Wednesday, December 28, 2011

NASIHAT APABILA MENGHADAPI BANJIR

Persediaan Sebelum Banjir:
  1. Elakkan daripada membina bangunan di kawasan yang berisiko banjir;
  2. Selenggara parit/longkang/saliran air supaya tidak tersumbat;
  3. Simpan nombor-nombor perhubungan penting seperti nombor ahli keluarga, jiran, balai polis terdekat, bomba untuk kegunaan semasa kecemasan;
  4. Peka kepada keadaan sekeliling, bunyi/ isyarat-isyarat amaran serta kenal pasti laluan tinggi dan selamat untuk ke pusat pemindahan;
  5. Bersiap sedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa;
  6. Dapatkan maklumat terkini cuaca dan situasi banjir melalui saluran radio, televisyen dan internet;
  7. Simpan semua dokumen penting di dalam bekas/beg/fail di tempat yang tinggi dan mudah diambil sekiranya perlu berpindah ke pusat pemindahan;
  8. Sediakan barang keperluan asas yang paling penting seperti susu anak, ubat-ubatan, lampu suluh, beg pakaian dan peralatan lain sebelum diarah berpindah;
  9. Simpan barang berharga di tempat tinggi yang tidak ditenggelami air sekiranya berlaku banjir;
  10. Simpan air bersih di dalam botol untuk kegunaan memasak dan sebagai air minuman;
  11. Simpan/ikat dengan ketat barang-barang yang diletakkan di luar rumah seperti perabot taman, basikal, tong sampah dan sebagainya untuk mengelak dihanyutkan banjir;
  12. Pastikan kenderaan dan peralatan membaiki kenderaan anda berkeadaan baik sebagai persediaan berpindah;
  13. Letakkan haiwan peliharaan di tempat selamat kerana haiwan tidak dibenarkan untuk dibawa ke pusat pemindahan atas sebab kebersihan dan kesihatan;
  14. Dapatkan insurans banjir jika berkemampuan.

Apabila Berlaku Banjir:
  1. Pastikan semua suis elektrik dan suis utama dimatikan untuk mengelakkan kejadian renjatan elektrik;
  2. Ikuti arahan pihak berkuasa;
  3. Segera berpindah (ke pusat pemindahan/rumah saudara lain/tempat tinggi) seperti yang diarahkan pihak berkuasa;
  4. Pastikan rumah berkunci dan barang disimpan di tempat tinggi dan selamat sebelum melakukan pemindahan;
  5. Kenal pasti individu yang mempunyai keperluan khas seperti berpenyakit kronik, kurang upaya, uzur, mengandung dan sebagainya untuk bantuan pemindahan;
  6. Sentiasa berwaspada ketika memandu pada musim tengkujuh/banjir dan gunakan laluan selamat yang telah dikenal pasti;
  7. Jangan memandu mengharungi air banjir kerana dikhuatiri kenderaan akan dihanyutkan air deras;
  8. Jika terperangkap dalam banjir, hubungi pihak berkuasa untuk bantuan dengan melaporkan keadaan dan kedudukan anda;
  9. Awasi kanak-kanak dan jangan biarkan mereka bermain di kawasan banjir atau di tepi sungai/parit/longkang/saluran air yang deras; dan
  10. Jangan keluar rumah dengan mengharungi air banjir kerana bimbang dihanyutkan air deras.

Selepas Banjir Reda:

  1. Pastikan minum air yang telah dimasak dan elakkan daripada meminum air yang telah tercemar;
  2. Basuh tangan dengan sabun sebelum menyentuh makanan, semasa menyediakan makanan atau memegang barang-barang yang telah dicemari air banjir;
  3. Jangan makan makanan yang telah dicemari air banjir;
  4. Lupuskan makanan yang ditinggalkan di dalam bekas/ peti sejuk yang telah dicemari air banjir atau yang telah berbau dan bertukar warna;
  5. Gunakan air bersih untuk membasuh bekas makanan, mandi, menyediakan makanan atau menyediakan susu bayi;
  6. Jika terserempak dengan haiwan liar/berbisa, hubungi pihak berkuasa untuk bantuan;
  7. Pastikan semua punca elektrik selamat dan tidak terdedah dengan sumber air sebelum menghidupkan suis utama untuk mengelak renjatan elektrik;
  8. Jika bekalan elektrik masih belum disambungkan, gunakan lampu suluh untuk sumber cahaya; dan
  9. Jika mengesyaki gas bocor, tutup sumber gas, buka semua tingkap dan pintu dan keluar dari rumah dengan segera.
Dipetik daripada Portal Banjir. Layarilah http://portalbanjir.mkn.gov.my/ untuk maklumat banjir yang terkini.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
 

No comments:

Post a Comment