Wednesday, November 2, 2011

Semangat Kebersamaan Gahkan Nama Malaysia

  • SEJARAH 50 tahun lalu, sekumpulan patriot negara diterajui Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berjaya mencapai kemerdekaan negara selepas hampir lima kurun berada di bawah belenggu penjajahan. Dengan pengalaman berkerajaan sendiri begitu singkat, berlatarbelakangkan pula pemberontakan komunis yang masih belum reda, wujudnya ketidakseimbangan sosioekonomi dan ditambah lagi dengan sifat majmuk negara baru, maka banyak pihak ketika itu meramalkan Tanah Melayu ibarat ‘retak menanti belah’ dan tidak mungkin berjaya. 
     
  • Namun, kita sudah membuktikan sangkaan itu meleset sama sekali. Dalam tempoh lima dekad merdeka, kita muncul sebagai negara membangun termaju. Persoalannya, apakah formula rahsia mendasari kejayaan ini? Sesungguhnya, tidak lain dan tidak bukan, ia adalah faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan berteraskan falsafah meraikan kemajmukkan yang wujud sebagai sumber kekuatan, bukannya perkara titik tolak menyebabkan perpecahan.
  • Nyatanya, kejayaan dan kemakmuran Malaysia sepanjang tempoh ini tumbuh dan berkembang hasil sumbangan serta dukungan semua kaum, penganut kepercayaan, lapisan masyarakat, di desa mahupun kota, yang berada atau tidak, tua atau muda. Dalam erti kata lain, setiap rakyat wajib mengakui hakikat perpaduan pelbagai kaum adalah tonggak kejayaan negara seterusnya membolehkan Malaysia muncul sebuah negara yang pesat membangun. 
     
  • Cabaran kepada perpaduan itu bermula pada era penjajahan British yang memisahkan masyarakat Tanah Melayu menerusi dasar ‘pecah dan perintah’ mengikut pola kependudukan dan penempatan, jenis pekerjaan dan sistem pendidikan mengikut garis kaum. Kemudian negara dikejutkan peristiwa 13 Mei 1969 kerana masyarakat pada masa itu sangat kuat dipengaruhi sentimen perkauman. 
     
  • Selepas peristiwa hitam itu, bermulalah ‘pembinaan sosial’ ke arah pembentukan masyarakat bersatu-padu melalui dasar integrasi nasional dan pelbagai dasar yang diwujudkan mempunyai matlamat ke arah perpaduan. 
     
  • Semuanya dilaksanakan melalui konsep dan falsafah ‘politik kompromi’ sehingga kita berjaya mengawal dan membendung isu perkauman yang boleh memecah-belahkan masyarakat. Kaedah rundingan, persefahaman dan tolak ansur yang tinggi sentiasa menjadi amalan masyarakat. Pemimpin politik dan pemimpin masyarakat sangat berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial yang dibina oleh pemimpin pelbagai kaum, sejak kemerdekaan negara.
  • Awang Selamat pernah menyiarkan petikan kenyataan seorang pemimpin MCA, Tun Tan Siew Sin pada 30 April 1969 berbunyi: “Orang Melayu menerusi Umno bermurah hati melonggarkan syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu menjadi warga negara.” Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan pada masa sama mempertahankan kepentingan sah kaum lain.
     
  • Sebelum itu, seorang pemimpin MIC, Tun VT Sambanthan pada 1 Jun 1965 pernah berkata: “Pada 1955, kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian. Dalam jangka masa itu, kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan.”
  • Apa pun hakikatnya, kita jangan lupa keunikan yang kita miliki ini. Negara yang lebih dulu merdeka daripada kita pun tidak mencapai kejayaan seperti yang kita nikmati sekarang. Sebab itu kita perlu berwaspada terhadap anasir yang sengaja dan berusaha memecah-belahkan perpaduan di negara ini. Sudah menjadi bukti sejarah bahawa negara ini berjaya membentuk keharmonian kaum melalui usaha liberalisasi antara kaum dan persefahaman dalam politik, ekonomi dan budaya. Misalnya, tindakan pemimpin Melayu seperti Tunku Abdul Rahman membenarkan konsep ‘jus soli’ dilaksanakan sebagai asas kewarganegaraan pada 1957 kepada masyarakat Cina dan India adalah satu liberalisasi yang sangat besar ertinya. 
     
  • Tindakan beliau bukan saja tidak popular malah mendapat tentangan ramai pemimpin orang Melayu ketika itu. Tetapi hasilnya kita seluruh rakyat Malaysia dapat hidup dengan aman pada hari ini, manakala kesanggupan pemimpin bukan Melayu seperti Tun Tan Cheng Lock, Siew Sin dan Sambanthan menerima baik dengan konsep hak dan keistimewaan Bumiputera, kedudukan agama Islam, bahasa dan status Raja-Raja Melayu juga adalah satu toleransi yang menjayakan kehidupan bermasyarakat di negara ini. Itulah tahap pertama liberalisasi dan toleransi terlaksana secara berstruktur di negara ini. 
     
  • Apabila migrasi penduduk Melayu ke bandar besar bermula pada era 1970-an menjadi matang sekarang, masyarakat Melayu dan bukan Melayu tidak lagi hidup seperti zaman penjajahan, terpisah antara satu sama lain. Kini mereka berjiran, bekerja dan berekreasi di ruang sama. Seorang penulis menggelarkan dirinya sebagai ‘Bangsa 1Malaysia’ dari Brickfields, menceritakan mengenai ‘Jalan Berhala Truly 1Malaysia’ 
     
  • Antara kandungan penulisannya: “Jalan Berhala di Brickfields dikelilingi kuil India, tokong Cina dan Buddha, surau dan gereja. Tidak hairan ia berada di tengah komuniti ‘Little India’ tetapi penduduk di sini belajar untuk menerima loceng kuil India seawal jam 5 pagi, diikuti azan selepas 5.30 pagi dan hari Ahad, bunyi loceng gereja dan loceng Buddha pada awal pagi. “Ia adalah kawasan unik untuk didiami kerana generasi muda belajar untuk menerima kehadiran agama yang berbeza di negara kita. Setiap orang di Malaysia patut datang melawat atau tinggal di Jalan Berhala untuk merasai erti 1Malaysia yang sebenarnya.” 
     
  • Oleh itu, perpaduan mesti dijaga dan keamanan mesti diutamakan kerana Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengungkapkan: “Tetapi ada keperluan untuk penahanan pencegahan di Malaysia semata-mata kerana tanpa ini, ancaman pelampau perkauman akan menggugat kestabilan politik di negara ini. Pelampau ini boleh mencetuskan rusuhan dan ia bukan sesuatu yang perlu kita ambil mudah. Kita mesti menghargai kestabilan kerana ia memudahkan negara ini untuk lebih maju berbanding negara lain.” Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, bekas Ketua Hakim Negara, kini ialah Pro Canselor Universiti Utara Malaysia.
     
    ( Artikel oleh Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim - Berita Harian Online )

No comments:

Post a Comment