Wednesday, September 5, 2012

KELESTARIAN AIR DAPAT MENJAMIN KEMAMPANAN BUMI

KELESTARIAN AIR DAPAT MENJAMIN KEMAMPANAN BUMI PDF Print E-mail
Written by Foon Weng Lian   
Monday, 02 July 2012 12:45
Air merupakan keperluan asas kepada kehidupan. Namun, kebanyakan orang yang tinggal di negara-negara maju tidak banyak memikirkan tentang air yang mereka gunakan sebagai air minuman, untuk menyediakan makanan dan sanitasi. Di negara-negara membangun pula, pencarian sumber air yang bersih dan selamat boleh menjadi krisis harian.
Berjuta-juta orang mati setiap tahun dan kebanyakannya adalah kanak-kanak yang disebabkan oleh penyakit-penyakit yang boleh dielakkan jika bekalan air dan perkhidmatan sanitasi yang bersih dan selamat dapat dibekalkan.
Sandra Postel, pengarah Projek Dasar Air Global dan Felo Persatuan Geografi kebangsaan, mengatakan bahawa pengurangan sumber air tawar mencerminkan masalah ini perlu diutarakan semasa Sidang Pembangunan Mampan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (Rio +20) di Brazil yang berlangsung dari 20 hingga 22 Jun 2012.“Masalah yang meruncing ini menjadi nyata melalui kehabisan air bawah tanah dan pengeringan sungai atau tasik yang merupakan sumber air pengairan untuk menanam makanan sendiri,”kata beliau. “Hubungan antara pengurangan sumber air, jaminan makanan dan perubahan iklim mendorong masalah air ini mesti diatasi dengan segera.”

Sejak Sidang Kemuncak Bumi 1992, perkhidmatan bekalan air minuman yang bersih dan selamat telah diberikan kepada 1.7 bilion orang di seluruh dunia melalui projek penukaran paip air, sistem penuaian air hujan dan simpanan.

Walau bagaimanapun, pada masa ini masih terdapat 880 juta orang yang tidak mempunyai bekalan air yang bersih. “Dan kita masih belum mencapai apa-apa kemajuan dalam sanitasi,” kata Postel. “Di luar sana masih terdapat 2.7 bilion orang yang tidak dapat menikmati perkhidmatan sanitasi yang sempurna. Oleh itu, cabaran-cabaran yang sedia ada mesti diatasi secepat mungkin.” Dalam masa 50 hingga 75 tahun yang akan datang, pemimpin-pemimpin dunia perlu mencuba sedaya upaya untuk menurunkan angka-angka tersebut walaupun jumlah penduduk dunia akan meningkat sebanyak 3 bilion orang pada masa itu.

Lebih kurang 5,000 orang kanak-kanak mati setiap hari disebabkan oleh penyakit yang boleh dielakkan seperti kolera dan disenteri, yang tersebar apabila menggunakan air tercemar untuk minum dan memasak. Kekurangan air untuk kebersihan peribadi juga menyebabkan penyebaran penyakit yang boleh dielakkan seperti trakoma, yang telah menyebabkan 6 juta orang buta di seluruh dunia.

Kekurangan air juga telah memerangkap banyak keluarga miskin dalam kitaran kemiskinan dan pendidikan yang tidak sempurna, disebabkan golongan yang paling miskin ini menderita daripada ketiadaan perkhidmatan bekalan air. Golongan miskin ini menghabiskan lebih banyak masa dalam keadaan yang tidak sihat, menjaga kanak-kanak yang berpenyakit ataupun terpaksa mengambil air dari tempat sejauh 6km sehari. Ini menyebabkan mereka tidak mempunyai masa untuk belajar ataupun melakukan aktiviti yang boleh meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Persaingan boleh menjadi sengit untuk mendapatkan komoditi yang tak ternilai ini. Pertanian telah menuntut sebahagian besar (70%) daripada air tawar yang sedia ada di dunia, manakala 22% telah diambil oleh industri. Kawasan tadahan air dan akuifer tidak menghormati sempadan politik dan negara-negara berjiran tidak berusaha bersama untuk memulihara sumber ini. Oleh itu, sumber air berpotensi besar untuk menjadi konflik antarabangsa pada masa akan datang. 

Setiap hari permintaan air semakin bertambah, manakala sumber air tawar pula semakin berkurang. “Kita semakin mendekati had penggunaan air bawah tanah.” kata Postel, “Ini memberikan kesan yang jelas kepada jaminan air sedunia. Kadar penghabisan air bawah tanah telah berganda sejak 1960.”

Sebahagian daripada air bawah tanah di Bumi ialah air fosil, yang dihasilkan berjuta-juta tahun dahulu semasa iklim bumi pada ketika itu banyak berbeza daripada iklim sekarang. Sumber air bawah tanah hari ini adalah terbatas seperti petroleum. Akuifer yang lain boleh diperbaharui . “Namun kini kita sedang mengepam sumber air bawah tanah pada kadar yang lebih cepat daripada kadar yang ia boleh dicas semula,” jelas Postel. “Keadaan ini sedang berlaku di India, Utara China, California dan banyak tempat lagi. Kita mesti mencari satu titik keseimbangan di antara kadar pengepaman dan cas semula.”

Kedahagaan manusia yang semakin bertambah ini membawa satu masalah besar kepada ekosistem akuatik. “Semasa kita mengambil air dari sungai, dataran banjir dan kawasan tadahan air, ekosistem-ekosistem ini menanggung beban kekurangan air dan mula tercemar ataupun hilang,” kata beliau. “Kita juga akan menanggung kesan tersebut kerana kehidupan kita bergantung kepada ekosistem-ekosistem ini.

Menurut Postel lagi, Banyak jalan penyelesaian yang ada jika air digunakan dengan lebih produktif. Perubahan bermula dengan pengurusan sumber air yang cekap dan berterusan.

70% air yang digunakan sedunia untuk pertanian. Jadi, sektor tersebut yang harus menggunakan air yang lebih cekap melalui cara-cara seperti menanam tanaman yang sesuai untuk iklim setempat,” kata Postel.

Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah mengiktiraf “hak kepada bekalan air yang bersih dan selamat serta sanitasi merupakan hak manusia yang diperlukan untuk membolehkan manusia menikmati kehidupan dan hak manusia yang lain” pada tahun 2010.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia

No comments:

Post a Comment