Saturday, January 25, 2014

Kisah & Teladan Untuk Anak-Anak Kita II : KATAK & LIPAN

Kisah dan Teladan - Katak dan Lipan

Didalam sebuah sungai tinggallah seekor katak dengan aman dan damai. Mereka saling bantu-membantu dan saling ingat-mengingatkan. Mereka seringkali di ingatkan  supaya berhati-hati terhadap musuh-musuh mereka seperti ular, kala jengking, lipan dan haiwan-haiwan yang menyengat.
“Kita adalah haiwan yang lemah. Kita tidak mempunyai senjata untuk melawan musuh seperti haiwan lain. Dan, nasib kita agak malang kerana kita ini makanan istimewa untuk ular. Ingatlah kawan-kawan, ular sentiasa datang dan pergidi sungai ini. Mereka menunggu kita lepa dan lalai. Bila kita lalai, mereka akan memakan kita. Jangan sekali-kali lalai dan leka. Lalai bermakna mati.”
Oleh kerana sudah kerap kali mendengar pesanan itu, mereka hanya selamba sahaja dan bersikap acuh tak acuh dengan pesanan itu. Sememangnya mereka sudah tahu sejak dari dahulu lagi ular merupakan musuh utama mereka. Mereka juga sudah biasa dan lali. Bukan itu saja, mereka juga sudah biasa melhat bagaimana rakan-rakan mereka mati di telan ular.
Katak-katak disitu lebih berbangga kerana mereka merupakan haiwan yang istimewa – boleh di darat dan juga didalam air. Mereka juga berbangga kerana mereka diperlukan oleh manusia – bila terdengar bunyi katak bersahut-sahutan, selalunya manusia akan berkata, “Oh… Nak hujan.”
Tanpa mereka sedari di daratan tidak jauh dari sungai itu, seekor lipan sedang mencari akal untuk menyeberang sungai. Sudah puas dia mencari-cari ranting boleh dijadikan lintasan untuk menyeberangi sungai itu, tetapi usahanya menemui jalan buntu.



Setelah beberapa lama dia mencari jalan untuk menyeberangi sungai, tetapi masih tidak menemui sebarang cara. Tiba-tiba dia tenampal katak yang sedang berehat di dalam air. Lipan pun mempunyai satu idea bagaimana dia nak menyeberangi sungai itu. Caranya adalah dengan meumpang di belakang katak.
“Hai kawanku, apa khabar? Sapa lipan menegur katak.
Katak dengan terperanjat mendongak dan terlihat lipan yang cuba berbuat baik dengannya.

“Sejak bila pula kita berkawan? Bukankah kita bermusuh selama ni?” jawab katak.
“Mengapa kita bermusuh? Sejak bila kita bermusuh? Aku kan hanya memakan serangga. Aku tak makan kamu, jadi untuk apa pula aku nak bermusuh dengan kamu.” Kata lipan cuba meyakinkan katak.
“Tapi bukankah lipan menyengat katak?” Tanya katak. 
“Kan kita berkawan. Sebagai kawan untuk apa aku nak meyengat kamu.” Jawab lipan.
Hati katak menjadi agak lembut bila mendengar kata-kata lipan yang tidak menunjukkan sebarang reaksi sebagai musuh.
“Jadi apa sebenarnya hajat kamu ke sini?”, Tanya katak.
“Buat masa ni tak ada apa-apa, sengaja aku menegur kamu supaya kita boleh berbual-bual.”
“Oh begitu.” Jawab katak dengan selamba.
Menyedari katak tersebut agak keras hatinya, sedangkan lipan sangat-sangat berhajat pertolongan katak, lipan pun mencari jalan dan helah supaya dapat memenuhi hajatnya. 
“Kamu sememangnya haiwan yang sangat beruntung, katak.” Kata lipan memuji katak.
“Beruntung? Kenapa?”
"Tidakkan kamu tahu, dalam dunia ini hanya ada satu jenis haiwan sahaja yang  boleh hidup di daratan dan didalam air, iaitu katak?”
“Oh itu memanglah.” Jawab katak dengan bangga.
“Aku ini bolehlah dikatakan haiwan yang tidak berguna. Ramai yang benci kepada aku kerana aku suka menyengat. Aku tak diperlukan. Tak macam kamu. Bila manusia nak tahu sama ada akan hujan atau tidak, mereka akan mencar-cari suara kamu.” Puji melambung lipan lagi.
“Ah…itu perkara kecil saja. Memang kami kaum katak berasa amat bertuah kerana di kurniakan berbagai-bagai kelebihan.” Katak mula lupa diri, lupa bahawa yang di depannya ialah musuh.
“Kamu juga boleh terapung di dalam air. Tak macam aku.” Tambah lipan lagi menumpan katak.
“Memang betul. Aku boleh berenang berbatu-batu tanpa rasa penat.”
“Kalau begitu, aku minta tolong sikit saja. Aku nak pergi ke seberang sana. Dekat saja. Bolehkah aku menumpang dibelakang kamu?” lipan meminta.
“Tak de masalah. Eh tetapi, kamu lipan kan suka menyengat.” Kata katak.
Untuk apa aku menyengat kamu? Tujuan aku cuma nak menyeberang sana. Kan kita ini dah jadi kawan.” Kata lipan.
“Baiklah. Naik atas belakang aku.” Kata bersetuju.
Lipan pun naik belakang katak dan katak pun mula berenang menyeberangi sungai. Sampai di tengah-tengah sungai, hanya secara tiba-tiba sahaja, lipan terliur melihat belakang katak yang lembut. “Alangkah seronoknya, kalau aku dapat membenamkan sengat aku di belakang katak ini.” Fikir lipan.
Kerana sudah tidak tahan melihat daging katak yang lembut itu, lipan pun berkata, “Katak, nampaknya aku terpaksa sengat kau.”
Katak terkejut dengan kata-kata lipan dan berkata dengan suara yang terketar-ketar, “Tapi kenapa? Tadi kamu kata tidak akan menyengat aku….”
“Oh, itu tadi, sekarang lain pula ceritanya. Sekarang aku dah tak boeh tahan lagi. Memang tabiat aku suka menyengat.” Jawab lipan dengan selambanya.
“Kamu jangan jadi bodoh lipan. Kalau kamu menyengat aku, kamu pun akan sama-sama mati. Kita akan tenggelam.” Katak cuba untuk mempertahankan dirinya.
“Itu tak pasti lagi. Aku tak peduli, yang penting, aku mesti sengat kamu sekarang juga.” Kata lipan sambil membenamkan sengatnya ke belakang katak. Katak menjerit kesakitan, pandangannya semakin kabur lalu tenggelam ke dasar sungai. Lipan turut sama tenggelam akhirnya lemas dan mati.
Moral: Di dalam dunia ini terdapat bermacam jenis manusia, ada yang baik dan ada juga yang jahat. Ada yang jujur dan ikhlas berkawan dengan kita tetapi harus jkuga di ingat ada juga yang ada niat yang tersirat yang kita kadang kala tidak perasan. Namun adalah perkara bodoh sekiranya kita sudah tahu musuh kita yang nyata tetapi masih percaya dengan kata-kata dan tipu helahnya. Maka dengan itu kita seharusnya sentiasa berwaspada didalam pergaulan dan berkawan agar kita tidak menjadi mangsa.
Cerita dipetik dari:
Buku Inspirasi Khazanah oleh Azman Ching Eu Boon

No comments:

Post a Comment