Wednesday, June 12, 2013

DASAR LUAR NEGARA



TUJUAN & OBJEKTIF DASAR LUAR NEGARA
Dasar luar negara boleh dianggap sebagai instrumen atau alat yang diperlukan oleh sesebuah negara untuk berhubung, berinteraksi dengan sebuah negara yang lain, baik yang berjiran dengannya atau yang berada jauh dengannya. Melalui dasar luar negara, kita menyatakan pendirian kita berhubung dengan sesuatu isu yang berlaku di sempadan negara kita mahupun negara lain yang jauh dari segi kedudukan geografi dalam hubungan antarabangsa. Dalam sistem perhubungan antarabangsa, pembentukan dasar luar negara juga perlu mengambil kira dasar luar atau sikap negara-negara lain. Dasar luar boleh berubah mengikut senario politik antarabangsa. Tetapi, apa yang penting ialah dasar luar perlu mengutamakan kepentingan negara dan juga keselamatan, kemakmuran penduduknya. Ringkasnya, terdapat beberapa pendekatan yang boleh digunakan dalam membentuk dasar luar sesebuah negara:

(i) Dasar luar boleh bersifat berkecuali dan tidak mengikat mana-mana negara dalam membuat keputusan walaupun menghadapi tekanan dari negara-negara atau kuasa-kuasa besar yang lain.
(ii) Dasar luar juga boleh berbentuk pemencilan atau pengasingan seperti yang diamalkan oleh sesetengah Negara yang mengambil pendirian menyisihkan negara itu daripada pergolakan yang berlaku di luar.
(iii) Dasar luar juga boleh mencerminkan sikap memihak kepada negara atau kuasa besar yang mempunyai persamaan dengan negara tersebut dari segi amalan dan ideologi yang diamalkan. Dasar ini jelas ketara sewaktu berlakunya era Perang Dingin antara Rusia yang mengamalkan faham komunis dan Amerika Syarikat yang mengamalkan faham demokrasi/kapitalis. Negara-
negara yang menganuti ideologi komunis akan memihak kepada komunis dan sebaliknya, negara yang mengamalkan demokrasi/kapitalis, akan berkiblat kepada Amerika.

PRINSIP DASAR LUAR MALAYSIA
Di samping mengamalkan dasar berkecuali, Malaysia mempunyai beberapa prinsip atau tafsiran yang menjadi panduan dalam membentuk dan melaksanakan dasar luarnya.
Antara prinsip-prinsip yang diamalkan ialah:-
 Pertama, negara kita terletak dalam kawasan yang mustahak dari sudut geopolitik di rantau Asia-Pasifik. Sebagai sebuah negara yang terletak di persimpangan dua jalan yang penting, iaitu Lautan India dan Lautan Pasifik yang kaya dengan sumber galian seperti minyak, bererti kedudukan negara kita adalah penting dari segi kestabilan dan keselamatan di rantau Asia-Pasifik.
 Kedua, Malaysia sendiri mempunyai kekayaan yang agak menarik dan ekonominya berlandaskan keupayaan dan kebolehan mengeksport bahan-bahan mentah serta barangan yang diproses. Ini akan membantu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi yang kukuh di Asia. Namun begitu, persekitaran Asia Tenggara sentiasa bergolak dengan permasalahan politik yang boleh mengancam kedudukan ekonomi dan politik negara.
 Ketiga, Malaysia amat berpegang teguh dengan konsep Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu kewujudan sistem antarabangsa di mana semua negara dapat hidup aman dan damai. Berasaskan kepada kepercayaan ini, Malaysia telah memainkan peranan aktif dan memberikan sumbangan yang bermakna terhadap PBB melalui penyertaan penuh semangat dalam agensi-agensi PBB seperti UNESCO dan UNCTA D. Malaysia juga memberikan sokongan terhadap orde baru Ekonomi Antarabangsa dan kegiatan-kegiatan Negara-Negara 77 untuk mencapai keadilan dalam sistem perdagangan yang selama ini memihak kepada negara maju sahaja.
 Keempat, Malaysia sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam penglibatan sebagai anggota Komanwel. Pada tahun 1989 Malaysia telah dipilih untuk menjadi tuan rumah persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM). Pertalian erat yang ditunjukkan dalam penglibatan negara Komanwel diperkukuhkan dengan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah sukan Komanwel yang telah berlangsung pada September 1998.
 Kelima, sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam agama rasmi, Malaysia telah menjalinkan hubungan yang erat dengan negara-negara Islam. Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC). Malah, YTM Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Setiausaha Agung pertama OIC. Malaysia telah memberikan komitmen yang tinggi terhadap hubungan dengan negara-negara Islam sebagai salah satu asas hubungan luarnya.

FAKTOR-FAKTOR PERTIMBANGAN PEMBENTUKAN DASAR LUAR MALAYSIA
Pembentukan dasar luar Malaysia dipengaruhi oleh beberapa faktor yang menentukan corak dan arah dasar luar negara. Faktor-faktor berkenaan ialah sejarah, ekonomi, politik, geografi dan demografi.

FAKTOR SEJARAH
 Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka telah terjalin hubungan dengan negara luar seperti China, Arab, Siam dan juga negeri-negeri di Kepulauan Melayu. Hubungan luar ini lebih berbentuk hubungan perdagangan. Pada masa ini telah terjalin hubungan Melayu serumpun di Kepulauan Melayu termasuklah negara-negara yang ada pada hari ini dikenali sebagai Indonesia, Brunei, Singapura dan Malaysia. Setelah mencapai kemerdekaan, Malaysia menyertai pertubuhan Komanwel dan meneruskan hubungan diplomatic dengan Britain dan negara Komanwel lain seperti Australia dan New Zealand. Pada masa itu, Malaysia sedang diancam oleh fahaman komunis yang disebarkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM). Ancaman komunis ini menggugat keselamatan negara Malaysia dan dengan ini mendorong Malaysia mengamalkan dasar luar yang pro-Barat dan antikomunis. Pada masa yang sama, Malaysia masih bergantung kepada kuasa Barat kerana Malaysia belum mempunyai keupayaan pertahanan.

FAKTOR EKONOMI
 Malaysia merupakan negara yang mengamalkan pasaran bebas dan dengan ini menjalin hubungan baik dengan negara-negara lain di dunia dalam usaha memajukan ekonominya. Sejak zaman penjajahan British lagi, Malaysia merupakan antara negara pengeluar utama bijih timah dan getah. Pada masa ini telah terjalin hubungan ekonomi antara Malaysia dengan negara-negara maju seperti Britain dan Amerika Syarikat. Setelah mencapai kemerdekaan, Malaysia masih mengharapkan pasaran dan juga modal dari negara-negara tersebut. Beberapa langkah telah diambil bagi menggalakkan pelaburan asing. Langkah ini diharapkan dapat meningkatkan ekonomi negara di samping menyediakan peluang pekerjaan. Menjelang tahun 1980-an, melalui Dasar Pandang ke Timur, pelaburan asing juga digalakkan dari negara-negara di Timur terutama Jepun dan Korea. Pada masa yang sama, Malaysia menjalin hubungan baik dengan negara-negara yang sedang membangun dan juga negara-negara Islam bagi meningkatkan pasaran barangan keluaran Malaysia di samping mengadakan pelaburan di negara berkenaan.

FAKTOR POLITIK
 Sebagai sebuah negara yang mengamalkan system pemerintahan demokrasi berparlimen, Malaysia berhak menentukan hala tuju masa hadapannnya sendiri berdasarkan prinsip-prinsip keamanan sejagat. Ini jelas terpapar dalam dasar luar Malaysia yang menekankan pemeliharaan kedaulatan negara-negara lain. Contohnya, dasar Malaysia yang menyokong Palestin bagi mewujudkan keamanan di rantau Asia Barat. Malaysia juga berpegang teguh pada prinsip-prinsip dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memelihara keamanan dunia. Oleh itu, Malaysia tegas dengan pendiriannya menyokong semua resolusi yang telah diambil oleh PBB bagi mencapai dan mengekalkan keamanan dunia.

FAKTOR GEOGRAFI
 Malaysia mempunyai kedudukan yang strategik di Asia Tenggara dan bersempadan dengan hampir kebanyakan negar di rantau ini seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Brunei. Perairannya juga menjadi laluan utama kapal-kapal perdagangan di dunia. Dengan itu, keselamatan negara serantau akan mempengaruhi dan meninggalkan kesan terhadap keselamatan Malaysia.
 
 FAKTOR DEMOGRAFI
Malaysia telah menjalinkan hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara Islam sejajar dengan penduduknya yang majority beragama Islam. Malaysia tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Israel disebabkan dasar negara berkenaan yang menceroboh dan menindas peribumi Palestin.
Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama juga diberikan kebebasan sepenuhnya untuk mengamalkan budaya hidup dan agama masing-masing. Amalan konsep perpaduan dan sikap komited terhadap hak asasi manusia meneybabkan Malaysia menentang keras Dasar Apartheid yang diamalkan di Afrika Selatan. Malaysia juga tidak mengadakan sebarang hubungan diplomatik dengan negara berkenaan sehinggalah undang-undang dasar apartheid itu dihapuskan oleh kerajaan Afrika Selatan. Oleh itu, faktor kepelbagaian kaum di negara ini amat mempengaruhi pembentukan dasar luar Malaysia.        ( Sumber Pok Cik )

No comments:

Post a Comment