Tuesday, October 9, 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : 'Kaunter cermin' susahkan pelanggan


SEJAK akhir-akhir ini, kerajaan berusaha keras mewujudkan pelbagai bentuk kemudahan, samaada prasarana hinggalah kepada perkhidmatan yang boleh diibaratkan mesra rakyat. Tahniah diucapkan.

Sungguhpun begitu, sebahagian jabatan kerajaan didapati tidak mahu turut serta mengubahsuai premis di bahagian kaunter mereka ke arah mesra rakyat. Dalam menjalankan urusan di pejabat kerajaan mahu pun syarikat yang berkaitan kerajaan, saya dapati masih terdapat lagi kaunter bercermin untuk berurusan dengan orang ramai.

Pada cermin tersebut dibuat lubang bulat di tengah untuk bercakap. Lubang setengah bulat pula di bahagian bawah untuk menghulur atau mengambil dokumen dan wang.

Reka bentuk cermin berlubang itu sebenarnya menyulitkan kerana ketinggian orang tidak sekata, menyebabkan sesetengahnya terpaksa membongkok atau mendongak untuk bercakap. Apabila kurang jelas, pegawai bertugas di kaunter yang malas bangun dari tempat duduk menyuruh mengulangi percakapan.

Sebahagian daripada orang awam yang berkenaan pula, didapati seolah-olah terpaksa mengendap di lubang setengah bulat untuk bercakap menyampaikan tujuan sementara yang lain pula terpaksa meninggikan suara. Suara yang tidak 'masuk' ke lubang bercakap itu akan melantun dan menambah kebisingan.

Bagi orang awam yang mempunyai ketinggian sama dengan lubang bercakap pula, akan seperti pesakit yang sedang mengambil x-ray dada kerana tidak boleh bergerak semasa bercakap. Mereka terpaksa berdiri tegak dan mulutnya menghala ke lubang cermin. Di manakah yang dikatakan mesra pelanggan atau mesra rakyat?

Jika kaunter bercermin masih diperlukan, saya mencadangkan supaya reka bentuk lubangnya dibuat memanjang dari atas ke bawah, berukuran lebar 20 centimeter (cm) dan tinggi 80cm dari paras kaunter, tertakluk pada ketinggian kaunter tiga kaki.

Reka bentuk begini adalah mesra pelanggan kerana ruang untuk bercakap tidak menyekat suara orang yang ketinggiannya tidak sekata.

Daripada pengamatan saya, terdapat lima sebab mengapa kaunter bercermin masih dikekalkan walaupun di bangunan baru siap yang dibina kerajaan. Pertama, kebimbangan keselamatan dokumen dan wang hasil kutipan harian dijadikan alasan.

Tetapi bagaimana pula dengan perubahan yang dilakukan oleh pihak bank yang melibatkan transaksi jutaan ringgit pada setiap hari? Pada zaman 1960-an, suasana bank sebelum ini juga bercermin malah berjeriji. Tetapi kini dengan mengikut peredaran masa, bank memikirkan mesra pelanggan.

Kedua, seolah-olah ingin mengekalkan had sempadan antara orang awam dengan kakitangan kerajaan. Sebaliknya pada pemerhatian saya pula kaunter bercermin dianggap sebagai 'pelindung kelemahan' apabila berlaku ketidakcekapan kakitangan bertugas semasa mereka berinteraksi atau sewaktu mereka bergurau senda sesama rakan setugas.

Ketiga, ketua jabatan masih terbawa-bawa era 60-an yang memikirkan suhu daripada penyaman udara, dikhususkan kepada kakitangan bertugas di kaunter. Jika kaunter tidak disekat dengan cermin akan berlaku pembaziran tenaga. Sebaliknya zaman sekarang sudah berubah, hampir semua bangunan kerajaan telah dipasang penyaman udara.

Keempat, ketua jabatan tidak pernah menjadikan diri mereka sebagai orang awam yang berurusan di kaunter bercermin, kerana segala urusan mereka diserah kepada pembantu pejabat. Oleh kerana ketua jabatan tidak tahu adanya masalah, bermakna orang awam juga dianggap tidak ada masalah ketika berurusan di kaunter bercermin.

Kelima, kemungkinan ketua-ketua jabatan berasa sukar berfikir bagaimana untuk menampal 'tanda pengenalan kaunter' di cermin kaunter jika tidak ada kaunter bercermin.

Saya memohon supaya ketua-ketua jabatan kerajaan perlu turut sealiran dengan pemikiran Perdana Menteri yang mahu segala perkara berteraskan rakyat.
ZAMANI OTHMAN
Kota Tinggi, Johor.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment