Wednesday, July 17, 2013

Definisi, Objektif dan Prinsip Hubungan Luar Negara



SUMBER : KEMENTERIAN LUAR NEGERI

DASAR LUAR NEGARA

PENGENALAN DASAR LUAR NEGARA 

Apakah  yang dimaksudkan  dengan  Dasar Luar Negara? Dasar luar Negara bermaksud  dasar kerajaan terhadap negara-negara lain. Negara juga boleh diibaratkan sebagai seorang manusia. Oleh  itu, sesebuah  negara perlulah  menjaga keselamatannya.  Kita semua ingin  menjalankan tugas rutin  harian  tanpa diganggu  atau  diancam oleh  pihak-pihak  tertentu. Begitu  juga sesebuah negara perlu mengekalkan kedaulatannya serta menjamin keselamatannya daripada serangan  musuh. Hal ini  lebih  diutamakan  bagi sesebuah  negara yang kecil seperti Malaysia. Kadangkala negara-negara kecil ini terpaksa mencari perlindungan daripada kuasa-kuasa besar, atau bekerjasama dengan negara lain untuk mempertahankan kepentingan bersama. Keperluan asas negara yang berikutnya ialah mencari sumber pendapatan. Berdasarkan hal ini, sesebuah negara perlulah  menjamin  kepentingan  ekonomi perdagangan  yang menjadi  punca pendapatannya.

Negara-negara yang bergantung kepada perdagangan  tentu  akan  memelihara hubungan  yang baik dengan negara-negara lain bagi memasarkan barangannya atau bagi mendapatkan bahan  mentah  yang  diperlukannya.  Oleh  itu, sekiranya kita ingin  memahami dasar luar sesebuah negara, kita  mesti  mengetahui keperluan  asas negara itu  dari segi keselamatan  ekonomi  dan  politik. Di samping itu  pula, kita  mesti  mengetahui tentang  latar belakang sejarah dan kebudayaan masyarakat tersebut.



DEFINISI DASAR LUAR NEGARA

Dasar luar dapat didefinisikan sebagai matlamat, rancangan dan tindakan yang dijalankan oleh sesebuah  negara dalam  usaha untuk  berhubung dengan  sesebuah  negara yang lain  dalam  pengertian  yang terhad,  dasar luar negara hanya mementingkan  aspek tindakan  yang diambil  oleh  sesebuah  negara bagi mempengaruhi keadaan-keadaan  yang berada di luar bidang kuasanya. Bagi menjaga kepentingan, keamanan dan keselamatan sesebuah negara, hubungan di antara sebuah  negara  dengan  sesebuah  negara yang lain  adalah  perlu  dan  penting. Hal ini demikian  kerana kebanyakan  negara  bergantung  antara satu  sama  lain  dalam  pelbagai  aspek seperti politik, ekonomi, teknologi dan  keselamatan.   Negara maju  perlu  mengadakan hubungan dengan negara membangun khususnya dalam bidang perdagangan.
 
OBJEKTIF-OBJEKTIF UTAMA DASAR LUAR MALAYSIA

Objektif asas dan utama Dasar Luar Malaysia adalah bertujuan untuk melindungi kepentingan nasional di arena antarabangsa sekaligus di pentas dunia. Menurut pernyataan mantan Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Syed Hamid Albar, antara objektif-objektif  paling utama  dasar luar negara Malaysia adalah menjaga, mempertahankan  dan memajukan kepentingan-kepentingan Malaysia di peringkat  global. Selain  itu, dasar ini turut  menjaga dan  mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan  dan  keselamatan  Malaysia seterusnya mempertahankan  prinsip menghormati  kemerdekaan  dan  kedaulatan  sesebuah  wilayah  melalui  dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal dan masalah dalaman negara lain.
             Tambahan lagi, objektif seterusnyadalah untuk menangani perkembangan dan cabaran     
politik, ekonomi, keselamatan dan sosial di pentas dunia. Dasar  ini juga dapat  memupuk  hubungan  baik  serta dapat  mengeratkan kerjasama  dengan  negar-negara lain. Selain  itu, pendirian  serta kepentingan  negara-negara membangun dapat dipertahankan di peringkat antarabangsa.

PRINSIP DASAR LUAR MALAYSIA

Salah  satu  prinsip  Malaysia ialah ′menyelesaikan masalah menerusi rundingan'. Malaysia
mengamalkan prinsip pendekatan berbaik-baik dengan negara-negara lain di samping bersedia menjalinkan  hubungan  diplomatik  dengan  mana-mana negara yang sudi bekerjasama  dengan negara. Malaysia memilih  untuk  menyelesaikan  masalah  antara  negara  lain  melalui perundingan  atau  meja bulat  dan  menolak  sekeras kerasnya pendebataan  apatah  lagi secara kekerasan dan paksaan.Seterusnya, Malaysia mengamalkan prinsip hidup bersama secara aman dan  harmoni. Malaysia sentiasa memperjuangkan  hak  untuk  setiap  negara supaya menyelesaikan  masalah  dalamannya tanpa campur tangan  dari pihak  luar. Di samping itu, Malaysia yakin  bahawa  setiap  rakyat  di setiap  negara tahu  apa yang  terbaik  untuk  negara mereka dan lebih memahami apa yang diperlukan. Oleh itu, Malaysia menyokong secara tidak langsung perjuangan-perjuangan  Pertubuhan  Pembebasan  Palestin,  Kerajaan  Campuran Demokratik Kampuchea dan pejuang-pejuang Mujahidin Afghanistan.

No comments:

Post a Comment