Wednesday, July 17, 2013

PARLIMEN

Parlimen


 Bangunan Parlimen Malaysia
Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Perlembagaan negara telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat untuk pengalaman sistem ini. Salah satu syarat sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan, iaitu Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif (pentadbiran).

Malaysia juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi berasaskan kepada sistem Persekutuan. Sehubungan dengan itu, ia bermakna negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak , Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan Negara Malaysia.

Setiap negeri yang terbabit telah menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing, seperti kewangan, pertahanan, pelajaran, luar negara dan lain-lain lagi seperti mana yang telah tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia yang di tadbir oleh Kerajaan Pusat. Ada perkara-perkara yang dijadikan kuasa negeri dan negeri akan mentadbirkan kuasa.

Sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, maka diperuntukan oleh Perlembagaan institusi Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan buah negeri dan Majlis Raja-raja. Baginda adalah diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan.
Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga menjadi Kepala Utama Negara dan Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara. Baginda akan menjalankan tugas-tugas dibawah Perlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri . Raja-raja pula menjadi Ketua Negeri masing-masing dan menjalankan tugas mengikut nasihat Menteri-menteri Besar atau Ketua-ketua Menteri.

Struktur Parlimen Malaysia
Parlimen Malaysia merupakan lambang struktur demokrasi Kerajaan dan mencerminkan aspirasi rakyat melalui perwakilan yang dipilih. Parlimen Malaysia yang merupakan badan penggubal undang – undang tertinggi negara terdiri daripada tiga komponen utama:
1.    Yang Di-Pertuan Agong
2.    Dewan Negara
3.    Dewan Rakyat
Berikutan pilihan raya umum yang pertama selepas negara mencapai kemerdekaan, Mesyuarat Penggal Pertama Parlimen Pertama Persekutuan Tanah Melayu diadakan pada 11 September 1959 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Pada tarikh tersebut, Dewan Negara dan Dewan Rakyat buat julung-julung kalinya bersidang serentak di Dewan Tunku Abdul Rahman. Aturan Urusan Mesyuarat yang pertama ialah pemilihan Yang Di-Pertua bagi kedua-dua Dewan tersebut. Ini diikuti oleh majlis mengangkat sumpah oleh kesemua 38 Ahli Dewan Negara dan 104 Ahli Dewan Rakyat.


Dewan Rakyat

Dewan Negara

Pada 16 September 1963, Malaysia telah terbentuk apabila Sabah, Sarawak dan Singapura menjadi sebahagian daripadanya. Berikutan itu, nama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu telah bertukar kepada Parlimen Malaysia. Tarikh tersebut juga mencatat satu lagi sejarah penting apabila persidangan Parlimen diadakan di bangunan baharunya sendiri yang tersergam indah dalam kawasan Taman Tasik Perdana dengan keluasan 16.2 hektar.

Kini, keahlian Parlimen Kedua Belas bertambah kepada 70 ahli bagi Dewan Negara dan 222 ahli bagi Dewan Rakyat. Parlimen Malaysia akan terus menjadi institusi yang dijunjung tinggi oleh semua rakyat Malaysia dan akan terus menjadi lambang demokrasi berparlimen negara untuk selama-lamanya.

BANGUNAN PARLIMEN
Sejarah Awal
Sebelum bangunan Parlimen seperti sedia ada dibina, Persidangan Pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman yang sekarang dikenali sebagai Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) pada 11 September 1959.  Dewan Tunku Abdul Rahman yang terletak di Jalan Ampang ini dibina pada tahun 1935 dan asalnya ialah kediaman En. Eu Tong Sen, seorang pelombong dan pengusaha lading getah yang kaya dan terkenal di Kuala Lumpur.  Ia telah diubahsuai dan ditokok tambah oleh tukang-tukang atau “master builders” yang diupah khas.
Persidangan Pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu yang diadakan pada 11 September 1959 di Dewan Tunku Abdul Rahman merupakan sejarah penting tanahair kerana buat julung kalinya Parlimen Persekutuan telah bersidang dengan ahli-ahlinya.  Persidangan Parlimen tersebut telah dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Mohamed.
YTM Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, telah menyuarakan pandangannya bahawa sebuah bangunan khusus perlu didirikan sebagai Parlimen.
Ekoran dari itu, pada tahun 1959, satu kawasan berkeluasan 16.2 hektar berhampiran Taman Bunga Kuala Lumpur telah dipilih sebagai tapak yang sesuai.  Kawasan tersebut dipilih kerana lokasinya yang strategik iaitu, terletak di atas sebuah bukit dan berhampiran dengan pusat bandaraya.
Pada 31 Ogos 1962, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail, Yang di-Pertuan Agong yang ketiga, telah berkenan untuk meletakkan batu asas bagi membina bangunan Parlimen di kawasan tersebut.
Kerja-kerja pembinaan dimulakan selepas upacara meletak batu asas tersebut.  Kemuncak bukit mula diratakan pada paras 61 meter dari aras laut pada  bulan September 1962.  Kerja-kerja pembinaan Parlimen yang terdiri dari sebuah bangunan tiga tingkat dan sebuah bangunan menara 17 tingkat telah mengambil masa hampir setahun.
Keseluruhan belanja untuk membina Parlimen ini ialah RM 18 juta.  Bagi melengkapkan jalan ke Parlimen, satu jambatan telah dibina untuk menghubungkan terus Bukit Parlimen dengan Pusat Bandar.
Bangunan Parlimen telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketiga Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail pada 2 November 1963.

Bangunan Utama
Bangunan utama juga disebut bangunan ibu merupakan bangunan tiga tingkat, bersaiz 380 kaki X 290 kaki, amat unik rekabentuknya di mana bumbungnya terdapat bentuk sebelas segitiga yang bersusun.  Di bawah bumbung bersegitiga itulah terletaknya Dewan Rakyat.  Keseluruhan bangunan mempunyai rekabentuk kerawang seperti sarang lebah yang berfungsi sebagai kawalan terhadap sinaran matahari kepada bangunan yang diliputi oleh kaca.
Bangunan utama ini mempunyai tiga tingkat.  Tingkat pertama terdapat Dewan Rakyat, Dewan Negara, Kafeteria, pejabat pos, klinik, sudut sidang media, bilik Sekretariat, bilik Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, bilik-bilik timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, pejabat menteri – menteri mengikut kementerian, coffee house Ahli Parlimen Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta lobi bagi kedua-dua dewan.
Di tingkat dua terdapat bilik – bilik Menteri, dewan taklimat serta bilik Jawatankuasa 1 dan 2 serta Pejabat Kira – Kira Wang Negara.  Di tingkat bawah bangunan pula terdapat bilik diRaja, dewan bankuasi, pusat sumber, bilik penyelidik dan surau bulat yang panjang garisan pusatnya 36 kaki dan boleh membuatkan 100 jemaah.
Manakala di tingkat tiga bangunan ibu ini terletaknya Galeri Awam bagi kedua-dua dewan yang memuatkan kira-kira 120 orang tetamu bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.  Sebuah Pusat Media telah dibina dengan menempatkan ruang kerja untuk semua pengamal media massa arus perdana serta dua buah mini studio, mini studio RTM dan TV3.


Bangunan Menara
Bangunan menara 17 tingkat, bersaiz 80 kaki persegi dan berketinggian 250 kaki, terletak berhadapan bangunan utama.  Terdapat dua jambatan sepanjang 166 kaki yang menghubungkan bangunan menara dengan bangunan utama.  Pada asalnya, bangunan menara menempatkan pejabat para menteri dan ahli-ahli parlimen.  Namun, apabila bilangan kakitangan Parlimen bertambah, bangunan menara telah diubah menjadi pejabat untuk kakitangan.  Walau bagaimanapun, beberapa ruang pejabat masih dikekalkan seperti Pejabat Perdana Menteri di tingkat 2, pejabat Timbalan Perdana Menteri di tingkat 3, Pejabat Menteri yang menjaga  hal ehwal Parlimen di tingkat 15, dan pejabat Ketua Pembangkang di tingkat 14.
Di tingkat 17, tingkat yang teratas, terdapat ruang terbuka yang seringkali digunakan untuk majlis-majlis jamuan. Ruang ini juga dikenali sebagai Anjung Parlimen.  Pemandangan dari tingkat 17 amat menarik, berlatar belakangkan permandangan bangunan-bangunan pencakar langit dan panorama ibu kota Kuala Lumpur.

Dewan Bankuet
Dewan Bankuet atau dewan jamuan ini mempunyai saiz yang sama dengan Dewan Rakyat di atasnya.  Ia dapat memuatkan 500 orang tetamu pada satu-satu masa.  Dewan Bankuet ini digunakan buat pertama kalinya untuk Majlis Jamuan Negara pada 18 September 1963.  Ia juga pernah digunakan sebagai tempat untuk istiadat penghormatan terakhir bekas Perdana Menteri Malaysia sebelum dikebumikan.  Antaranya ialah Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

Keistimewaan Bangunan Parlimen

Keseluruhan kompleks bangunan Parlimen ini ditutupi dengan kaca yang boleh menyerap haba panas dan meresapkan cahaya.  Kawalan terhadap sinaran matahari dilakukan dengan menutup seluruh binaan ini dengan Kerawang berukir (Shield) yang diperbuat daripada batu konkrit buatan tempatan yang dipasang sebahagian demi sebahagian.  Tiap-tiap bahagian, berukuran 11 kaki tinggi dan 40 inci lebar, dipasang dengan menggunakan satu kerin menara khas.  Kerawang yang berbentuk seperti sarang lebah itu menambahkan lagi hebatnya bangunan ini.
Satu lagi keistimewaan bangunan ini ialah sistem pembahagian air yang membekalkan kolam dan pancurannya.  Air itu beredar melalui dua sistem yang berangkai dan yang bermula di bahagian bumbung bangunan ini membawa ke seluruh kompleks hingga ke parit yang terletak di bawah bangunan menara itu.  Lebih kurang 250,00 gelen air terus beredar dengan kadar 42,000 gelen sejam.  Air yang diwarnakan biru ini diolah untuk menjauhkan lumut dan Lumpur.
Pada keseluruhannya, lebih dari satu juta batu bata, 2,200 tan besi waja, 54,000 tan konkrit, 200,000 kampit simen dan 300 tan kaca digunakan untuk membina projek gergasi ini.
Selain itu, kompleks Parlimen turut dihiasi dengan beberapa jenis tumbuhan dan binatang peliharaan.  Pohon-pohon kayu yang jarang ditemui ditanam di kawasan sekitar.  Di dalam kawasan kompleks Parlimen juga terdapat kawasan lapang yang dijadikan Taman Rusa, berpuluh-puluh ekor rusa juga dipelihara di sini.
Di dalam kompleks Parlimen ini juga turut ditempatkan beberapa prasana beriadah seperti gelanggang tennis,  badminton, futsal, bolatampar, gymnasium, bilik sauna di mana ianya terletak di bangunan Dewan Serbaguna untuk kemudahan ahli-ahli parlimen dan kakitangan.


Dipetik dari Artikel Rema G.

No comments:

Post a Comment