Friday, October 19, 2012

55 Tahun Terus Utuh ...

Perpaduan bertunjangkan pelbagai kaum kekal menjadi tiang seri kekuatan nasional: PM
Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berkata kemerdekaan yang dicapai negara sejak 55 tahun lalu akan terus utuh atas teras permuafakatan dan kerjasama semua pihak. Perdana Menteri dalam perutusan Hari Kebangsaan ke-55 malam tadi, berkata perpaduan yang bertunjangkan kepelbagaian akan kekal menjadi tiang seri kekuatan nasional.
“Selama 55 tahun, kita berjaya melangkau jangkaan serta telahan pelbagai pihak, termasuk warganegara sendiri, dan terbukti, ramalan kononnya apa yang dimenangi bapa-bapa pengasas negara secara aman serta bijaksana tidak akan mampu dikekalkan apatah lagi ditambah baik, adalah meleset sama sekali.

Kebebasan
“Jelas, dari satu titik ke satu titik, kita berjaya membawa kebebasan dan keamanan kepada sebuah negara yang dahulunya terjajah dan terancam,” katanya dalam perutusan yang disiarkan RTM.
Najib berkata, ekonomi negara berkembang mapan dengan usaha sistematik kerajaan bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai semua.
Pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan Fasa Kedua (GTP 2) bakal melonjakkan kemakmuran negara ke peringkat lebih tinggi, dan membabitkan masyarakat yang lebih meluas, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat.

Julang citra Malaysia
“Kita berada pada satu kala masa yang amat monumental bagi Malaysia. Di sana-sini, rakyat boleh melihat perubahan ketara bukan saja pada peringkat individu hatta peringkat keluarga dan komuniti. Justeru, marilah kita menjulang citra Malaysia dengan memenuhi segala janji yang dipateri dan potensi yang dimiliki demi seluruh warganya.  Janganlah kita sampai mempunah binasa apa yang telah bersusah payah dipupuk dan dicipta. Janganlah sesekali diporak-peranda harmoninya watan yang telah sekian lama terbina,” katanya.

Kejayaan bersifat holistik
Perdana Menteri berkata, kejayaan yang diimpikan Malaysia bukan hanya bersifat material tetapi holistik, dan untuk itu di bawah Dasar Transformasi Nasional, prakarsa transformasi bukan saja membabitkan kerajaan melalui GTP dan ekonomi melalui ETP (Program Trans-formasi Ekonomi), tetapi juga Transformasi Politik serta Transformasi Kawasan Luar Bandar.
Pelaksanaan Program Transformasi Politik bagi mengimbangkan kebebasan individu dan keselamatan negara berjaya membugar dan mengakarkan lagi demokrasi di Malaysia, sebagai satu budaya yang menjadi asas kepada kestabilan nasional.
“Malaysia merupakan bukti dan manifestasi janji ditepati dan harapan yang dipenuhi,” katanya.

Kembali kepada sejarah
Beliau berkata, rakyat perlu kembali kepada sejarah, negara mencapai kemerdekaan di tengah-tengah pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya dalam suasana di mana survival kita sebagai sebuah negara berbilang bukan saja daripada segi kaum, bahkan agama dan bahasa disangsikan masyarakat dunia.
“Kita juga berjaya mentrans-formasikan sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang mana suatu ketika dulu lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, dengan bergantung kepada beberapa komoditi, menjadi sebuah negara dengan ekonomi bersifat pelbagai,” katanya.

Berpacu pantas
Malah Malaysia berkembang sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi dan ‘berpacu pantas merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.’
“Walau apapun, kejayaan yang dikecapi bukan sepatutnya menjadi alasan untuk kita berpeluk tubuh, sebaliknya, ia harus menjadi mangkin menuju sinar yang lebih terang benderang pada hari muka,” kata Najib yang turut mengucapkan selamat menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-55 kepada semua rakyat Malaysia. - BERNAMA
Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment