Sunday, November 13, 2011

PERANAN GURU MENDIDIK GENERASI MUDA!


Pelajar cemerlang menjadi idaman setiap sekolah. Lantaran itu, guru menjadi golongan penting yang boleh mendidik generasi muda ini menjadi lebih baik.
Jelaskan.
      Guru bolehlah dilabelkan sebagai golongan manusia yang berperanan untuk mendidik generasi masa depan negara dan membina tamadun bangsa. Antara kerjaya yang sering dikaitkan dengan aspek pendidikan meliputi guru sekolah, pensyarah, dan guru tadika. Media massa ada juga membuat beberapa program yang menyentuh masalah yang dihadapi oleh guru dan cara-cara untuk mengatasi cabaran tersebut dengan panjang lebar. Isu guru sering mendapat perhatian dan liputan serius dan luas oleh masyarakat, pemimpin dan media massa. Apa tidaknya ?
            Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
            Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
            Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
            Jika hari ini seorang ulama yang mulia
            Jika hari ini seorang peguam menang bicara
            Jika hari ini seorang penulis terkemuka
            Jika hari ini sesiapa sahaja menjadi dewasa;
            Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
            Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Ungkapan sasterawan negara seperti di atas jelas menggambarkan kedudukan, status dan peranan guru yang begitu besar, berat dan unggul dalam mendidik manusia sejagat, khususnya dalam melahirkan satu generasi pelajar yang cemerlang.

       Tugas utama guru ialah mereka menjadi orang pertama yang menyalurkan ilmu pengetahuan kepada pelajar di sekolah iaitu bermula dari prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, bahkan di peringkat menara gading. Pihak guru telah diberi latihan dan kemahiran untuk memastikan mereka berupaya untuk mendidik anak bangsa dengan ilmu yang diperlukan mengikut tahap umur dan peperiksaan yang dihadapi itu. Setiap guru hendaklah meneroka teknik pembelajaran yang bersesuaian dengan pelajar mereka untuk memastikan semuanya memahami ilmu yang diberikan itu. Guru perlu sentiasa mencari info terkini dan mempertingkatkan ilmu di dada agar mampu berdepan dengan cabaran kemajuan teknologi maklumat hari ini. Sesungguhnya, peranan guru adalah untuk mendidik anak bangsa tanpa mengenal erti penat dan pilih kasih.

      Malah, golongan pendidik ini juga berperanan untuk memberikan kasih sayang kepada pelajar mereka. Kebanyakan pelajar yang mengalami masalah disebabkan oleh diri mereka kekurangan kasih sayang terutama daripada ibu bapa mereka yang sibuk bekerja itu dan mengejar kekayaan material. Gurulah yang menjadi sandaran ibu bapa zaman moden untuk membimbing dan mendidik anak-anak agar menjadi manusia dan insan yang seimbang. Guru yang bijak ialah mereka yang boleh memberikan kasih sayang ini kepada pelajar mereka agar  golongan muda ini berasa diri mereka dihargai dan tidak mudah terjerumus atau terbabit dalam gejala negatif seperti merempt, merokok, menagih dadah, ponteng sekolah, melibatkan diri dalam vandalisme dan gengsterisme. Jelaslah, kasih sayang yang diluahkan oleh pihak guru ini boleh menghalang dan membendung pelajar kita daripada terbabit dalam kgiatan yang tidak sihat  yang boleh mengancam pembangunan, kemajuan dan imej negara.

      Selain itu, pelajar sering melihat guru mereka sebagai contoh teladan yang positif. Guru yang baik ibarat idola kepada pelajar, khususnya murid-murid sekolah rendah dan tadika. Guru sering dijadikan idola untuk berjaya dalam hidup lalu menjadi seorang insan yang berguna di dunia ini sama. Tindak-tanduk dan perangai guru-guru akan ditiru atau diteladani oleh anak-anak didiknya. Oleh hal yang demikian, guru perlu mengamalkan tingkah laku yang sempurna di sekolah, guru perlu mengotakan apa yang diperkatakan mereka dalam bilik darjah dan sentiasa berfikiran positif .Bayangkan jika semua pelajar kita menjadikan guru mereka sebagai sumber inspirasi untuk meneruskan kehidupan di dunia ini, apa akan terjadi ? Jika guru mereka baik, maka baiklah anak didiknya, jika guru mereka itu tidak memiliki kualiti diri yang baik, maka natijahlah akibatnya masyarakat kita pada masa hadapan. Ingatlah bahawa jika guru kencing berdiri, anak murid akan kencing berlari.

      Akhirnya sekali, guru juga berperanan sebagai golongan yang memberikan nasihat , bimbingan dan motivasi berguna kepada pelajar. Sebagai lapisan masyarakat yang sudah lama mengharungi kehidupan, guru boleh memberikan maklumat tentang erti kehidupan yang penuh cabaran ini. Semua nasihat yang diberikan itu pasti berguna buat pelajar yang sedang bergelora menongkah arus kehidupan yang penuh cabaran terutama tekanan peperiksaan yang meruncing itu. Nasihat dan teguran guru yang positif akan dijadikan pedoman dan panduan untuk menangani krisis dalam diri pelajar dan menjadi iktibar kepada mereka selepas menyertai kehidupan baru selepas alam persekolahan.  Oleh hal yang demikian, guru perlu sentiasa mendalami ilmu di dada, bersikap terbuka , bersikap positif dan tidak dipengaruhi oleh emosi dan fahaman politik ketika berdepan dan cuba membimbing dan mendidik pelajar mereka. Lantaran itu, tugas memberi nasihat ini menjadikan guru golongan terpenting dalam kehidupan masyarakat pelajar kita.

      Kesimpulannya, semua peranan guru tadi sudah diketahui umum tetapi masih banyak yang perlu dilakukan oleh golongan pendidik kita pada hari ini. Mereka hendaklah bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk memahirkan diri dengan pelbagai teknik pembelajaran terbaru supaya pengajaran mereka lebih menarik, efektif dan senang difahami oleh pelajar. Pada masa yang sama, pelajar hendaklah memberikan kerjasama yang baik kepada guru ketika mereka berada di kawasan sekolah pula. Slogan 'usaha tangga kejayaan' memberikan kita satu peringatan bahawa kejayaan dalam sebarang bidang memerlukan komitmen dan usaha yang gigih untuk direalisasikan.

Oleh admin gerbangsejaraham.blogspot.com
13.11.11.

No comments:

Post a Comment