Friday, November 2, 2012

Penerokaan Angkasa Lepas ( Contoh Esei )


Penerokaan angkasa lepas telah membuka banyak ruang kepada manusia memperkembang sains dan teknologi sejagat. Huraikan.

Penerokaan angkasa lepas memang banyak memberi manfaat terhadap perkembangan sains dan teknologi. Kejayaan negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat dan Russia banyak bergantung kepada kemampuan mereka untuk menghasilkan teknologi moden terutama yang berkaitan dengan penerokaan angkasa lepas. Keadaan ini menyebabkan negara-negara lain terutama China dan Jepun serta India turut berusaha memajukan teknologi angkasa lepas mereka. Sememangnya banyak impak positif yang dihasilkan oleh penerokaan angkasa lepas terhadap kehidupan manusia.

Impak positif yang ketara ialah penerokaan angkasa lepas telah memajukan bidang teknologi maklumat terutama yang berkaitan dengan teknologi internet. Penghasilan lebih banyak satelit di ruang angkasa bumi telah memudahkan perhubungan atau komunikasi tanpa batasan sempadan diwujudkan. Kemajuan dalam bidang teknologi maklumat ini menjadikan bidang komunikasi, keselamatan dan pertahanan semakin berkembang maju selaras dengan kemajuan penerokaan angkasa lepas itu. Jelaslah, teknologi angkasa lepas menyebabkan bidang teknologi maklumat manusia menjadi lebih baik dan moden.

Malah, aktiviti penerokaan yang berani ini berupaya meninggikan kemampuan teknologi pemantauan manusia sejagat pula. Penggunaan satelit dan kapal angkasa menjadikan gambar-gambar lebih mudah untuk diambil dan dirakam dari sudut yang lebih baik dan sesuai. Semua hasil gambar ini memudahkan ahli saintis untuk membuat ramalan tentang keadaan geografi dan juga membantu merancang manusia untuk menjalankan projek pembangunan dengan lebih mesra alam lagi. Pada masa yang sama, teknologi moden ini boleh digunakan juga untuk memantau perubahan cuaca dan kadar pencemaran alam dengan lebih menyeluruh. Sesungguhnya, teknologi pemantauan manusia menjadi lebih maju dan berkembang dengan adanya usaha-usaha menjalankan penerokaan angkasa lepas itu.

Malahan, industri teknologi robotik turut berkembang selari dengan usaha meneroka angkasa lepas ini. Kebanyakan peralatan teknologi yang dihantar ke angkasa lepas atau kawasan ruang udara bumi dikawal oleh robot atau peranti kawalan. Keadaan ruang angkasa yang begitu bahaya dan sukar diramal menyebabkan robot lebih sesuai digunakan berbanding dengan manusia. Semua tindakan menggunakan robotik ini boleh memberikan satu tafsiran awal akan keperluan untuk mewujudkan koloni manusia di angkasa lepas pula. Maka, teknologi robotik manusia juga akan mengalami perubahan drastik kerana usaha penerokaan angkasa lepas memerlukan penggunaan robotik yang begitu banyak.

Selain itu, pelbagai ujikaji atau kajian sains boleh dijalankan menerusi usaha penerokaan angkasa lepas itu. Para saintis sudah mula membuat kajian tentang kesan gravity terhadap manusia di luar ruang angkasa bumi terutama aspek ketumpatan tulang dan kadar kehilangan jisim tulang manusia. Penerokaan angkasa lepas memberikan satu platform untuk melakukan pelbagai kajian yang boleh memberikan pengetahuan baru kepada manusia tentang sains pula.

Konklusinya, semua usaha meneroka angkasa lepas itu bukanlah sesuatu yang membazir. Pelbagai hasil yang positif terutama kajian sains akan memberikan manusia satu informasi yang berguna pula terutama jika semua usaha ini berkonsepkan kerjasama sejagat. Kita harus sedar bahawa semakin banyak maklumat yang kita ketahui tentang angkasa lepas semakin baiklah prospek kehidupan kita kelak. Jadi, usaha penerokaan angkasa lepas ini perlu diteruskan tanpa sebarang sekatan lagi.

KEPENTINGAN PENEROKAAN ANGKASA LEPAS
Pengenalan :
Penerokaan angkasa lepas memang banyak memberi manfaat terhadap perkembangan sains dan teknologi. Kejayaan negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat dan Russia banyak bergantung kepada kemampuan mereka untuk menghasilkan teknologi moden terutama yang berkaitan dengan penerokaan angkasa lepas.

Isi:
1)Telekomunikasi:
-Malaysia telah menghantar MESAT atau Middle East Society of Asphalt Technologist ke luar negara untuk pembangunan teknologi bagi membolehkan manusia berkomunikasi dengan mudah walaupun berada di negara atau tempat berasingan, terpencil atau jauh antara satu sama lain.
-ia juga bagi membolehkan siaran televisyen,radio,internet dan sebagainya dapat diterima ke seluruh pelusuk dunia.

2)Mengkaji cuaca:
-pembangunan satelit turut membantu para saintis meramal atau mengkaji cuaca bumi.
-oleh itu,manusia dapat mempersiapkan diri diri bagi menghadapi bencana alam atau fenomena alam seperti banjir,ribut,taufan,dan sebagainya.Pada masa yang sama, teknologi moden ini boleh digunakan juga untuk memantau perubahan cuaca.

3)Mengesan pencemaran:
-penggunaan satelit dan kapal angkasa menjadikan gambar-gambar dapat diambil dengan mudah dan dirakam dari pelbagai sudut.
-dapat membantu manusia merancang projek pembangunan dengan lebih mesra alam.
-dapat mengesan penipisan lapisan ozon yang merbahaya,tumpahan minyak,kebakaran hutan dan sebagainya.
-dapat memantau pencemaran alam dengan lebih cepat dan tepat.

4)Perubatan:
-para angkasawan dapat menjalankan penyelidikan di luar angkasa lepas dengan lebih berkesan berbanding penyelidikan di muka bumi.
-hal ini demikian kerana penggunaan alat-alat penyelidikan di luar angkasa lepas berlipat kali ganda canggih berbanding dengan alat-alat penyelidikan di bumi.Hal ini demikian, kerana penggunaan alat-alat penyelidikan di luar angkasa lepas berlipat ganda canggih berbanding dengan alat-alat penyelidikandi bumi. Hal ini telah melancarkan penyelidikan terhadap teknologi, fizik,biologi, perubatan dan sebagainya. Oleh itu, penerokaan angkasa lepas membantu manusia mencapai kemajuan dalam penyelidikan.
-para angkasawan juga boleh membuat kajian tentang tarikan graviti terhadap manusia diluar ruang angkasa bumi terutamanya dalam aspek ketumpatan tulang dan kadar kehilangan jisim tulang manusia

5)Pertahanan:
-dapat memperoleh maklumat-maklumat dan satelit-satelit pengintip yang dilengkapi kamera canggih akan mengukuhkan kedudukan pertahanan tentera sesebuah negara untuk menjamin keselamatan negara.
-kemudahan satelit navigasi akan membantu kerja-kerja memantau keselamatan negara dengan lebih berkesan. Oleh kerana perairan negara kita merangkumi kawasan yang luas serta mengandungi banyak pulau maka pemantauan menerusi sistem satelit adalah suatu kaedah yang paling baik.
-Oleh yang demikian, sistem pemantauan melalui satelit secara berterusan akan membantu mengesan pencerobohan dan juga kegiatan jenayah penyeludupan di kawasan-kawasan perairan seperti Sabah dan kawasan pedalaman Sarawak yang sukar dipantau melalui penggunaan tenaga manusia.

6)Sumber tenaga dan galian angkasa lepas:
-usaha penerokaan angkasa lepas dapat membolehkan manusia sejagat bagi mencari
logam-logam atau sumber-sumber tenaga yang baru.
-contohnya seperti kegiatan gali minyak,logam atau kota-kota lama yang tertimbun dalam bumi.

No comments:

Post a Comment