Wednesday, December 28, 2011

TABIAT BERBASIKAL PUPUK GAYA HIDUP MASYARAKAT SIHAT

Penduduk Malaysia kebanyakannya mempraktikkan amalan berbasikal hanya ketika bersenam di pusat-pusat senaman  ataupun di taman-taman rekreasi yang menyediakan aktiviti berbasikal. Itupun aktiviti tersebut kebanyakannya dilakukan oleh golongan muda sahaja. Aktiviti berbasikal bukannya aktiviti yang menjadi kegemaran ataupun pilihan utama masyarakat Malaysia.

Tahap kesihatan sebahagian besar rakyat Malaysia adalah kurang memuaskan kerana tahap obesiti rakyat Malaysia yang kian meningkat. Kebanyakan golongan obes ini bakal menjadi mangsa pelbagai masalah kesihatan.

Dalam satu kaji selidik Kesihatan Kebangsaan dan Morbiliti Ketiga pada thaun 2006, menunjukkan bahawa 29.1% daripada 33,055 penduduk dewasa yang dikaji mengalami berat badan yang berlebihan (BMI 25,0-29,9). Kelaziman obesiti (BMI> 30) telah dilaporkan kepada 14.0%.

Salah satu cara yang paling mudah untuk menangani isu kesihatan adalah dengan memupuk tabiat berbasikal dalam kalangan rakyat. Di samping dapat menguatkan otot-otot dan membakar kalori, aktiviti berbasikal juga menyumbang ke arah kesihatan penduduk Malaysia secara efektif dan secara kolektif. Persoalannya adakah aktiviti berbasikal adalah mendapat sokongan pendudk Malaysia?
Keadaan ini agak berbeza di beberapa buah negara lain. Berbasikal menjadi amalan seharian yang diterap dalam kehidupan seharian mereka.

Basikal digunakan sebagai pengangkutan utama rakyat negara tersebut dan kerajaan mereka sendiri menyediakan kemudahan laluan bagi pengguna basikal. Langkah ini untuk mengurangkan penggunaan kenderaan yang menggunakan sumber tenaga bahan api seperti kereta, motosikal dan sebagainya, yang menjadi punca kepada pencemaran udara.

Apabila menggunakan basikal, tiada pencemaran berlaku. Ini adalah salah satu cara pengangkutan efektif yang masih belum mendapat perhatian penduduk Malaysia mahupun kerajaan Malaysia. Negara-negara seperti Sweden dan China telahpun menggunakan basikal sebagai salah satu pengangkutan awam yang  utama. Rakyat negara-negara tersebut berbasikal untuk semua aktiviti harian mereka termasuk untuk pergi bekerja. Di negara-negara lain pula, basikal boleh disewa dengan mudah dan kemudahan infrastruktur untuk berbasikal juga disediakan dengan baik.

Infrastruktur-infrastruktur seperti tempat menyewa basikal, parkir basikal dan laluan basikal disediakan di jalan raya untuk menampung keperluan rakyat.  Di Amerika Syarikat dan Australia, disediakan laluan basikal yang berwarna sebagai sistem kod berwarna untuk menyampaikan
maklumat tertentu untuk pengguna basikal.

Salah satu faktor kejayaan utama penggunaan basikal sebagai pengangkutan kegemaran di negara-negara ini adalah kerana rakyatnya menyedari kebaikan menggunakan basikal untuk menjaga kesihatan dan memelihara alam sekitar. Mereka telah lama menggunakan basikal sebagai pengangkutan yang selamat, tidak mencemarkan alam sekitar, dan paling penting, dapat menjimatkan wang.

Kenderaan yang berasaskan teknologi hijau bermakna kenderaan tersebut tidak mengeluarkan gas-gas rumah hijau yang menjadi penyumbang kepada pemanasan global. Basikal adalah salah satu jenis kenderaan yang mempunyai yang selamat untuk persekitaran. 

Justeru itu, Malaysia dalam Rancangan Malaysia ke-10 daripada 2011-2015, perlu mempertimbangkan secara serius untuk membangunkan infrastruktur berbasikal untuk rakyat Malaysia. Dalam masa yang sama, rakyat juga hendaklah menanamkan minat untuk menggunakan basikal sebagai kenderaan utama untuk semua urusan mereka, bagi jarak perjalanan  10km - 15km dari rumah mereka.

Penggunaan basikal boleh dipraktikkan dalam pelbagai cara, contohnya;

  1. Pelajar-pelajar yang tinggal di asrama tempat pengajian mereka bolehlah menggunakan basikal untuk perjalanan ke kampus
  2. Basikal boleh digunakan untuk pergi ke pasar / kedai
  3. Berbasikal untuk tempat bekerja, sekiranya jaraknya tidak terlalu jauh.
  4. Berbasikal untuk bersenam
  5. Berbasikal untuk berekreasi / menenangkan fikiran
  6. Basikal boleh digunakan untuk operasi ronda Rukun Tetangga
  7. Pertandingan berbasikal boleh diperkenalkan sebagai acara dalam sukan sekolah.
Thanesh Kumar
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)

No comments:

Post a Comment