Wednesday, November 2, 2011

TANGGUNGJAWAB SOSIAL MEDIA MASSA


Media massa seharusnya bertanggungjawab kepada masyarakat dengan kata lain menjadi suara rakyat. Media massa sepatutnya beroperasi berlandaskan demokrasi iaitu bertanggungjawab kepada masyarakat dengan menjaga kepentingan awam. Ini bermaksud bahawa matlamat media massa adalah untuk memastikan hak-hak dan kepentingan masyarakat terjaga dan dilindungi. Media massa juga mesti menjadi estet keempat iaitu sebagai entiti yang berasingan yang tidak berada di bawah kawalan mana-mana pihak termasuklah pihak kerajaan. Apabila media massa massa berfungsi sebagai estet keempat, ia membolehkan pengamal media untuk menjalankan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat dengan speenuhnya tanpa ada pengaruh pihak-pihak tertentu. Media massa juga harus memberikan kebebasan dan hak kepada mayarakat untuk bersuara menerusi media massa selain memaparkan maklumat yang neutral iaitu tidak menyebelahi mana-mana pihak. Selain itu juga, maklumat yang dipaparkan mestilah objektif tanpa ada pemanipulasian serta perlulah tepat dan penting kepada masyarakat. Media massa juga seharusnya berfungsi sebagai ’watchdog’ iaitu menjadi pemerhati proses politik yang berkecuali. Media massa perlu mendedahkan dan melaporkan salahguna kuasa dan penyelewengan yang dilakukan oleh ahli politik dalam media massa untuk tatapan masyarakat.

Namun yang menjadi persoalannya; adakah media massa di Malaysia hari ini telah melaksanakan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat dengan sepenuhnya? Atau mungkinkah media massa mengabaikan tanggungjawab kepada masyarakat sebaliknya telah berperanan kepada pihak lain?

Jika dilihat perkembangan semasa media massa arus perdana, amat menyedihkan bagi kita untuk menerima hakikat bahawa media massa telah jauh menyimpang daripada peranan yang sepatutnya dijalankan iaitu kepada masyarakat. Sebaliknya, mereka menjadi hamba kepada pihak kerajaan. Adalah sesuatu yang amat tidak rasional seandainya ada pihak yang mengatakan bahawa media massa di Malaysia masih lagi berfungsi selaras dengan amalan demokrasi. Adakah masih lagi demokrasi seandainya ia didominasi oleh pihak kerajaan? Adakah ia masih lagi demokrasi seandainya undang-undang menyekat kebebasan media? Adakah ia masih lagi demokrasi seandainya pihak yang bertentangan pendapat dengan kerajaan langsung tidak mendapat peluang dalam media arus perdana.? Adakah dengan segala kepincangan yang telah berlaku ia masih lagi boleh dikatakan demokrasi?

Media massa kini gagal melaksanakan tanggungjawabnya kepada masyarakat. Sebaliknya, bertanggungjawab kepada kerajaan. Berita-berita tentang kerajaan sentiasa mendapat liputan yang meluas di ruangan media. Tanpa mempedulikan kesahihan fakta, berita tentang kerajaan sentiasa dipaparkan secara positif. Sebaliknya, apa saja dilakukan oleh pihak yang tidak sehaluan dengan kerajaan terutamanya pembangkang sekalipun betul tetap dikatakan salah. Sesuatu isu tidak lagi dipaparkan secara telus. Ia dengan mudahnya diputarbelitkan kerana ingin menjaga kepentingan kerajaan. Keadaan ini dengan jelas adalah bertentangan dengan konsep media harus beroperasi dalam iklim demokrasi dan menafikan hak masyarakat untuk disajikan dengan laporan/berita yang betul dan tepat. Maklumat yang tidak tepat, telus dan saksama berleluasa lantaran media massa yang hanya menjalankan tanggungjawab kepada kerajaan semata-mata. Hakikatnya, inilah yang terjadi kepada iklim kewartawanan dan kebebasan media di negara kita yang hingga kini masih lagi dihimpit gerhana. Media-media cetak dan elektronik masih lagi belum mampu memberi ruang sepenuhnya kepada pihak pembangkang atau golongan yang tidak sehaluan dengan parti pemerintah untuk bersuara.

Media massa masih tidak dapat menunaikan tanggungjawab sosial mereka sebagai media dalam menyuarakan rintihan rakyat tertindas. Golongan wartawannya pula masih lagi kurang menitikberatkan etika kewartawanan dalam menjalankan tugas memberikan laporan yang seimbang dan tidak berat sebelah. Contoh yang paling jelas ialah kisah demonstrasi bantahan awam yang menyuarakan jeritan dan rintihan rakyat tentang kenaikan harga minyak baru-baru ini tidak pun dipaparkan di media-media utama ini. Apa yang dipaparkan hanyalah suara-suara memuji dan mengampu tindakan kerajaan menaikkan harga minyak oleh sebilangan kecil rakyat yang tiada pendirian. Kawalan media yang bercorak politik menidakkan hak orang ramai untuk mendapatkan julat pandangan yang penuh. Kawalan ini 'merompak' peluang orang ramai untuk membuat sesuatu keputusan yang baik dan oleh itu masyarakatlah yang akan menanggung rugi.

Media yang berperanan kepada kerajaan ini juga menyebabkan pihak pemerintah terus mempergunakan media untuk kepentingan sendiri dengan menyebarkan ideologi dan propaganda untuk mempengaruhi masyarakat supaya terus mempercayai dan menyokong mereka. Selain itu, pihak kerajaan juga memperalatkan media arus perdana untuk tujuan hegemoni untuk memperkukuhkan penguasaan dan pendominasian politik ke atas masyarakat. media berkecenderungan untuk memapar dan mempromosi agenda elit politik dan golongan kaya manakala keprihatinan masyarakat madani yang berautonomi, yang miskin dan terpinggir. Dalam kempen pilihanraya, parti pemerintah memperalatkan dan memonopolikan media dengan memberi penekanan terhadap ketidakstabilan politik dan ekonomi, dengan mencetuskan ketakutan etnik, dengan memburuk-burukkan parti pembangkang, dan dengan memutarbelitkan pandangan mereka. Di sebalik semua ini, pastinya kesannya adalah kepada masyarakat dimana masyarakat terus terpinggir, tertindas dan dieksploitasi untuk kepentingan pihak yang berkuasa.

Keadaan ini dapat diakhiri seandainya media massa kembali kepada peranan asal mereka iaitu berkhidmat untuk masyarakat. Namun, ia bukanlah semudah itu kerana selagi kerajaan terus ’tidak sedar diri’ dan menggunakan kuasa mereka untuk mengawal dan memiliki media massa, selagi itulah tanggungjawab kepada masyarakat tidak mampu direalitikan.


Posted by halcyon team

No comments:

Post a Comment