Wednesday, November 2, 2011

SMS DAN MASYARAKAT



SMS. Walaupun ia cuma medium kecil dari teknologi komunikasi, namun impaknya adalah amat besar kepada proses demokrasi.

Bagaimanakah medium yang sekecil itu boleh menyumbang kepada proses amalan demokrasi oleh masyarakat umum?

Sistem pesanan ringkas ataupun SMS (Short Message Service) adalah satu perkhidmatan yang ditawarkan melalui telefon bimbit untuk mengirim atau menerima pesanan pendek. SMS juga mampu untuk mengirim grafik, audio dan video di mana SMS dalam bentuk ini disebut sebagai MMS.

Menghantar mesej melalui sms menjadi pilihan popular kepada masyarakat pada masa kini kerana ciri-cirinya seperti mudah, murah, pantas dan praktikal. Dengan ciri-cirinya itu, SMS sering digunakan sebagai sfera awam iaitu sebagai medium kepada masyarakat untuk menyebarkan pendapat. Misalnya, dalam rancangan “Bersemuka Dengan Media” terbitan RTM1, penonton di rumah diberi peluang untuk memberi pendapat melalui sms.

Selain itu, dalam pilihanraya umum ke 11 yang lalu, pihak pembangkang berkempen menggunakan media alternatif seperti SMS dan laman blog akibat daripada kawalan media aliran perdana oleh kerajaan Barisan Nasional. Pihak pembangkang telah menggunakan SMS untuk menyebarkan ideologi mereka kepada para pengundi supaya menyokong mereka.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri - Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta polis menyiasat perbuatan menyebarkan SMS yang didakwanya berbau perkauman dalam pilihanraya umum. Katanya, SMS tersebut turut meminta penerimanya jangan menyokong calon Barisan Nasional (BN) kerana mendakwa mereka hanya membantu satu kaum tertentu sahaja.

Kekerapan sms yang dihantar serta kandungan dalam sms sedikit sebanyak boleh mempengaruhi pengundi untuk mempercayainya.

Di dalam konteks ini, sms dijadikan alat propaganda untuk kepentingan parti politik tertentu. Selain itu sms juga boleh dijadikan medium terpantas untuk seseorang menyebarkan fitnah terhadap orang lain. Ini kerana para pengirimnya boleh memasukkan dan memindahkan segala bahan maklumat mereka secara cepat dan segera kepada beberapa penerima sekaligus. Hal ini menyebabkan fitnah disebarkan dengan begitu meluas. Penerima sms pula tidak tahu sumber asal pengirim sms tersebut serta ketulenan kandungan sms menyebabkan kadang kala mereka mudah mempercayainya.

Kandungan sesebuah sms pula biasanya menggunakan ringkasan perkataan untuk menjimatkan ruang. Situasi ini menyebabkan kadangkala mesej yang ingin disampaikan itu tidak difahami, tidak jelas, serta disalah ertikan oleh penerimanya. Dalam hal ini, sms yang biasa saja boleh menjadi sms berbaur fitnah akibat ketidakjelasan kandungan mesej dalam sms yang dihantar.

Walaupun sms sekarang menjadi medium alternative seseorang untuk menyebarkan pendapatnya, namun adakah sememangnya terbukti keberkesanan sms untuk mempengaruhi orang lain? Hal ini kerana agak sukar untuk seseorang memecahkan paradigmanya hanya kerana 1 sms atau beberapa sms yang tidak diketahui sumber asal pengirimnya serta ketulenan kandungannya.

Posted by halcyon team.

No comments:

Post a Comment