosial malah menyukarkan pihak kerajaan negara untuk memantau pergerakan mereka. Tambahan pula, mereka juga sering membuka kawasan hutan sebagai kawasan tempat tinggal mereka. Keadaan ini menjadikan mereka sebagai pesalah kerana menceroboh kawasan menjadi hak persendirian atau negara. Pembukaan kawasan perumahan ini menimbulkan masalah setinggan yang tidak teratur , kurang selamat didiami , kurang kemudahan asas seperti bekalan air bersih , masalah pembentungan, dan elektrik. Hal ini menunjukkan imej buruk negara kita di mata dunia. Selain itu,  masalah pencemaran alam sekitar juga akan berlaku, terutamanya di kawasan setinggan. Bukan itu sahaja, harga rumah dan kadar sewa rumah juga meningkat dengan mendadak dan senario ini turut membebankan rakyat tempatan yang berpendapatan rendah yang terpaksa tinggal dan bekerja di bandar. Natijahnya di sini, kemasukan pendatang asing mendatang masalah perumahan yang serius kepada negara kita.

Di samping itu, hak rakyat kita juga sedikit sebanyak terjejas akibat kemasukan pendatang asing tanpa izin ini. Hal ini kerana pihak majikan lebih suka mengupah pendatang asing tanpa izin dalam sektor perladangan, pembinaan, perindustrian dan pembantu rumah kerana gaji mereka jauh lebih murah. Situasi ini pasti menjejaskan peluang pekerjaan rakyat kita sungguhpun bukan semua rakyat kita berminat dalam bidang pekerjaan ini. Tambahan pula, banyak antara mereka juga melibatkan diri dalam perniagaan, misalnya membuka gerai makanan, tukang , penjaja, menjual barang kemas, lampu hiasan, batik dan sebagainya. Keadaan ini menyebabkan ada antara mereka yang menjadi kaya-raya, berumah besar tanpa membayar cukai pendapatan. Pernah berlaku ketika nilai wang kita jatuh dengan teruknya, peluang pekerjaan rakyat kita juga semakin sempit. Bukan itu sahaja, warga asing ini turut menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan swasta untuk keselesaan rakyat tempatan, misalnya kemudahan kesihatan, pendidikan, rumah kos rendah, sistem komunikasi, sistem pengangkutan dan juga bekalan air bersih dan bekalan elektirik. Kedatangan mereka yang ramai secara tidak langsung menyebabkan keselesaan dan kenikmatan yang disediakan khas untuk rakyat tempatan agak terjelas dan kurang sempurna seperti tekanan air yang rendah, ketidakcukupan bekalan tenaga elektrik dan kesesakan ketika menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti bas, teksi malah juga LRT dan MRT.  Hal ini sebenarfnya telah mendatangkan ketidakadilan dan kerugian kepada rakyat kita.
Jelaslah di sini bahawa, kemasukan pendatang asing tanpa izin ini sedikit sebanyak menjejaskan, malah merampas  hak rakyat negara kita.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa negara kita amat memerlukan tenaga asing dalam pembangunan negara khususnya dalam sektor yang kurang digemari oleh rakyat tempatan seperti sektor pertanian, perindustrian dan pembinaan. Namun demikian, kehadiran mereka perlu dikawal dan disekat agar tidak mendatangan keresahan dan kebimbangan kepada rakyat tempatan. Kerajaan perlu menangani masalah ini dengan lebih serius bagi kesejahteraan bersama, langkah pemutihan yang dilaksanakan baru-baru ini sedikit sebanyak melegakan rakyat tempatan. Kita berharap kerajaan akan lebih drastik dalam menangani isu ini agar tidak menjadi semakin teruk, janganlah sampai  nasi sudah menjadi bubur baru hendak bertindak. Ingatlah bahawa api semasa kecil menjadi kawan tetapi apablia bes
ar akan menjadi lawan.

Oleh Admin Gerbangsejaraham.blogspot.com

No comments:

Post a Comment