Friday, November 11, 2011

Tanggungjawab Ibu Bapa Tangani Gejala Sosial

CONTOH KARANGAN CEMERLANG SPM
Tanggungjawab dan Peranan Ibu Bapa dalam Menangani Gejala Sosial dalam kalangan remaja

Dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yang mampu meranapkan peradaban bangsa dan negara melanda golongan remaja. Akhir-akhir ini, berita mengenai golongan remaja yang terjebak dalam gejala sosial kerap terpampang di dada akhbar dan terpapar di kaca televisyen. Isu ini menjadi suatu isu yang hangat diperkatakan dan sering menjadi buah mulut orang sama ada di kedai kopi, dalam majlis keramaian mahupun dalan parlimen. Antara penyakit sosial yang dimaksudkan ialah gejala vandalisme, merempit, buang bayi , buli dan ponteng. Keutuhan institusi keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga institusi keluarga diibaratkan seperti batu bata dalam sesebuah bangunan. Malah, institusi keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga kempen Rumahku Syurgaku diadakan secara besar-besaran. Program ini menekankan kepentingan rumah diibaratkan sebagai syurga untuk memastikan keutuhan institusi keluarga. Oleh hal yang demikian,  ibu bapa perlulah menyahut cabaran dan memainkan peranan yang signifikan bagi menghalang golongan remaja daripada terjebak dalam gejala sosial.

Sebenarnya, golongan ibu bapa wajarlah mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak mereka dan mengasuh anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa perlu menganggap anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang tidak ternilai dan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Sikap sesetengah ibu bapa yang hanya sibuk mengejar harta kekayaan dan mementingkan kerjaya dan pangkat perlulah dikikis. Mereka tidak sedar bahawa nilai kebendaan dan materialistik yang ada pada diri mereka akan menyebabkan mereka terlalu sibuk dengan kerja mereka sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Misalnya, pada hujung minggu, ibu bapa bolehlah meluangkan sedikit masa mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah bersama-sama anak-anak mereka. Ibu bapa bolehlah membawa anak-anak remaja mereka menonton wayang, bersantai atau makan angin di destinasi-destinasi yang menarik di negara kita, keluar makan dan membeli belah . Kegiatan-kegiatan di atas sebenar umpama serampang dua mata iaitu di samping dapat menghilangkan rasa bosan dan tekanan akibat bebanan akademik di sekolah bagi anak-anak dan longgokan bebanan kerja di pejabat oleh ibu bapa, amalan ini turut dalam mengeratkan hubungan silatulrahim antara ahli keluarga.  Sememangnya, ibu bapa perlu mampu mengimbangi kepentingan keluarga dan kerjaya mereka kerana anak-anak mereka amat memerlukan kasih sayang seorang ayah dan ibu.

Tambahan pula, Hadis ada menyebut bahawa anak-anak diibaratkan seperti kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Kelalaian, kesilapan atau kesalahan ibu bapa dalam membentuk akhlak anak-anak merupakan punca utama dalam kepincangan akhlak remaja. Didikan awal merupakan elemen yang paling penting dalam membina manusia yang bertamadun. Golongan remaja perlulah dibekalkan dengan didikan agama dan moral yang sempurna. Ibu bapa perlulah menekankan kepentingan ajaran agama terhadap pembentukan mental dan rohani anak-anak remaja kerana didikan agama dan moral dapat membantu remaja membuat pertimbangan yang wajar atau mampu membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk apabila menghadapi masalah dan krisis. Ilmu keagamaan dapat mendorong remaja mengawal tingkah laku mereka. Tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa tanggungjawab mereka tidak lebih daripada menyekolahkan , menyediakan keperluan fizikal , dan memastikan makan minum anak-anak terjamin sudah memadai tidak benar sama sekali. Mereka juga harus memastikan bahawa anak-anak mereka mendapat ajaran agama yang sempurna atau memiliki santapan rohani yang padu. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk membekalkan ajaran agama kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama yang dibekalkan kepada remaja dapat memastikan bahawa anak-anak mereka mempunyai benteng diri yang kukuh untuk menolak ajakan rakan-rakan untuk melibatkan diri dalam apa-apa tindakan yang mampu memburukkan imej diri dan merosakkan nama baik sesebuah keluarga.

Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak mereka dengan mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Dari semasa ke semasa, ibu bapa perlu mengambil inisiatif  menghubungi pihak sekolah untuk mengetahui perkembangan akademik dan sahsiah anak-anak di sekolah. Setiap penyakit pasti ada penawarnya, masalah-masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka harus dikesan lebih awal, bah kata pepatah Melayu mencegah lebih baik daripada mengubatinya dan api semasa kecil menjadi kawan dan apabila besar akan menjadi lawan. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menghadirkan diri dalam sebarang pertemuan antara ibu bapa dan guru. Dengan ini, pihak sekolah, guru dan ibu bapa akan dapat bermuafakat dan bekerjasama untuk membantu remaja yang bermasalah dengan mencari jalan penyelesaian yang terbaik, jangan sampai nasi sudah menjadi bubur. Apabila hal ini berlaku ibu bapa akan menunding jari kepada pihak sekolah pula.  Ibu bapa perlu memastikan bahawa nasihat yang diberikan oleh mereka kepada anak-anak mereka tidaklah bagai mencurahkan air ke daun keladi sahaja. Ibu bapa memainkan peranan untuk menjaga kepentingan anak-anak mereka dengan meletakkan kepentingan anak-anak mereka melebihi harta benda dan wang ringgit. Janganlah kita menjadi seorang manusia yang gila kerja sampai bertindak seperti anak kera di hutan disusui , anak di rumah mati kelaparan.

Bukan itu sahaja, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa sememangnya perlu memastikan segala tingkah laku dan pertuturan mereka kerana segala perlakuan mereka akan diperhatikan oleh anak-anak mereka. Ibu bapa merupakan idola kepada anak-anak, segala tingkah laku ibu bapa akan ditiru dan dicontohi oleh anak-anak mereka. Contohnya, ibu bapa yang mempunyai tabiat buruk seperti merokok, kaki botol dan berjudi perlulah bertaubat dan berhenti merokok, minum arak dan berjudi kerana anak-anak mereka berkemungkinan besar akan terpengaruh dan seterusnya merokok, minum arak  dan berjudi. Ibu bapa perlulah mengatasi apa-apa kelemahan yang ada pada diri mereka agar perbuatan mereka tidak akan menyebabkan anak-anak mereka terdedah kepada amalan yang kurang sihat. Ibu bapa tidak harus bersikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan ini, golongan remaja tidak akan terpengaruh dengan tabiat buruk ibu bapa mereka dan seterusnya tidak akan melakukan gejala sosial yang mampu menghancurkan masa depan diri, bangsa dan negara.

Secara tuntasnya, gejala sosial yang menjadi duri dalam daging perlu dihapuskan dari akar umbinya kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dan menggalas tanggungjawab yang amat berat untuk melahirkan generasi muda yang sihat dari segi mental, fizikal dan sahsiah. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlulah mengambil langkah-langkah yang drastik dan berkesan bagi memastikan anak-anak remaja meraka tidak akan dijangkiti sebarang penyakit sosial kerana remajalah yang akan mencorakkan masa depan negara. Remaja harus dibimbing dan dididik agar menjadi modal insan yang berintegriti dan berwawasan. Secara tidak langsung, impian negara untuk melahirkan generasi muda berminda kelas pertama akan dapat direalisasikan menjelang tahun 2020.

By Admin Gerbangsejaraham.blogspot.com
11.11.11

No comments:

Post a Comment