Wednesday, September 5, 2012

PERLUKAH PELAJAR MEMBAWA TELEFON BIMBIT KE SEKOLAH?


Print E-mail
Written by Yu Kin Len   
Tuesday, 31 July 2012 09:32
Timbalan Menteri Pendidikan telah membuat kenyataan pada 17 Julai 2012 bahawa pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit dan tablet ke sekolah mulai tahun depan. Kebenaran ini dibuat disebabkan oleh isu keselamatan bahawa ibu bapa mudah menghubungi anak-anak mereka. Namun begitu, penggunaan telefon bimbit di dalam kelas masih dilarang.

Kebenaran penggunaan peralatan elektronik ini juga selaras dengan pelaksanaan wifi percuma 1Bestari dalam sekolah di seluruh negara. Walau bagaimanapun, jika telefon bimbit tidak dibenarkan untuk digunakan semasa kelas, bilakah peralatan itu dapat membantu dalam pembelajaran? Oleh itu, perlunya kajian dilakukan untuk mengetahui tahap keperluan penggunaan alat elektronik dalam proses pembelajaran, supaya apabila dasar ini dilaksanakan, alat elektronik tersebut tidfak digunakan untuk perkara lain. seperti mengunjungi rangkaian sosial atau permainan.

Satu lagi isu keselamatan juga perlu diberi perhatian ialah tentang berlakunya kes-kes kecurian  atau pelajar mungkin menghilangkan alat elektronik mereka. Sesetengah alat elektronik ini adalah berjenama dan mahal. Ini akan menimbulkan persoalan dalam kalangan pelajar dan menyebabkan kebimbangan kepada ibu bapa. Guru-guru mungkin akan mempunyai satu lagi kerja tambahan, iaitu menjaga barang-barang kepunyaan pelajar, terutamanya pelajar-pelajar sekolah rendah.

Membawa alat seperti telefon bimbit dan tablet ke sekolah mungkin mewujudkan tekanan untuk ibu bapa juga. Apabila semua pelajar mula membawa peralatan elektronik mereka ke sekolah rasmi, mungkin wujudnya persaingan dalam kalangan pelajar terhadap reka bentuk terkini atau fungsi terbaharu alat elektronik. Ini akan mewujudkan tekanan untuk ibu bapa untuk membeli peralatan yang lebih canggih atau mahal untuk anak-anak mereka kerana orang lain juga memiliki alat elektronik tersebut. Ini mungkin dapat mempengaruhi hubungan antara kanak-kanak dan ibu bapa.

Penyediaan Wifi percuma di sekolah dan membenarkan pelajar untuk membawa peralatan elektronik ke sekolah bermakna lebih banyak masa digunakan di internet. Keselamatan penggunaan internet untuk pelajar perlu dipertimbangkan. Perisian komprehensif seperti perisian yang mengawal jenis laman web yang mereka boleh melawat atau sistem anti-virus perlu dipasang untuk mewujudkan persekitaran internet selamat untuk kanak-kanak.

Jenayah siber yang diterima oleh CyberSecurity dalam tahun 2011 telah meningkat 130% berbanding dengan tahun lepas, yang antaranya adalah kes penipuan, spam dan pencurian maklumat. Ini telah meletakkan kanak-kanak dalam risiko yang lebih tinggi yang disasarkan sebagai mangsa.

Laman sesawang telah menjadi 'taman permainan' baru bagi penjenayah siber untuk mencari mangsa dalam kalangan pengguna Internet muda yang aktif dan sesiapa sahaja yang menggunakan perkhidmatan dalam talian.

Laporan Norton Online Keluarga 2010 telah mendedahkan bahawa 87 peratus kanak-kanak telah terdedah kepada pengalaman negatif dalam talian, di samping pelbagai kesan emosi yang dialami oleh mangsa akibat daripada pengalaman buruk tersebut.

Terdapat keperluan yang mendesak terhadap pendidikan keselamatan Internet, sama ada secara formal atau tidak formal kepada pelajar. Pelajar perlu diajar cara untuk melindungi diri mereka daripada sebarang risiko semasa menggunakan internet.

Selain itu, mereka juga perlu diberikan pengetahuan tentang tanggungjawab semasa menggunakan internet, seperti maklumat yang mereka masukkan dalam internet adalah terdedah kepada awam dan sebarang kenyataan mereka tentang rakan-rakan atau rakan sekolah mereka yang boleh menyinggung perasaan orang lain.

Siber buli bukanlah sesuatu trend yang diingini berlaku di Malaysia. Laporan Norton Online Keluarga 2010 juga melaporkan bahawa 4 dalam 10 kanak-kanak Malaysia telah berbuat sesuatu dalam internet, yang kemudiannya menyebabkan mereka berasa kesal melakukannya.

Banyak lagi perkara yang perlu dilakukan terhadap undang-undang dan peraturan di Malaysia bagi melindungi kanak-kanak tentang keselamatan menggunakan internet. Masih belum wujud mekanisme yang khusus untuk melaporkan penyalahgunaan internet bagi kanak-kanak.

Oleh itu, pendidikan kepada kanak-kanak dan ibu bapa amat penting dalam mengurangkan risiko kanak-kanak apabila menggunakan internet. Persediaan yang bersesuaian perlu dilakukan sebelum proses pengajaran dan program pembelajaran secara maya dilaksanakan.

Yu Kin Len
Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC)

No comments:

Post a Comment