Friday, May 10, 2013

PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PIIHAN RAYA

Persempadanan Bahagian Pilihan Raya



PRINSIP-PRINSIP PERSEMPADANAN SEMULA
 
Dalam menjalankan persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya mematuhi prinsip-prinsip yang digariskan di bawah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan. Prinsip yang berikut hendaklah seboleh-bolehnya diambil kira dalam membahagikan mana-mana unit kajian semula kepada bahagian-bahagian pilihan raya menurut peruntukan Perkara 116 dan 117 - adalah seperti berikut :-

i
Di samping mengambil perhatian tentang wajarnya semua pemilih diberi peluang yang semunasabahnya mudah untuk pergi mengundi,  bahagian-bahagian pilihan raya patutlah disempadankan supaya tidak merentasi sempadan Negeri dan patutlah juga diberikan perhatian kepada kesulitan bahagian pilihan raya Negeri merentasi sempadan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan;
 

ii
Perhatian patutlah diberikan kepada kemudahan pentadbiran yang boleh didapati di dalam bahagian pilihan raya itu bagi mengadakan jentera pendaftaran dan pengundian yang perlu;
 

iii
Bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran pewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya; dan
 
 

iv
Perhatian patutlah diberikan kepada kesulitan yang akan timbul dengan perubahan bahagian-bahagian pilihan raya, dan kepada pemeliharaan hubungan tempatan.
 
 
PROSEDUR-PROSEDUR PERSEMPADANAN
 

Laporan Kajian Semula Persempadanan dengan syor awal persempadanan dikemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri. Pada masa yang sama, suatu notis dikeluarkan dalam sekurang-kurangnya satu akhbar dan disiarkan dalam Warta, serta dipamerkan di semua bahagian-bahagian pilihan raya selama satu bulan untuk pemeriksaan dan rayuan orang ramai.


Proses persempadanan bermula dengan arahan oleh Ibu Pejabat SPR kepada Pengarah-pengarah Pilihan Raya Negeri mengumpul maklumat-maklumat seperti bilangan pemilih di bahagian-bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri, kemudahan-kemudahan baru yang ada seperti bangunan dan sekolah-sekolah untuk digunakan sebagai tempat pengundiaan pilihan raya dan kemudahan perhubungan dan pengangkutan. Arahan ini dikeluarkan setelah tamat tempoh lat 8 tahun dengan selesainya kajian semula persempadanan sebelum ini.

 
Suruhanjaya mesti mengadakan siasatan tempatan untuk mendengar rayuan yang diterima dalam tempoh pameran itu dari mana-mana Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan kumpulan 100 orang pemilih dan lebih, dari bahagian-bahagian pilihan raya yang terlibat dengan kajian tersebut.

 
Sebaik sahaja selesai siasatan berkenaan, sebarang perubahan kepada syor persempadanan mestilah dipamerkan semula kepada orang ramai untuk tempoh sebulan. Suruhanjaya tidak perlu mengadakan lebih daripada dua siasatan tempatan.

 
Cadangan persempadanan yang akhir akan dikemukakan kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan dalam Dewan Rakyat bagi mendapatkan kelulusan. Bahagian-bahagian pilihan raya yang baru hanya terpakai apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubar.

No comments:

Post a Comment