Thursday, October 18, 2012

Peranan Sayur-Sayuran dan Buah-Buahan Untuk Kesihatan Manusia (Part 3)


Kacang Buncis

Kacang buncis atau nama saintifiknya adalah Phaseolus vulgaris mengandungi pelbagai khasiat yang tidak terdapat pada tumbuhan sekeluarga dengannya.

Sayur yang kaya dengan protein dan vitamin ini membantu menurunkan tekanan darah serta mengawal metabolisme gula dalam darah dan amat sesuai dimakan oleh mereka yang menghidapi penyakit kencing manis atau darah tinggi.

Bagi mereka yang khuatir kerana mempunyai berat badan yang keterlaluan, kacang ini dapat membantu mengatasi masalah mereka. Ini kerana ujian makmal telah menunjukkan kacang ini mengandungi serat dan enzim yang boleh membantu menurunkan berat badan.


Peria

Peria atau dikenali sebagai kanbas atau nama sainsnya Momordica charantia adalah sejenis sayur yang rasanya amat pahit, tetapi di sebalik kepahitan itulah tersembunyi seribu satu khasiat untuk menjaga kesihatan tubuh badan.

Sayur ini adalah penawar kepada pesakit yang menghidapi penyakit kencing manis. Kandungan bahan yang menyerupai insulin didapati berkesan dalam menurunkan paras gula dalam darah dan air kencing. Penghidap kencing manis mestilah menjadikan jus peria ini sebagai satu jus minuman harian, terutama sekali sebelum sarapan. Selain itu peria juga dapat menyembuhkan penyakit batuk yang menyerang kanak-kanak.


Bayam

Adalah sejenis sayuran hijau yang kaya dengan vitamin A, C dan E serta zat besi seperti fosforus, besi, sodium, potassium, magnesium, mangan dan zink. Dikenali sebagai Spinacia oleracea dari segi saintifiknya.

Jus bayam mengandungi zat besi secukupnya untuk mengatasi masalah-masalah seperti anemia, sejenis penyakit kurang darah. Kaedahnya adalah dengan mengisar daun bayam dengan segelas air dan diminum dua kali sehari.

Wanita seringkali kekurangan zat besi kerana didatangi haid pada setiap bulan. Jus bayam yang dicampur dengan jus lobak merah atau jus tomato boleh membekalkan zat besi secukupnya untuk menambah tenaga mereka kerana jus bayam mengandungi asid aksalik dan penambahan jus-jus lain dapat mengatasi kesan-kesan keasidannya.


Kaduk

Merupakan sejenis sayuran tempatan yang mudah ditemui. Tumbuhan ini dikenali sebagai Piper sarmentosum roxb dan berasal dari keluarga Piperaceae.

Air yang direbus dengan akar pokok ini dapat melawaskan kencing. Daunnya mujarab untuk merawat demam malaria dengan minum air rebusannya. Air rebusan ini juga berkhasiat bagi melegakan batuk-batuk, selsema, sakit pinggang, sakit gigi dan sengal-sengal tulang.


Daun Kari

Tumbuhan renek ini berasal dari keluarga Rutaceae dan daripada spesies Murraya koeniggi, mengeluarkan daun-daun kecil berwarna hijau. Daun kari ini biasanya digunakan dalam menambahkan keharuman masakan dan masyarakat India merupakan pengguna terbanyak daun ini.

Dari segi perubatannya, daun ini amat berkesan dalam mengatasi masalah-masalah haid dan gonorea, menghilangkan rasa loya dan pening-pening lalat bagi wanita yang mengandung dan menyembuhkan penyakit cirit-birit dan penyakit berak darah. Selain itu daun ini juga baik untuk peredaran darah dan boleh bertindak sebagai sedatif.
 
By Luna Lovegood.

No comments:

Post a Comment